Showing posts with label Malay Kuihs. Show all posts
Showing posts with label Malay Kuihs. Show all posts

Wednesday, July 18, 2018

Menu 14 Julai 2018


Ikan Gerut-gerut Masak Asam Jawa

Sumber: IG @wanakamal

Olahan: mrskojiwami

Bahan-bahan:

3 keping ikan gerut-gerut
Serbuk kunyit dan garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng
1 batang serai – diketuk
3 biji bawang merah – dihiris nipis
2 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia – dihiris seperti mancis
1/4 sudu kecil pes asam jawa
1/2 biji tomato – dibelah 3
1/2 biji timun Jepun – dibelah 4 dan dibuang biji
1/2 biji bawang Holland – dibelah 3
5 biji cili padi merah – dipotong 2
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ikan dengan serbuk kunyit dan garam. Kemudian, goreng hingga garing. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  2. Dalam periuk berasingan, panaskan sedikit minyak gorengan ikan dan tumis bawang merah, bawang putih, halia dan serai hingga wangi dan perang.
  3. Masukkan air, pes asam jawa, timun, bawang Holland, tomato dan cili padi.
  4. Setelah mendidih, masukkan ikan goreng dan perasakan secukupnya.





Talam Gula Melaka


Sepatutnya talam gula merah, tapi sebab tak ada stok, gantikan dengan gula Melaka, so warna tak menyerlah sangat. Tapi rasa sedap je.

Sumber: http://ianyskitchen.blogspot.com/2017/10/tepung-talam-gula-merah.html

Olahan: mrskojiwami

Bahan-bahan lapisan bawah:

1 cawan gula melaka (sepatutnya gula merah)
1/2 cawan gula
4 1/4 cawan air
2 cawan tepung gandum – diayak
2 sudu besar (rata) tepung ubi – diayak
2 helai daun pandan – disimpul
1/2 sudu teh garam

Bahan-bahan lapisan atas:

3/4 cawan santan kotak + 3/4 cawan air
1 cawan tepung beras
1 sudu teh garam

Cara-cara:

  1. Lapisan bawah: Masukkan gula Melaka, gula, air dan daun pandan ke dalam periuk dan didihkan. Kacau hingga larut dan tutup api. Kemudian, tapis ke dalam bekas yang sesuai dan biarkan sejuk.
  2. Panaskan periuk kukus dan sapukan sedikit minyak sekeliling bahagian dalam loyang.
  3. Setelah air gula sejuk, campurkan bahan-bahan lapisan bawah yang lain dan gunakan whisk supaya rata.
  4. Tuangkan ke dalam periuk non-stick dan panaskan hingga sedikit pekat tetapi perlu dikacau selalu supaya tidak berketul. Alihkan dari api.
  5. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan kukus selama 20 minit. Tambah air panas jika air dalam kukusan tinggal sedikit.
  6. Selepas 20 minit, pastikan permukaan kuih tidak berair. Jika berair, sejukkan sebentar hingga air menyejat atau tekap perlahan-lahan dengan tisu dapur. Kemudian, cakarkan sedikit permukaannya dengan garpu. Ketepikan.
  7. Tambah air dalam kukusan dan biarkan mendidih.
  8. Untuk membuat lapisan atas, campurkan kesemua bahan dan tapis. Kemudian, masukkan ke dalam periuk non-stick dan panaskan di atas api kecil hingga naik wap sahaja. Alihkan dari api.
  9. Tuangkan ke atas lapisan gula Melaka tadi kemudian kukus selama 20 minit atau sehingga masak.
  10. Setelah masak, keluarkan dari pengukus dan biarkan betul-betul sejuk barulah dipotong.

Friday, July 13, 2018

Menu 11 Julai 2018


Cekodok Ikan Bilis

Bahan-bahan:

1 biji bawang Holland – dipotong dadu
1 biji cili merah – dicincang kasar
2 pokok kucai – dipotong 3 cm panjang
Segenggam ikan bilis – dibilas
1 biji telur
1/4 sudu kecil serbuk kunyit
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya
Tepung gandum secukupnya
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng
Sos cili sebagai pencicah

Cara-cara:

  1.  Satukan bawang Holland, cili merah, kucai, ikan bilis, telur, serbuk kunyit dan tepung. Tuangkan air sedikit demi sedikit supaya mendapat adunan yang tidak terlalu pekat atau terlalu cair. Kemudian, perasakan secukupnya. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak agak banyak. Jemput adunan menggunakan hujung jari ke dalam minyak. Goreng di atas api sederhana hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan minyaknya.
  3. Hidangkan dengan sos cili.




Sup Kepala Ikan Merah

Bahan-bahan:

Sebelah kepala ikan merah sederhana
1 sudu besar bawang putih yang dicincang
1/2 biji bawang Holland – dihiris nipis
1/2 inci halia – dihiris mancis
1/4 biji lobak merah – dipotong kiub
1/2 biji tomato – dipotong 3
1 ketul akar ketumbar – dibersihkan
1 pokok daun ketumbar – dihiris kasar
1 sudu besar minyak masak
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang Holland dan halia hingga harum.
  2. Masukkan air, lobak merah, tomato dan akar ketumbar. Kacau dan biarkan mendidih dan lobak merah agak lembut.
  3. Masukkan kepala ikan, garam dan MCR. Kacau perlahan dan biarkan mendidih. Sesuaikan rasa.
  4. Semasa menghidang, taburkan hirisan daun ketumbar.




Ayam Masak Lada Hitam

Bahan-bahan:

3 keping dada ayam – dipotong kiub
1/4 biji lada benggala hijau – dipotong kiub
1/4 biji lobak merah – dipotong kiub
1/4 pokok brokoli – dipotong kecil
1/4 biji bawang Holland – dihiris kasar
1 sudu besar bawang putih yang dicincang
1 sudu besar bawang besar yang dikisar
3 sudu besar sos lada hitam
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
3 biji cili padi merah – dipotong 2
3 sudu besar minyak masak
Sedikit air
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang besar hingga harum dan pecah minyak.
  2. Masukkan ayam dan lobak merah. Kacau rata hingga ayam berubah warna.
  3. Masukkan sos lada hitam, sos cili dan sos tiram. Kacau rata beberapa minit.
  4. Masukkan sedikit air, lada benggala hijau, brokoli, bawang Holland, cili padi, garam dan MCR. Kacau rata beberapa minit, agak-agak sayuran sudah lembut, tutup api.




Spaghetti Carbonara My Style of The Day

Bahan-bahan:

1 1/2 bungkus spaghetti – direbus mengikut arahan pada peket
3 sudu besar bawang putih yang dicincang halus
2 sudu besar bawang Holland yang dipotong dadu
6 batang sosej jumbo – dihiris nipis dan digoreng hingga garing
1 tin cendawan butang – dihiris nipis
1/2 biji lada benggala hijau – dipotong dadu
1/2 biji lada benggala kuning – dipotong dadu
3 biji cili padi merah – dihiris nipis
1/2 batang lobak merah – dipotong dadu
1 pokok daun ketumbar – dicincang kasar
2 tin sos carbonara Prego
1 tin sup cendawan Campbell’s
4 tin air
2 sudu tepung jagung – dibancuh dengan sedikit air
50 gm mentega (salted) + 5 sudu besar minyak masak
Garam, serbuk lada hitam kasar dan Maggi Cukup Rasa secukupnya

Cara-cara:

  1. Untuk membuat kuah, panaskan mentega dan minyak.
  2. Tumis bawang putih sebentar, kemudian masukkan bawang Holland. Tumis hingga perang dan layu.
  3. Masukkan cendawan, cili padi, lada benggala kuning dan hijau, serbuk lada hitam dan lobak merah. Tumis hingga layu dan lembut.
  4. Masukkan sos dan sup cendawan, kacau rata dan masukkan air. Kacau lagi sambil mendidih.
  5. Kemudian, masukkan sosej dan masak hingga mendidih. Kemudian, masukkan garam dan MCR, sesuaikan rasa dan tutup api.
  6. Taburkan daun ketumbar semasa menghidang. Hidangkan bersama spaghetti yang sudah direbus.





Ayam Panggang/Bakar

Bahan-bahan:

2 ekor ayam – dipotong ikut suka
2 batang serai – diketuk
Mentega

Bahan-bahan perapan:

1 biji limau kasturi – diambil jusnya
5 sudu besar bawang besar yang dikisar
Serbuk lada hitam kasar HEXA
Serbuk cajun HEXA
Serbuk BBQ HEXA
Serbuk bawang putih HEXA
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:

  1. Perap ayam bersama bahan perapan sekurang-kurangnya 3 jam atau lebih lama lebih sedap di dalam zipper bag. Simpan di bahagian bawah peti sejuk hingga tiba masa untuk membakar.
  2. Semasa membakar, oleskan mentega dengan serai yang diketuk ke atas ayam. Balik-balikkan hingga masak.
  3. Hidangkan bersama sos kegemaran.

Tuesday, July 3, 2018

Menu 31 Mei 2018

Kuih Keria/Gelang


Bahan-bahan:

2 biji (sederhana) ubi keledek putih – dipotong kiub
Tepung gandum secukupnya
2 sudu besar gula
1/4 cawan air
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Rebus ubi keledek dengan paras air menutupi keseluruhan ubi hingga empuk. Angkat dan biarkan sejuk seketika.
  2. Lenyek ubi menggunakan pelenyek atau garpu hingga hancur.
  3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil menguli hingga mendapat adunan yang boleh dibentuk.
  4. Bentukkan menjadi gegelang dan susun di atas dulang yang ditabur sedikit tepung. Buat sehingga habis.
  5. Panaskan minyak agak banyak dan goreng kuih hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan minyaknya.
  6. Di dalam kuali berasingan, panaskan air dan gula hingga berbuih sambil dikacau selalu.
  7. Masukkan kuih dan gaul rata, tutup api dan teruskan menggaul hingga air gula bertukar menjadi seperti kepingan putih. Angkat dan hidangkan.

Monday, June 25, 2018

Menu 25.6.2018

Cucur Jagung dan Udang



Bahan-bahan:

1 tongkol jagung manis – disagat isinya
2 pokok daun ketumbar – dicincang kasar
1/2 biji cili merah – dicincang halus
1 biji bawang besar – dipotong dadu
1 cawan udang kecil – dikupas
1 biji telur
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
Tepung gandum secukupnya
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:


  1. Satukan jagung, daun ketumbar, cili merah, bawang besar, udang, telur, tepung dan serbuk kunyit.
  2. Tuangkan air sedikit demi sedikit hingga mendapat adunan yang tidak terlalu pekat atau terlalu cair, agak-agak boleh dijemput dengan jari.
  3. Masukkan garam dan MCR dan sesuaikan rasa.
  4. Sementara itu, panaskan minyak agak banyak. Setelah cukup panas, jemputkan adunan ke dalam minyak dan buat hingga memenuhi kuali. Pastikan api sederhana.
  5. Goreng hingga kuning keemasan kedua-dua belah. Angkat, toskan minyak dan letakkan di atas pinggan berlapik dengan kitchen towel.
  6. Hidangkan dengan sos cili.



Lontong




Bahan-bahan kuah lodeh:

2 sudu besar udang kering – direndam hingga lembut, ditoskan
1 sudu besar ikan bilis – direndam hingga lembut, ditoskan
3 biji bawang merah – dipotong kecil
1 batang serai – diketuk
2 hirisan lengkuas
3 sudu besar bawang besar yang dikisar
1 sudu besar bawang putih yang dikisar
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 1/2 kotak santan
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
1/4 biji sengkuang – dihiris batang mancis
3/4 biji lobak merah – dihiris batang mancis
4 urat kacang panjang – dipotong serong
1/4 biji kobis – dihiris kasar
1 peket tempe – dipotong dadu dan digoreng sedikit
1 ketul tauhu keras – dipotong dadu dan digoreng sedikit
2 keping besar fuchuk – dipotong kecil, direndam hingga lembut
Segenggam suhun – direndam hingga lembut
1 cawan isi udang kecil
1/4 cawan minyak

13 peket ketupat mini – direbus hingga empuk, ditoskan, dipotong 4

Cara-cara:
  1. Kisar kering udang kering, ikan bilis dan bawang merah.
  2. Panaskan minyak. Tumis serai dan lengkuas hingga harum.
  3. Masukkan kisaran udang kering, ikan bilis dan bawang merah. Tumis hingga pecah minyak di atas api sederhana. Kacau selalu.
  4. Masukkan bawang besar dan bawang putih yang dikisar. Tumis lagi hingga pecah minyak.
  5. Masukkan serbuk kunyit, sengkuang dan lobak merah. Kacau rata, masukkan air (lebih kurang 4 cawan). Biarkan mendidih.
  6. Setelah mendidih, masukkan kacang panjang, kobis, udang dan santan. Kacau rata hingga mendidih dan masukkan fuchuk dan suhun. Perlahankan api dan kacau sekali sekala hingga mendidih.
  7. Masukkan garam, MCR, tauhu dan tempe. Kacau rata, sesuaikan rasa dan setelah mendidih, tutup api.
  8. Hidangkan bersama nasi impit dan sambal tumis ikan bilis.


Sambal Tumis Ikan Bilis

Bahan-bahan:

1 cawan ikan bilis yang disiang – dibilas bersih, ditoskan
1 biji bawang besar – dihiris nipis
1 biji bawang besar – dihiris kasar
1 1/2 cawan cili kisar (cili kering + bawang besar + bawang putih)
1 keping asam gelugur
1 ketul kecil gula melaka
3 sudu besar sos tiram
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
Air secukupnya
Minyak secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 1/2 cawan sahaja.
  3. Tumis bawang besar yang dihiris nipis hingga perang.
  4. Masukkan cili kisar dan tumis hingga mendidih.
  5. Masukkan gula melaka, asam gelugur dan sos tiram, tumis hingga pecah minyak sambil dikacau sekali sekala.
  6. Masukkan air dan kacau rata. Setelah mendidih, masukkan bawang besar yang dihiris kasar. Masak hingga agak lembut, masukkan ikan bilis, garam dan MCR. Sesuaikan rasa.

Monday, May 28, 2018

Menu 25 Mei 2018

9 Ramadhan


Bawal Emas Masak Gulai Lemak Cili Padi

Bahan-bahan:

2 keping bawal emas sederhana besar
1 batang serai – diketuk
3 helai daun limau purut – diracik
1/2 helai daun kunyit – diracik
1 keping asam gelugur
1/4 cawan air
3/4 kotak santan
1 biji terung panjang – dipotong 4 memanjang
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa

Bahan-bahan kisar halus:

3 biji bawang merah – dipotong kecil
1 1/2 inci kunyit – dipotong kecil
3 biji tomato ceri – dibelah 2
20 biji cili padi merah dan hijau – dipotong
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Masukkan bahan kisar, air, serai, daun kunyit dan daun limau purut ke dalam periuk dan panaskan.
  2. Setelah mendidih, masukkan santan, asam gelugur, ikan dan terung. Perlahankan api dan renihkan sambil dikacau sekali sekala untuk mengelakkan santan pecah minyak.
  3. Balikkan ikan perlahan-lahan supaya tidak hancur. Renihkan lagi sambil dikacau sekali sekala.
  4. Masukkan garam dan MCR. Renihkan hingga kuah sedikit pekat dan tutup api.


Daging Lembu Masak Sambal

Bahan-bahan:

400 gm daging lembu – dihiris nipis
1/2 biji bawang Holland – dihiris kasar
1 batang serai – diketuk
3 helai daun limau purut – diracik
1 1/2 cawan cili kisar
2 sudu besar sos tiram
1/2 sudu besar gula perang
1 keping asam gelugur
Air secukupnya
1/2 cawan minyak masak
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
Daun ketumbar untuk hiasan

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis serai dan cili kisar hingga mendidih. Masukkan gula perang dan tumis lebih kurang 5 minit.
  2. Masukkan sos tiram dan daun limau purut. Tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan daging dan asam gelugur, kacau rata sekali sekala hingga keluar airnya. Jika terlalu pekat, tambah sedikit air.
  4. Masukkan garam dan MCR, kacau rata hingga kuah memekat dan tutup api.


Inti Popia Carbonara

Bahan-bahan:

1/2 biji bawang Holland – dipotong dadu
3 ulas bawang putih – dicincang halus
4 ketul isi dada ayam – dipotong dadu
7 biji cendawan butang dalam tin – dipotong dadu
1 tin sos carbonara Prego
1/4 peket parmesan cheese yang diparut
Garam dan MCR secukup rasa
2 sudu besar minyak kelapa

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan tumis bawang Holland dan bawang putih hingga perang dan harum.
  2. Masukkan isi ayam dan kacau rata hingga berubah warna.
  3. Masukkan cendawan dan tumis lagi beberapa minit.
  4. Masukkan sos carbonara, keju, garam dan MCR secukup rasa.
  5. Kacau hingga agak pekat dan tutup api.
  6. Biarkan sejuk kemudian simpan di dalam peti sejuk sehingga hendak digunakan.


Budu

Bahan-bahan:

3 biji bawang merah – dihiris nipis
5 biji cili padi merah dan hijau – dihiris nipis
2 biji limau kasturi – diambil jusnya
1/2 botol budu Cap Limau

Cara-cara:
  1. Campurkan kesemua bahan dan hidangkan bersama ikan goreng.

Thursday, May 3, 2018

Menu 2 May 2018

Cekodok Pisang Vanila


Bahan-bahan:

1 sikat pisang awak yang ranum - dikupas dan dilecek halus
5 sudu besar gula (atau lebih jika suka manis)
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh serbuk vanila
Secubit garam
Tepung gandum secukupnya
Air secukupnya
Minyak yang banyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Satukan kesemua bahan kecuali minyak dan rehatkan 5 minit.
  2. Panaskan minyak. Jemputkan adunan ke dalam kuali hingga memenuhi ruang. Adunan akan mengembang sedikit.
  3. Goreng hingga perang di seluruh bahagian (balik-balikkan). Angkat dan toskan minyaknya.
  4. Hidangkan.

Thursday, April 19, 2018

Menu 13 April 2018

Breakfast

Karipap Daging


Bahan-bahan inti karipap (buat dahulu sebelum kulit):

3 sudu besar udang kering - direndam hingga lembut, ditoskan
3 ulas bawang putih
3 tangkai daun kari - dilurutkan
1 biji bawang besar - dipotong dadu
1 pokok daun ketumbar / sup - dihiris kasar
2 biji kentang - dikupas, dipotong dadu
1 biji keledek oren - dikupas, dipotong dadu
1 peket (kecil) serbuk kari daging
1 blok daging kisar Ramly - dilembutkan dalam suhu bilik (thawed)
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa
Maggi Cukup Rasa (jika suka)
Air secukupnya
4 sudu besar minyak

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, tumbuk atau kisar kering udang kering dan bawang putih. Tumis hingga perang dan harum.
  2. Masukkan serbuk kari, daun kari dan tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan daging dan lerai-leraikan menjadi ketulan kecil. Tumis hingga daging berubah warna.
  4. Masukkan bahan-bahan lain (lebihkan sedikit gula untuk rasa sedikit manis) dan pastikan air menutupi paras kentang dan keledek sahaja (jangan terlalu banyak). Masak dan kacau di atas api sederhana hingga betul-betul kering.
  5. Sejukkan dalam suhu bilik sebelum digunakan atau boleh juga disimpan di dalam peti sejuk (maksimum 3 - 4 hari) sebelum digunakan.

Bahan-bahan kulit karipap:

2 1/2 cawan tepung gandum - diayak
1 sudu besar tepung ubi - diayak
1 sudu besar tepung beras - diayak
2 sudu besar minyak masak
3 sudu besar marjerin Daisy
Sedikit garam
Air sejuk (peti sejuk) secukupnya
Sedikit tepung gandum untuk dusting

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan marjerin hingga cair. Ketepikan untuk sejuk sedikit.
  2. Satukan kesemua tepung dan buatkan lubang di bahagian tengah. Tuangkan campuran minyak dan dengan menggunakan senduk kayu (jika masih panas) atau hujung jari, ramas hingga menjadi seperti serbuk roti.
  3. Campurkan air sejuk dan garam dan kacau rata. Tuangkan sedikit demi sedikit hingga mendapat doh yang boleh dikepal dan tidak melekat. Bulatkan doh dan tutup. Rehatkan 30 minit supaya adunan mesra.
  4. Ambil sedikit adunan dan bulat-bulatkan (ikut saiz yang dikehendaki). Buat sehingga habis.
  5. Taburkan sedikit tepung pada papan pencanai dan rolling pin. Ambil sebiji bebola dan tekan. Kemudian leperkan (membujur) menggunakan rolling pin hingga mendapat ketebalan yang disukai.
  6. Angkat dan letakkan di tapak tangan. Letakkan 1 sudu besar inti dan lekatkan (separuh bulatan). Tekan bahagian tepi supaya tertutup rapat kemudian kelim. Buat sehingga habis dan susunkan di dalam dulang yang ditabur sedikit tepung.
  7. Panaskan minyak yang banyak. Setelah betul-betul panas, perlahankan api dan goreng karipap hingga perang keemasan. Angkat dan toskan.



Teatime

Buah Melaka


Bahan-bahan:

2 cawan tepung pulut - diayak
Air secukupnya
1/2 sudu teh pes pandan
1/2 bungkus kelapa parut putih
Sedikit garam halus
2 keping gula melaka - dipotong dadu kecil
Air untuk merebus + 1 simpulan daun pandan

Cara-cara:
  1. Masukkan tepung ke dalam bekas dan tuangkan air sedikit demi sedikit hingga mendapat doh yang boleh dikepal dan tidak melekat. Titiskan pes pandan dan uli lagi hingga rata.
  2. Panaskan air dan daun pandan dan biarkan mendidih. Satukan kelapa parut dan garam rata-rata. Ketepikan.
  3. Ambil sedikit adunan dan bulat-bulatkan. Kemudian, leperkan dan letakkan 1 - 2 kiub gula melaka di bahagian tengah dan tutup doh. Bulat-bulatkan semula. Buat lebih kurang 10 biji dan masukkan ke dalam air mendidih.
  4. Sementara menunggu masak, sambung buat buah melaka. Buah melaka yang sudah masak akan terapung dan ambil menggunakan senduk berlubang untuk toskan airnya.
  5. Golekkan di atas kelapa parut tadi dan susun di dalam pinggan.

Wednesday, April 18, 2018

Menu 10.4.2018

Lunch

Tempe goreng, sup cendawan dan tauhu, ayam goreng cili padi

Sup Cendawan dan Tauhu

Bahan-bahan:

2 batang cendawan king oyster - dipotong kiub
1/2 kotak tauhu lembut - dipotong kiub
2 biji bawang merah - dihiris nipis
1 ulas bawang putih - dihiris nipis
1/2 sudu teh halia kisar
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa
Sedikit minyak
Hirisan daun ketumbar

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia kisar hingga layu dan perang.
  2. Masukkan air, cendawan dan tauhu. Kacau perlahan untuk mengelakkan tauhu pecah.
  3. Setelah mendidih, masukkan garam dan MCR (jika suka). Masak hingga mendidih dan tutup api. Taburkan daun ketumbar sebelum dihidangkan.


Ayam Goreng Cili Padi

Bahan-bahan:

10 ketul ayam
Sedikit serbuk kunyit dan garam
Minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan dikisar kasar (kering):

20 biji cili padi hijau - dipotong
10 biji cili padi merah - dipotong
5 ulas bawang putih - dipotong
1 biji bawang besar dipotong

Bahan-bahan lain:

Garam dan Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaulkan ayam dengan serbuk kunyit dan garam. Kemudian, goreng 3/4 masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 5 sudu besar sahaja.
  3. Tumis bahan kisar di atas api sederhana hingga pecah minyak dan sedikit garing.
  4. Masukkan ayam goreng, garam dan MCR. Kacau rata beberapa minit dan tutup api.


Teatime


Kuih Lapis


Diolah: Mrskojiwami

Bahan-bahan:

2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1 cawan gula
4 cawan santan (1 cawan santan KARA + 3 cawan air)
Secubit garam
Sedikit pewarna merah dan perisa ros (Star Brand)

Cara-cara:
  1. Panaskan pengukus dan sediakan loyang bersaiz 8 inci. Letakkan sedikit minyak dan lapikkan dengan plastik bersih.
  2. Satukan kesemua bahan dan kacau menggunakan whisk hingga tidak berbintil. Bahagikan bancuhan kepada dua. Satu bahagian dibiarkan putih dan satu bahagian lagi masukkan pewarna merah dan perisa ros.
  3. Masukkan loyang ke dalam periuk. Tuangkan 3 senduk kecil bancuhan putih ke dalamnya. Kukus selama 5 minit dengan menggunakan api yang besar.
  4. Setelah masak, tuangkan pula 3 senduk kecil bancuhan merah. Kukus selama 5 minit dengan menggunakan api yang besar.
  5. Ulang langkah 3 dan 4 berselang-seli hingga habis bancuhan (bancuhan merah di atas sekali).
  6. Untuk lapisan terakhir, kukus selama 15 - 20 minit. Setelah masak, keluarkan loyang dari pengukus dan biarkan sejuk sepenuhnya sebelum dipotong menggunakan pisau plastik.


Dinner


Udang Masak Lemak Cili Padi dengan Kacang Panjang

Bahan-bahan:

15 ekor udang putih sederhana besar - dibuang muncung/misai
4 urat kacang panjang - dipotong 4 cm panjang
3/4 kotak santan KARA
1/4 cawan air
1 keping asam gelugur
Garam dan sedikit Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

15 biji cili padi hijau - dipotong
5 biji cili padi merah - dipotong
1 inci kunyit - dipotong
2 biji bawang merah - dipotong
5 biji tomato ceri - dipotong
Sedikit air

Cara-cara:
  1. Masukkan bahan kisar, air, santan dan asam gelugur ke dalam periuk.
  2. Panaskan di atas api sederhana hingga berwap sambil dikacau selalu dan elakkan daripada meruap supaya santan tidak pecah (terasing).
  3. Masukkan udang, kacang panjang, garam dan MCR. Kacau rata hingga udang berubah warna dan kacang panjang lembut. Masak beberapa minit kemudian tutup api.

Friday, March 23, 2018

Menu 20.3.2018


Roti Jala

Bahan-bahan:

3 cawan tepung gandum - diayak
3 sudu besar santan KARA + air secukupnya
Sedikit serbuk kunyit dan garam
1 biji telur

Sedikit minyak untuk melengser non-stick pan + 1 simpulan daun pandan
Acuan roti jala

Cara-cara:

  1. Bancuh tepung gandum, santan, serbuk kunyit, garam dan telur hingga rata. Kemudian, tuangkan ke dalam blender dan kisar hingga halus. Adunan sepatutnya tidak terlalu pekat atau terlalu cair.
  2. Panaskan non-stick pan di atas api kecil, lengserkan minyak dengan menggunakan simpulan daun pandan. Celup acuan ke dalam bancuhan dan kiraikan di dalam pan dengan cara membuat bulatan di sekeliling pan, tidak perlu tebal.
  3. Setelah tepung berubah warna, terus angkat dan gulung seperti membuat popia. Susun di dalam pinggan.

Kari Ayam dan Kentang

Bahan-bahan:

300 gm ayam - dipotong kecil
1 biji kentang - dipotong dadu kecil
2 tangkai daun kari - dilurutkan daunnya
1 peket serbuk kari daging Baba's
2 sudu besar rempah kari giling (beli di pasar dengan orang India)
3 biji bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
2 sudu besar bawang besar kisar
1 sudu besar halia kisar
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1/4 kotak santan KARA
1 sudu besar kerisik
Air, garam dan Maggi Cukup Rasa
Sedikit air asam jawa
5 sudu besar minyak masak

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga harum.
  2. Masukkan bawang merah dan bawang putih dan tumis hingga layu dan sedikit garing.
  3. Masukkan bawang besar kisar dan halia kisar, kacau rata dan tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan daun kari, kerisik, rempah kari serbuk dan giling. Kacau rata dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  5. Masukkan ayam dan kentang, kacau rata hingga bersalut kesemuanya. Perlahankan api dan tutup periuk supaya ayam kecut sedikit. Kacau sekali sekala. Masukkan air dan tutup periuk supaya kentang empuk. Kacau sekali sekala.
  6. Masukkan santan, garam dan MCR secukup rasa. Kacau rata, setelah mendidih, masukkan air asam jawa. Kacau rata hingga mendidih lagi dan tutup api.



Pan Mee Goreng Lada Hitam

Bahan-bahan:
3 keping pan mee kering - direbus hingga masak dan ditoskan
1/2 ikat daun kucai - dipotong 4 cm panjang
1 cawan tauge
1/2 keping daging kisar Ramly - dilembutkan
2 sudu besar sos lada hitam
1 peket perencah tomyam (Maggi Tomyam)
Garam dan MCR secukup rasa
2 sudu besar minyak masak
Sedikit air

Bahan-bahan ditumbuk:
3 ulas bawang putih - dipotong
3 biji cili padi - dipotong

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga harum dan sedikit garing.
  2. Masukkan daging kisar dan tumis lagi hingga berubah warna.
  3. Masukkan sos lada hitam dan perencah tomyam. Kacau rata, masukkan air. Kacau lagi.
  4. Masukkan pan mee yang direbus, kucai, tauge, garam dan MCR. Besarkan sedikit api dan goreng hingga rata beberapa minit. Tutup api.

Monday, March 19, 2018

Teatime 14.3.2018



Kuih Ketayap

Bahan-bahan inti:

1/2 biji kelapa parut (putih sahaja)
1/2 ketul gula melaka - dipecah-pecahkan
1 sudu besar gula perang
Secubit garam
2 helai daun pandan - disimpul
1/4 cawan air
2 sudu besar tepung gandum

Cara-cara:

  1. Masukkan air, daun pandan, garam, gula melaka dan gula perang ke dalam periuk kecil dan panaskan di atas api kecil hingga betul-betul larut.
  2. Masukkan kelapa parut dan kacau sekali-sekala hingga pekat dan sedikit kering.
  3. Setelah agak kering (tetapi masih sedikit lembap), masukkan tepung gandum dan kacau rata. Fungsi tepung gandum adalah untuk hold inti, supaya tidak berderai. Biarkan sejuk sebelum digunakan.
Bahan-bahan kulit:

1 cawan (atau lebih) tepung gandum - diayak
1/2 kotak santan + 1 cawan air - dikacau rata
Secubit garam
1 biji telur - dipukul sedikit
1/2 sudu besar pandan emulco*
Sedikit minyak + simpulan daun pandan

*Kalau tidak menggunakan emulco, boleh kisar 4 helai daun pandan bersama sedikit air dan tapis. Kemudian tambah 1 - 2 titik pewarna hijau jika suka.

Cara-cara:
  1. Satukan tepung dan garam dan kacau rata.
  2. Buatkan lubang di bahagian tengah. Tuangkan campuran santan dan telur. Kacau menggunakan whisk hingga rata dan tidak berketul. Kemudian, tuangkan emulco dan kacau rata.
  3. Masukkan adunan ke dalam pengisar dan kisar hingga halus. Dengan cara ini, adunan tidak perlu ditapis lagi. Jika tidak menggunakan cara ini, pastikan adunan dipukul rata dan tapis sebelum digunakan.
  4. Panaskan non-stick pan, sapukan sedikit minyak rata-rata menggunakan simpulan daun pandan yang dicelup ke dalam minyak.
  5. Tuangkan 1 senduk adunan dan lenggangkan supaya nipis. Biarkan adunan berubah warna dan lekang sedikit di bahagian tepinya. Kuiskan dengan sudip dan angkat. Ketepikan. Buat hingga habis.
  6. Sementara membuat baki kulit, ambil sekeping kulit yang sudah masak tadi. Letakkan 1 sudu besar inti dan gulung seperti membuat popiah. Buat sehingga habis.

Teatime 13.3.2018

 Donat

Burger Malaysia


Donat/Burger Malaysia

Bahan-bahan doh:

500 gm tepung gandum Cap Bunga Ros - diayak
1 peket (11 gm) yis kering
3 sudu besar susu tepung
1 sudu kecil gula
Secubit garam
265 ml air suam
1 biji telur - dipukul sedikit
1 sudu besar vegetable shortening
2 sudu besar mentega yang dicairkan

Bahan-bahan sambal tumis ikan bilis:

1/2 cawan ikan bilis yang disiang - dibasuh dan ditoskan
1/2 biji bawang besar - dihiris nipis
1 1 /2 sudu kecil gula perang
1 sudu besar sos tiram
Garam secukup rasa
1 keping kecil asam gelugur/1/4 sudu teh pes asam jawa
3 sudu besar minyak masak
Sedikit air

Bahan-bahan dikisar halus:

Segenggam cili kering - digunting, buang biji dan direbus hingga lembut, ditoskan
1 biji bawang besar - dipotong kecil
2 ulas bawang putih - dipotong kecil
Air secukupnya

