Monday, May 28, 2018

Menu 23 Mei 2018

7 Ramadhan



Pulut Kuning

Bahan-bahan:

500 gm pulut susu – dibasuh bersih
2 sudu teh serbuk kunyit
1 keping asam gelugur
Air secukupnya untuk merendam
1 helai daun pandan – disimpul
1/2 kotak santan + 2 sudu teh garam + 1/2 cawan air

Cara-cara:

  1. Rendam pulut bersama serbuk kunyit, asam gelugur dan air selama 3 – 4 jam atau semalaman. Toskan airnya.
  2. Panaskan pengukus. Masukkan pulut ke dalam loyang dan kukus separuh masak, lebih kurang 10 – 15 minit.
  3. Di dalam besen yang sesuai, campurkan santan, garam dan air dan kacau rata.
  4. Masukkan pulut yang dikukus tadi ke dalam besen berisi santan dan gaul rata.
  5. Masukkan semula pulut ke dalam loyang tadi dan letakkan daun pandan. Kukus lagi hingga pulut betul-betul masak.


Rendang Pedas Ayam

Bahan-bahan:

1 ekor ayam – dipotong 12
1 helai daun pandan – disimpul
3 helai daun limau purut – diracik
1 helai daun kunyit – dihiris halus
1 keping asam gelugur
3/4 kotak santan
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa
1 senduk sederhana minyak masak

Bahan-bahan dikisar halus:

1 1/2 cawan cili kering yang direbus
3 inci halia – dipotong kecil
1 inci lengkuas – dipotong kecil
3 batang serai – dipotong kecil
3 inci kunyit – dipotong kecil
2 biji buah keras
1 biji bawang besar – dipotong kecil
3 ulas bawang putih – dipotong kecil
Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan masukkan daun pandan. Setelah naik baunya, masukkan bahan kisar, kacau dan tutup kuali.
  2. Kacau sekali sekala hingga pecah minyak dan sedikit garing.
  3. Masukkan ayam, daun limau purut dan asam gelugur. Kacau rata dan tutup kuali.
  4. Kacau sekali sekala hingga ayam mengecut. Masukkan santan, air, garam dan MCR. Perlahankan api dan masak ayam hingga kuah menjadi pekat. Jika suka kuah yang kering, tambah masa memasak sambil dikacau sekali sekala.



Ikan Cencaru Sumbat Sambal Belacan

Bahan-bahan:

3 ekor ikan cencaru saiz sederhana – dibelah belakang
Garam dan serbuk kunyit
Minyak untuk menggoreng
1 biji bawang Holland – dihiris nipis
3 potong daun pandan

Bahan-bahan sambal belacan:

4 biji cili merah – dipotong kecil
5 biji cili padi hijau – dipotong kecil
3 biji bawang merah – dipotong kecil
2 inci belacan – dibakar
4 biji limau kasturi – ambil jus sahaja
2 biji limau kasturi – ambil jus dan kulit
Garam, gula perang secukup rasa

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Sementara itu, lumur ikan dengan serbuk kunyit dan garam rata-rata.
  2. Kisar kering atau tumbuk bahan sambal belacan. Sumbatkan ke dalam ikan dan ikat dengan daun pandan kemas-kemas.
  3. Goreng ikan hingga garing di kedua-dua belah. Angkat dan letakkan di dalam pinggan hidangan. Goreng pula bawang Holland hingga layu dan sedikit garing, kemudian taburkan ke atas ikan tadi.

No comments: