Thursday, June 22, 2017

14 Ramadan ~ 9.6.2017

Assalammualaikum,

Jom tengok resipi hari ni.


Kuey Teow Goreng Simple

 Sahur: Kuey teow goreng

Bahan-bahan:

1 peket besar kuey teow Cap Kunci (plastik merah) – dibilas untuk hilangkan minyaknya
2 biji telur
1 ikat kucai – dipotong 4 cm panjang
3 ulas bawang putih – dicincang kasar
1/2 biji bawang besar – dihiris kasar
5 biji tomato ceri – dibelah 4
2 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
Kicap manis + kicap cair secukupnya
Maggi Cukup Rasa secukupnya
1/2 senduk kecil minyak

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Goreng telur hancur, angkat, toskan minyaknya dan ketepikan.
  2. Tumis bawang putih dan bawang besar hingga layu.
  3. Masukkan tomato dan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak, kemudian masukkan sos cili dan sos tiram. Kacau lagi sebentar.
  4. Setelah mendidih dan pecah minyak, masukkan kuey teow, kucai dan MCR. Goreng rata, tuangkan kicap manis dan kicap cair. Kacau rata.
  5. Akhir sekali, masukkan telur dan gaul rata. Tutup api.



Ikan Patin Masak Tempoyak (Lagi!)


Bahan-bahan:

1 ekor ikan patin potongan ikan patin
1 kuntum bunga kantan – dibelah 2
3 tangkai daun kesum – ambil daunnya sahaja
1 batang serai – diketuk
1 keping asam keping
Air secukupnya
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

1 biji cili merah
5 biji cili padi merah
1 inci kunyit
4 sudu besar tempoyak
Sedikit air

Cara-cara:

  1. Masukkan kesemua bahan kecuali garam ke dalam periuk dan jerang di atas api sederhana.
  2. Kacau sekali-sekala perlahan-lahan untuk elakkan ikan lerai.
  3. Akhir sekali, masukkan garam. Setelah mendidih dan ikan masak, tutup api.




Nasi Goreng Kampung


Bahan-bahan:

3 cawan nasi sejuk – digembur
1/2 ikat kangkung – disiang
Garam dan Maggi Cukup Rasa
1/2 senduk kecil minyak
2 biji telur

Bahan-bahan ditumbuk/dikisar kasar:

1/2 cawan ikan bilis – dibasuh
1 inci belacan
10 biji cili padi hijau
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bahan tumbuk hingga wangi dan garing.
  2. Masukkan garam dan MCR, diikuti dengan nasi dan kangkung. Kacau rata.
  3. Buat lubang di bahagian tengah, pecahkan telur dan kacau sedikit.
  4. Setelah telur agak mengeras, kacau rata bersama nasi beberapa minit. Setelah rata, tutup api.



Ayam Goreng Kunyit


Bahan-bahan:

3 ketul isi ayam – dipotong kiub
2 sudu besar tepung beras
Sedikit garam dan Maggi Cukup Rasa
Minyak untuk menggoreng
3 ulas bawang putih – dicincang kasar
7 batang kacang buncis – dipotong serong 4 cm
1 biji cili merah – dihiris kasar
1/2 biji bawang Holland – dihiris kasar

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ayam, tepung beras, sedikit garam dan MCR. Goreng hingga garing.
  2. Angkat dan toskan minyaknya.
  3. Tinggalkan 1 sudu besar minyak sahaja.
  4. Tumis bawang putih dan bawang Holland hingga wangi.
  5. Masukkan kacang buncis dan cili merah. Tumis sebentar hingga sedikit layu.
  6. Masukkan semula ayam goreng dan kacau rata. Angkat dan hidangkan.





Cekodok Pisang



Bahan-bahan:

8 biji pisang emas – dilecek
3 sudu besar gula
Secubit garam
1 sudu kecil esen vanila (tak letak pun takpe)
Tepung gandum secukupnya
1 sudu kecil soda bikarbonat

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak agak banyak.
  2. Sementara itu, campurkan kesemua bahan hingga sebati menggunakan tangan.
  3. Jemput sedikit ke dalam minyak masak dan goreng hingga keperangan.
  4. Angkat dan toskan minyaknya.





11 Ramadan ~ 6.6.2017

Assalammualaikum,

Jom tengok menu dan resipi sahur dan berbuka hari ni.


Mihun Goreng


Bahan-bahan:
1/2 peket mihun – direndam hingga lembut dalam air suam, ditoskan
2 biji telur
1/2 ikat kucai – dipotong 4 cm panjang
1/2 senduk kecil minyak
1/2 senduk kecil cili kisar
3 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
Kicap manis dan kicap cair secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya
Sedikit air

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Pecahkan telur dan kacau-kacau hingga masak. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  2. Tumis pula cili kisar hingga pecah minyak. Masukkan sos tiram dan sos cili dan kacau rata.
  3. Masukkan mihun dan kucai. Kacau rata.
  4. Tuangkan kicap manis dan kicap cair dan kacau rata.
  5. Masukkan kucai, garam, air dan MCR jika perlu. Kacau rata hingga mihun betul-betul lembut dan masak.
  6. Akhir sekali, masukkan telur goreng dan kacau rata. Angkat dan hidangkan.




Ikan Patin Gulai Tempoyak



Bahan-bahan:

1 ekor ikan patin - dipotong beberapa bahagian
1 batang serai – diketuk
1 kuntum bunga kantan – dibelah 2
3 tangkai daun kesum – ambil daun sahaja
1/2 biji zucchini hijau (ganti timun) – dipotong jejari lebar-lebar
Garam secukup rasa
1 keping asam keping
3 – 4 sudu besar tempoyak
Air secukupnya

Bahan-bahan ditumbuk:

1 biji cili merah
5 biji cili padi merah
1 inci kunyit

Cara-cara:

  1. Masukkan air, tempoyak, asam keping dan bahan tumbuk ke dalam periuk dan kacau rata.
  2. Jerang hingga mendidih, keluarkan asam keping. Masukkan bahan-bahan lain, perlahankan api. Renih hingga mendidih sambil kacau sekali-sekala perlahan-lahan untuk elakkan ikan hancur.
  3. Rasa, jika sudah ok dan kuah tidak terlalu cair, tutup api.


Ikan Patin Masak Lemak Cili Padi


Bahan-bahan:

1 ekor ikan patin sederhana – dipotong beberapa bahagian, kepala dibelah 2
10 biji belimbing buluh – dipotong hujungnya
1 batang serai – diketuk
1 helai daun kunyit – diracik
3 helai daun limau purut
1 keping asam keping
1/2 kotak santan
Air secukupnya
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

1 inci kunyit
4 biji tomato ceri
15 biji cili padi merah + hijau

Cara-cara:

  1. Masukkan bahan kisar dan 1/2 cawan air ke dalam periuk. Kacau dan panaskan.
  2. Setelah mendidih, masukkan bahan-bahan lain. Perlahankan api dan kacau perlahan supaya ikan tidak hancur.
  3. Rasa, setelah kuah agak pekat, tutup api.




Wednesday, June 21, 2017

7 Ramadan ~ 2.6.2017

Assalammualaikum,

Jom tengok resipi.

Sambal Tumis Sardin


Bahan-bahan:

1 tin kecil sardin Cap Ayam
3 biji bawang merah – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia – dihiris mancis
2 sudu besar sos tiram
1 senduk kecil cili kisar
1 keping asam keping
1 tin (sardin) air
Garam secukup rasa
2 sudu besar minyak
5 biji cili padi – dibelah 2 tanpa putus
1/2 biji bawang besar – dihiris bulat

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga harum.
  2. Masukkan cili kisar dan tumis hingga mendidih.
  3. Masukkan sos tiram dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  4. Masukkan air, asam keping, sardin, cili padi dan bawang besar.
  5. Setelah mendidih, masukkan garam dan rasa. Jika ok dan kuah sedikit pekat, tutup api.





Ikan Kerisi Sambal Hijau



Bahan-bahan:
3 ekor ikan kerisi sederhana – dikelar
Sedikit serbuk kunyit dan garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng
3 tangkai daun kesum – ambil daun sahaja
Maggi Cukup Rasa/garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar:
2 biji bawang besar – dipotong
5 ulas bawang putih – dipotong
20 biji cili padi merah dan hijau

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ikan dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng hingga garing. Angkat, toskan minyak dan letakkan di dalam pinggan hidangan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 3/4 senduk kecil.
  3. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Masukkan Maggi Cukup Rasa dan daun kesum. Kacau rata dan tutup api.
  4. Sendukkan ke atas ikan goreng tadi.





Golden Butter Chicken

Adapted from: www.maggi.com.my




Bahan-bahan:

5 ketul isi ayam – dipotong dadu
3 sudu besar tepung beras
Sedikit garam
Minyak untuk menggoreng
2 biji telur masin – dibersihkan dan direbus
5 ulas bawang putih – dicincang
5 biji cili padi merah – dihiris
3 tangkai daun kari – daun sahaja
1/2 tin susu cair
Maggi Cukup Rasa
2 sudu besar mentega + 1 sudu kecil minyak

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Gaul ayam dengan tepung beras dan garam. Goreng hingga kekuningan. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  2. Lenyek kuning telur masin hingga hancur. Ketepikan.
  3. Dalam kuali berasingan, panaskan mentega dan minyak (boleh gunakan minyak gorengan tadi).
  4. Tumis cili padi hingga harum, kemudian masukkan daun kari dan cili padi. Tumis lagi.
  5. Masukkan kuning telur masin dan tumis rata.
  6. Masukkan susu cair (tambah jika perlu) dan kacau.
  7. Setelah mendidih, masukkan MCR dan ayam. Kacau hingga pekat dan tutup api.


Sayur Campur


Bahan-bahan:

1 batang king mushroom – dihiris memanjang
3 batang kacang buncis – dihiris serong
1/4 batang carrot – dihiris jejari
1/4 pokok bunga kubis – dipotong kecil
1/2 biji cili merah – dihiris serong
2 ekor sotong – dihiris bulat
3 ekor udang – dibuang urat hitam
1 biji bawang merah – dihiris
2 ulas bawang putih – diketuk
1 sudu besar sos tiram
Maggi Cukup Rasa secukupnya
Sedikit air
Sedikit minyak

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang kecil hingga wangi.
  2. Masukkan king mushroom, kacang buncis, bunga kubis, carrot dan tumis sebentar.
  3. Masukkan sotong, udang dan air. Kacau dan masukkan sos tiram dan MCR.
  4. Kuatkan api, kacau dan masukkan cili merah. Setelah masak, tutup api.



Kuih-muih dari bazar Ramadan. Karipap je homemade.

Friday, June 16, 2017

6 Ramadan ~ 1.6.2017

Assalammualaikum,

Seperti biasa balik je dari office, terus ke 2nd office. Masa tak banyak so kena masak cepat-cepat dan simple je.

Jom tengok resipi hari ni.

Pucuk Manis Masak Lemak Putih



Bahan-bahan:

1 ikat pucuk manis – ambil daun sahaja
1/2 biji keledek oren – dipotong dadu
1 biji cili merah – dihiris
3 biji bawang merah – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1/2 kotak santan
1 cawan air
Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Masukkan air dan keledek oren ke dalam periuk dan rebus sehingga 3/4 masak.
  2. Masukkan bahan-bahan lain dan perlahankan api. Masak sehingga merenih sambil dikacau untuk elakkan santan pecah.
  3. Setelah ok, tutup api.


Puyuh Masak Kicap




Bahan-bahan:

5 ekor puyuh – dipotong 4
Garam dan serbuk kunyit secukupnya
Minyak untuk menggoreng
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1 sudu besar serbuk lada hitam
2 biji bawang merah – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1 cm halia – dihiris mancis
1/2 senduk kecil cili kisar
1/2 biji bawang Holland – dipotong bulat
1 biji cili hijau – dihiris kasar
1 biji cili merah – dihiris kasar
2 sudu besar kicap ABC
1 sudu besar kicap cair
1 sudu besar sos tiram
1/2 sudu kecil pes asam jawa
1/2 cawan air
Garam jika perlu
Sedikit Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, lumur puyuh dengan garam dan serbuk kunyit. Goreng 3/4 masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan 1/2 senduk sahaja. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga harum. Kemudian, masukkan bawang merah, bawang putih dan halia. Tumis hingga sedikit layu.
  3. Masukkan cili kisar dan serbuk lada hitam dan tumis hingga pecah minyak. Masukkan kicap ABC, kicap cair, sos tiram dan tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan air, pes asam jawa, garam dan Maggi Cukup Rasa. Kacau rata. Setelah mendidih, masukkan puyuh goreng, bawang Holland, cili merah dan cili hijau. Kacau rata sebentar dan tutup api.

Sambal Tumis Ikan Bilis



Bahan-bahan:

1 cawan ikan bilis yang dikopek – dibasuh bersih
1 biji bawang besar – dihiris kasar
1 keping asam keping
2 sudu besar sos tiram
1 ketul kecil gula Melaka (tambah jika perlu)
3 senduk kecil cili kisar
Air secukupnya
1 senduk kecil minyak
Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat, toskan minyak dan ketepikan.
  2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis separuh bawang besar hingga layu.
  3. Masukkan cili kisar dan tumis sebentar. Masukkan gula Melaka dan sos tiram dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  4. Masukkan air dan kacau. Setelah mendidih, masukkan asam keping.
  5. Setelah mendidih dan sedikit pekat, masukkan ikan bilis dan baki bawang besar. Kacau sebentar dan tutup api.

5 Ramadan ~ 31.5.2017

Assalammualaikum,

Karipap pusing tak jadi pusing jugak. Kena try lagi ni tapi tak tau la bila kan. Hari bekerja so menu pun asal sempat je la. Sampai rumah pun dah pukul 6 p.m.

Jom tengok resipi.



Karipap Daging dan Kentang (resepi ada di post sebelumnya)


Asam Pedas Ikan Bawal Emas

Asam Pedas Ikan Bawal Emas

Bahan-bahan:

1 ekor ikan bawal emas sederhana besar – dipotong 3
1 batang serai – diketuk
1/2 kuntum bunga kantan – dibelah 2
5 tangkai daun kesum – ambil daun sahaja
5 biji bendi – dipotong 2
5 biji tomato ceri
2 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil halba
3 sudu besar pes asam jawa
Air secukupnya
Garam secukup rasa
1/2 cawan minyak

Bahan-bahan dikisar halus:

1 cawan cili kering yang sudah direbus
5 biji bawang kecil – dipotong
3 ulas bawang putih – dipotong
1 batang serai – dipotong
1 inci kunyit – dipotong
1 inci halia – dipotong
1 inci belacan – dibakar sedikit
Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis halba sebentar diikuti dengan serai. Setelah harum, masukkan bahan kisar dan lada hitam dan tumis hingga pecah minyak. Keluarkan lebihan minyak jika perlu.
  2. Masukkan air dan pes asam jawa. Kacau rata dan biarkan mendidih.
  3. Setelah mendidih, masukkan ikan, bunga kantan, daun kesum, bendi dan tomato ceri. Kacau perlahan, masukkan garam.
  4. Setelah mendidih dan ikan masak, tutup api.


Thursday, June 15, 2017

2 Ramadan ~ 28.5.2017

Assalammualaikum,

Hari ni terlebih rajin. Minggu lepas ada buat karipap pusing (tapi tak jadi pusing), ada la balance inti. So hari ni gagah nak try sekali lagi buat. Masa belum masak, nampak juga pusingnya, dah masak, hampeh hahah... takpe practice makes perfect. Nasib rasa tetap sedap huhu. Seriously tak ingat resipi siapa, tapi ada campur-campur from various sources la.

Mak pun dah banyak kali bagi hint nasi ketumbar, so hari ni buat la walaupun malas betul rasa nak buat nasi berperisa ni. Renyah kan.... banyak keje. Lauk dia pulak lawankan dengan ayam masak cili padi untuk saya yang suka pedas dan ayam percik untuk yang lain. Kuih pulak sempat la buat buah Melaka. Seharian kat dapur hari ni!

Ok, jom tengok resipi.





Karipap Pusing

Bahan-bahan kulit karipap 1:

1 cawan tepung gandum Cap Bunga Ros
2 sudu besar marjerin Daisy
2 sudu besar lemak sayuran (vegetable shortening)


Bahan-bahan kulit karipap 2:

1 cawan tepung gandum Cap Bunga Ros
1/2 cawan minyak masak – dipanaskan
Air berais + sedikit garam secukupnya

Cara-cara:

  1. Untuk kulit karipap 1, gaulkan kesemua bahan hingga menjadi doh. Bulatkan dan bahagi kepada 6 bahagian yang sama besar. Ketepikan.
  2. Untuk kulit karipap 2, masukkan tepung di dalam bekas, buatkan lubang di bahagian tengah dan tuangkan minyak panas. Gunakan senduk kayu untuk mengacau adunan. Agak-agak dah sejuk sikit, gunakan hujung jari dan ramas adunan menjadi seperti serbuk roti.
  3. Tuangkan air ais sedikit-sedikit hingga mendapat doh yang boleh diuli. Bahagikan kepada 6 bahagian dan bulat-bulatkan.
  4. Leperkan kulit karipap 2 dan letakkan 1 biji doh karipap 1 di bahagian tengah dan balut dan bulatkan.
  5. Kemudian, gelek dan gulung. Gelek dan gulung sekali lagi barulah dipotong kepada beberapa bahagian. Masa ni dah nampak corak pusing.
  6. Ambil seketul dan gelek. Isikan inti dan kelim. Buat sehingga habis.
  7. Untuk frozenkan, goreng 1/2 masak dan toskan minyaknya. Simpan di dalam bekas yang sesuai.
  8. Untuk menggoreng, panaskan minyak di atas api sederhana. Pastikan minyak betul-betul panas barulah goreng karipap. Balik-balikkan hingga keperangan. Angkat dan toskan minyaknya.

P.S.: Walaupun buat kali kedua, karipap pusing saya masih tak berapa menjadi pusingnya. Mak saya kata, lain kali simpan doh sekejap dalam fridge baru gelek dan klim. Ok nanti saya try.




Buah Melaka

Bahan-bahan:

1 biji kelapa parut bahagian putih sahaja
Secubit garam halus
1 1/2 cawan tepung pulut
Air secukupnya
1 sudu kecil pes pandan
1/2 sudu kecil pewarna hijau
Gula Melaka – dipotong kiub
Air untuk merebus
1 helai daun pandan – disimpul

Cara-cara:

  1. Gaulkan kelapa parut dengan garam dan ketepikan.
  2. Panaskan air rebusan dan masukkan daun pandan. Biarkan mendidih.
  3. Di dalam bekas yang sesuai, masukkan tepung, pes pandan dan air (agak-agak). Uli sebentar dan masukkan pewarna hijau. Tambah air jika perlu. Uli sehingga lembut dan boleh dibentuk.
  4. Ambil sedikit doh, bulat-bulatkan dan tekan bahagian tengah supaya sedikit leper.
  5. Masukkan sebiji kiub gula Melaka dan balut dan bulat-bulatkan. Buat dalam 10 biji dan masukkan ke dalam air rebusan.
  6. Kuih akan masak apabila timbul di permukaan air rebusan. Angkat, toskan airnya dan golekkan dalam kelapa parut.
  7. Susun di dalam pinggan hidangan. Ulang sehingga habis.




Ayam Masak Cili Padi

Bahan-bahan:

8 ketul ayam
1 keping asam keping
2 sudu besar sos tiram
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa
1/2 cawan minyak

Bahan-bahan dikisar halus:

6 biji bawang putih
1/2 biji bawang besar
1 inci kunyit
20 biji cili padi merah dan hijau
Air

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar dan sos tiram hingga pecah minyak.
  2. Masukkan ayam dan asam keping. Perlahankan api dan renih hingga ayam kecut.
  3. Masukkan 1/2 cawan air, garam dan Maggi Cukup Rasa.
  4. Kacau sekali-sekala hingga masak dan kuah sedikit pekat.
  5. Angkat dan hidangkan.




Ayam Percik

Sumber: www.maggi.com.my

Olahan: mrskojiwami

Bahan:

10 ketul ayam

Bahan-bahan dikisar halus:

2 biji bawang besar
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 inci halia
3 batang serai – dipotong
1/2 cawan cili kisar
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar biji ketumbar
2 sudu besar Maggi Cukup Rasa
1/2 kotak santan
1/2 cawan air
1/2 sudu besar pes asam jawa
1 sudu kecil gula
Garam secukup rasa (jika perlu)

Cara-cara:

  1. Perap ayam dengan bahan kisar selama 4 jam.
  2. Panaskan oven pada suhu 200°C.
  3. Lapik dulang pembakar dengan foil dan letakkan ayam yang diperap. Kemudian, tutup dengan sekeping lagi foil.
  4. Naikkan suhu oven kepada 250°C dan bakar selama 1 jam atau sehingga masak. Selepas 1/2 jam pertama, buka foil bahagian atas dan biarkan ayam masak.
  5. Sementara itu, panaskan baki perapan di dalam periuk kecil hingga pekat.
  6. Sudukan ke atas ayam sementara dipanggang. Ini akan menyebabkan bahagian atas ayam sedikit garing.
  7. Setelah masak, keluarkan dan hidangkan.




Nasi Ketumbar

Sumber: ctdelima.net

Olahan: mrskojiwami

Bahan-bahan:

5 cawan beras basmathi – dibasuh bersih
2 sudu besar mentega
2 sudu besar minyak masak
5 ulas bawang putih – dicincang
1/2 biji bawang Holland – dipotong dadu
1 batang serai – diketuk
Sedikit pewarna hijau
Garam dan Maggi Cukup Rasa
5 cawan air
1/4 cawan susu cair

Bahan dikisar halus:

3 pokok daun ketumbar + akar

Cara-cara:

  1. Panaskan rice cooker, masukkan mentega dan minyak. Setelah panas, tumis bawang putih, bawang Holland dan serai hingga harum dan sedikit garing.
  2. Masukkan kisaran daun ketumbar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan beras dan kacau rata. Biarkan sebentar barulah masukkan air dan susu cair. Kacau rata, masukkan Maggi Cukup Rasa dan garam dan masak nasi seperti biasa.
  4. Setelah masak, titiskan pewarna hijau secara random dan gunakan garpu untuk lerai-leraikan nasi. Tutup semula dan biarkan di dalam periuk nasi selama 5 minit sebelum dihidangkan.





Wednesday, June 14, 2017

Berbuka puasa hari pertama 27.5.2017

Assalammualaikum,

Alhamdulillah berjaya mengharungi hari pertama berpuasa Ramadan tahun ni. Since it was a Saturday, dapat la masak proper sikit. Ikan siakap tu dah seminggu lebih bertapa dalam icebox. En. K pulak masa beli tak minta potong terus, bawak balik sekor besar memang tak muat tupperware. So awal-awal lagi dah keluarkan untuk defrost, pastu potong dua. Sebab dalam rumah ni ada yang tak minat steamed fish yakni En. K. So memang buat 2 jenis masakan. Separuh buat sweet and sour, separuh lagi steam.

Jom la tengok resipi.


Ikan Siakap Masak Sos

Bahan-bahan:

1/2 ekor ikan siakap (besar) – dikelar
Serbuk kunyit, Maggi Cukup Rasa, garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan sos:

1 helai daun pandan – disimpul
3 ulas bawang putih – dicincang
1/2 biji bawang Holland – dipotong dadu
2 inci halia – dihiris mancis
10 biji cili padi – dihiris
1 batang serai bahagian putih sahaja – dihiris nipis
1/2 kuntum bunga kantan – dihiris halus
1 batang akar ketumbar
1 senduk cili kisar
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan
Sedikit Maggi Cukup Rasa
Air secukupnya

Hiasan:

Daun ketumbar yang dipotong

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak yang banyak. Sementara itu, lumur ikan dengan serbuk kunyit, Maggi Cukup Rasa dan garam rata-rata. Goreng hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya. Letakkan di dalam pinggan hidangan. Ketepikan.
  2. Untuk membuat sos, keluarkan minyak gorengan ikan dalam 1 senduk kecil. Tumis daun pandan hingga wangi dan masukkan bawang putih, bawang Holland, cili padi, serai dan bunga kantan. Tumis hingga layu dan sedikit garing.
  3. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak. Masukkan sos tiram dan sos cili dan tumis lagi hingga mendidih.
  4. Masukkan air (terpulang hendak banyak kuah atau sedikit sahaja) dan akar ketumbar. Kacau dan setelah mendidih, masukkan sos ikan dan Maggi Cukup Rasa. Kacau hingga kuah agak pekat dan tutup api.
  5. Sendukkan sos ke atas ikan goreng tadi dan tabur daun ketumbar. Sedia dihidangkan.


Ikan Siakap Kukus Limau

Bahan-bahan:

1/2 ekor ikan siakap (besar)
Sedikit Maggi Cukup Rasa
2 ulas bawang putih – dicincang
10 biji cili padi – dihiris
3 inci halia – dihiris mancis
1 senduk sos ikan
5 biji limau nipis – ambil jusnya
1/4 cawan air
1 batang akar ketumbar
1 pokok daun ketumbar – diracik kasar

Cara-cara:
  1. Sediakan pengukus. Panaskan air dalam pengukus.
  2. Lumur ikan dengan Maggi Cukup Rasa dan letakkan dalam pinggan pengukus. Taburkan bawang putih, cili padi, halia, akar ketumbar dan separuh daun ketumbar.
  3. Tuangkan sos ikan, jus limau nipis dan air.
  4. Setelah air kukusan mendidih, letakkan pinggan berisi ikan dan tutup. Kuatkan api dan kukus ikan selama 15 minit atau sehingga masak (jangan overcook).


Terung Goreng Belacan

Bahan-bahan:

1/2 biji terung ungu besar – dipotong ikut suka
Sedikit minyak untuk menumis
Maggi Cukup Rasa
1 sudu besar sos tiram
Sedikit air

Bahan-bahan ditumbuk kasar:

1/4 cawan udang kering – direndam
3 ulas bawang putih
1 biji bawang merah
5 biji cili padi
1/4 inci belacan

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis bahan tumbuk hingga sedikit garing.
  2. Masukkan terung dan tumis sebentar. Masukkan air dan kacau hingga terung separuh lembut.
  3. Masukkan sos tiram dan perasa. Masak sehingga terung betul-betul empuk dan tutup api.

Tuesday, June 13, 2017

Sahur hari pertama 27.5.2017

Assalammualaikum,

Hari ni hari pertama menyambut Ramadan 2017. Since jatuh pada hari Sabtu, makanya masak la beria sikit. Jom la tengok resipi.

Sambal Tumis Ikan Bilis

Bahan-bahan:

2 genggam ikan bilis yang dikopek – dibasuh bersih
1 biji bawang besar – dihiris kasar
1 cawan cili kisar (cili kering + bawang besar + bawang putih)
1 keping asam keping
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar gula Melaka
Sedikit air
Garam secukup rasa
1/2 cawan minyak

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis separuh bawang besar hingga layu.
  3. Masukkan cili kisar dan tumis hingga mendidih kemudian masukkan gula Melaka dan sos tiram. Kacau rata di atas api perlahan dan tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan sedikit air, garam dan asam keping. Masak sehingga mendidih, rasa, jika ok, masukkan ikan bilis goreng dan kacau rata. Tutup api.




Puyuh Goreng Kunyit

Bahan-bahan:

5 ekor puyuh – dipotong 4
Garam, Maggi Cukup Rasa dan serbuk kunyit
Minyak untuk menggoreng
1 biji bawang Holland – dihiris kasar
3 biji cili padi merah – dipotong 2
2 ulas bawang putih – diketuk

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Gaul puyuh dengan garam, cukup rasa dan serbuk kunyit. Goreng hingga garing.
  2. Masukkan bahan lain dan tumis hingga layu.
  3. Toskan minyak dan hidangkan.

Preparation untuk potluck

Assalammualaikum,

Malam ni tak masak sebab nak prepare masak untuk potluck kat office esok. Ramai yang minta saya bawa sambal tumis ikan bilis. Saya juga akan bawa pulut kuning tanak sebab nak kukus tak sempat pulak kan. Selain tu, saya nak bawa butter cake dan nak try fudgy brownies. Kari ayam pun saya buat. Buat lebih sikit sebab nak bagi taska sikit. Nak buat banyak2 tak larat pulak... potluck ni sempena nak menyambut bulan Ramadan yang akan start Sabtu ni.

Ikut perancangan, Sherry akan bawa lontong dan serunding daging. Wawa bawa kek coklat moist dan soda gembira. Sarah akan bawa bubur caca dan nasi impit. Ernie bawa bihun goreng dan air. So cukup la tu.

Kali ni buat butter cake tak tau apa yang silap sebab ada lubang-lubang pulak, tapi sedap je rasanya.

Ok la, jom la tengok resipi.

Butter Cake

Sumber: http://www.taste.com.au/recipes/marble-cake-3/cf90b1a7-2d42-4932-9b14-1ad85c526341

Bahan-bahan:

185 g pure butter – dilembutkan
1 sudu teh esen vanila
1 cawan gula kastor
3 biji telur – dipukul sedikit
2 cawan tepung naik sendiri – diayak
2/3 cawan buttermilk (buat sendiri 2/3 cawan susu + 1 sudu teh cuka putih)

Cara-cara:
  1. Panaskan oven pada suhu 180°C. Gris acuan yang sesuai, saya guna 8 inci aluminium foil. Ketepikan.
  2. Dengan menggunakan mixer, pukul butter, vanila dan gula hingga ringan dan gebu. Masukkan telur secara berperingkat, setiap kali pukul rata.
  3. Masukkan tepung dan buttermilk berselang-seli (mulakan dengan tepung dan akhiri dengan tepung) dan pukul rata.
  4. Tuangkan adunan ke dalam acuan dan hentakkan sedikit supaya rata bahagian atasnya.
  5. Bakar selama 1 jam 10 minit atau sehingga masak. Uji dengan lidi yang dicucuk ke bahagian tengah kek, sekiranya tiada adunan yang lekat maknanya kek sudah masak.
  6. Biarkan seketika di dalam acuan (5 minit), kemudian keluarkan kek.
  7. Letakkan di atas redai untuk sejuk. Kemudian, potong dan simpan di dalam bekas kedap udara.




Fudgy Brownies

Sumber: http://www.laurainthekitchen.com/recipes/fudgy-brownies/

Bahan-bahan:
5 auns unsalted butter – suhu bilik
7 auns dark chocolate – dicairkan secara double-boiling
1 cawan gula
2 sudu teh esen vanila
1/4 sudu teh garam halus
1 sudu besar serbuk koko
2 biji telur gred A
2 sudu besar air suam
1 sudu teh serbuk Nescafe
2/3 cawan tepung gandum

Cara-cara:

  1. Panaskan oven pada suhu 350°C. Gris acuan 8 x 8 inci segi empat dengan sedikit butter dan lapikkan dengan baking paper. Ketepikan.
  2. Di dalam cawan, campurkan air suam dan serbuk Nescafe. Ketepikan.
  3. Di dalam mangkuk yang besar, pukul menggunakan whisk gula dan mentega hingga gebu. Masukkan telur, esen vanila dan campuran Nescafe. Pukul hingga sebati.
  4. Masukkan coklat yang dicairkan dan pukul lagi. Kemudian, masukkan bahan kering dan campurkan kesemua bahan hingga rata tetapi jangan over mix.
  5. Tuangkan adunan ke dalam acuan dan ratakan. Bakar selama 40 – 45 minit, uji dengan lidi untuk memastikan kek lembab tapi tidak basah.
  6. Biarkan sejuk di dalam acuan selama 5 minit sebelum dialihkan ke redai untuk sejuk sepenuhnya.
  7. Potong ikut suka dan hidangkan.



Pulut Kuning Tanak

Bahan-bahan:

1 kg beras pulut susu – dibasuh bersih
1 sudu besar serbuk kunyit
2 keping asam keping
Air secukupnya
1 kotak santan
Garam secukup rasa
2 helai daun pandan – disimpul

Cara-cara:

  1. Masukkan beras pulut, serbuk kunyit, asam keping dan air ke dalam besen dan rendam semalaman atau paling kurang 4 – 5 jam. Toskan airnya dan bilas sekali lagi.
  2. Masukkan ke dalam periuk nasi. Tuangkan air hingga ngam-ngam paras pulut dan masukkan santan, garam dan daun pandan. Kacau rata dan masak seperti biasa.

Kari Ayam dengan Kentang

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - dipotong 20
2 biji kentang – dipotong 6
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
5 biji bawang merah – dihiris
4 ulas bawang putih – dihiris
2 inci halia – dihiris mancis
1 sudu besar kerisik
1 peket kecil serbuk kari daging Baba's
2 tangkai daun kari – daun sahaja
1 cawan air
1/2 kotak santan
Garam secukup rasa
1 sudu besar Maggi Cukup Rasa
1 sudu teh pes asam jawa
1/2 cawan minyak masak

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga harum.
  2. Kemudian, masukkan bawang merah, bawang putih dan halia, tumis. Sementara itu, bancuh serbuk kari dan sedikit air supaya menjadi pes.
  3. Masukkan pes ke dalam bahan tumisan yang sudah sedikit garing. Kacau rata, masukkan kerisik dan daun kari. Perlahankan api dan tumis hingga garing dan pecah minyak.
  4. Masukkan ayam dan kentang, kacau rata supaya ayam kecut.
  5. Masukkan air dan kacau sekali-sekala hingga mendidih. Masukkan santan dan kacau lagi. Tutup periuk supaya kentang empuk tetapi kacau sekali-sekala untuk elakkan hangit di bahagian bawah.
  6. Setelah kentang empuk, masukkan garam, Cukup Rasa dan pes asam jawa. Kacau, rasa dan setelah mendidih dan kuah sedikit pekat, tutup api.