Bahan-bahan hiasan:
3/4 cawan gula halus/aising
1 sudu teh serbuk kulit kayu manis
Hirisan timun Jepun
Hirisan telur rebus

Cara-cara membuat donat/burger Malaysia:
  1. Satukan gula dan air suam dan kacau hingga larut. Kemudian, tuangkan yis kering, kacau sedikit dan biarkan berbuih.
  2. Sementara itu, masukkan tepung, susu tepung dan garam ke dalam mangkuk dan kacau rata.
  3. Kemudian, masukkan mentega cair dan telur. Gaul rata menggunakan tangan atau spatula hingga menjadi seperti serbuk roti.
  4. Tuangkan campuran yis sedikit demi sedikit hingga mendapat doh yang boleh diuli. Teruskan menguli beberapa minit, kemudian masukkan shortening. Uli lagi hingga doh tidak melekat pada tangan (pada awalnya doh sedikit melekit).
  5. Rehatkan doh selama 45 minit - 1 jam (tutup permukaan bekas dengan cling wrap) dan letakkan di tempat yang bersuhu sedikit panas supaya doh naik dengan cantik dan cepat.
  6. Sementara itu, boleh sediakan inti sambal.
  7. Setelah doh naik sekali ganda, tumbuk-tumbuk doh sedikit untuk mengeluarkan angin, kemudian uli lagi beberapa minit.
  8. Ambil doh dan timbang 50 gm sebiji untuk membuat burger Malaysia. Buat dalam 10 biji (atau lebih). Susun di dalam dulang dan perap 15 minit.
  9. Untuk membuat donat, ambil baki doh tadi dan gelek setebal 4 mm. Kemudian, tekap menggunakan acuan donat. Susun di dalam dulang dan perap 15 minit.
  10. Jika tidak menggunakan acuan, ambil doh dan timbang 30 gm setiap satu. Bulat-bulatkan hingga licin kemudian leperkan. Buat lubang dengan menggunakan jari dan bentukkan menjadi gelang. Susun di dalam dulang dan perap 15 minit.
  11. Panaskan minyak di atas api sederhana. Goreng doh hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan minyaknya.
  12. Untuk membuat burger Malaysia, setelah kuih sejuk, belah 2 tanpa putus di bahagian tengah. Letakkan sekeping hirisan timun, 1 sudu besar sambal tumis ikan bilis dan sekeping hirisan telur rebus. Katupkan dan susun di dalam pinggan.
  13. Untuk donat pula, sediakan sepiring gula halus/aising dan taburkan 1 sudu teh serbuk kulit kayu manis. Kacau rata. Sebaik sahaja minyak ditoskan, golek-golekkan di dalam campuran gula dan susun di dalam pinggan.
Cara-cara membuat sambal tumis:
  1. Panaskan minyak, goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan. 
  2. Kemudian, dengan menggunakan minyak yang sama, tumis hirisan bawang hingga layu.
  3. Masukkan bahan kisar dan tumis hingga mendidih.
  4. Masukkan gula perang dan tumis sebentar diikuti dengan sos tiram. Tumis hingga pecah minyak.
  5. Masukkan air dan masak hingga mendidih dan sedikit pekat.
  6. Masukkan ikan bilis dan garam secukup rasa. Kacau hingga rata dan sedikit kering, tutup api dan biarkan sejuk.

Friday, March 16, 2018

Breakfast 070318



Cucur Udang dan Bawang

Bahan-bahan:

2 cawan tepung gandum
3 sudu besar Maggi Cukup Rasa
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1 biji telur
Air secukupnya
1 cawan isi udang - dipotong kecil
1 pokok kucai - dipotong 2 cm
1 biji cili merah - dicincang
1 biji bawang Holland - dipotong dadu
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Satukan kesemua bahan kecuali minyak masak. Pastikan adunan tidak terlalu cair atau terlalu pekat. Tambah air dan tepung secukupnya. Rehatkan selama 15 - 30 minit.
  2. Panaskan minyak (agak banyak) di atas api sederhana. Jemputkan adunan menggunakan hujung jari dan masukkan ke dalam minyak. Ulang hingga agak penuh di dalam kuali. Balik-balikkan hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan minyaknya. Letakkan di atas pinggan yang dilapik dengan kitchen towel untuk menyerap lebihan minyak. Kemudian, susunkan di dalam pinggan hidangan. Ulang sehingga habis.
  3. Hidangkan dengan sos cili.



Friday, January 26, 2018

23.1.2018: Projek Karipap

Karipap Daging


Bahan-bahan kulit karipap:

2 1/2 cawan tepung gandum Cap Bunga Ros – diayak
1/4 buku mentega + 1/4 cawan minyak – dipanaskan
2 sudu besar vegetable shortening
1 sudu teh garam halus + air sejuk dari fridge (agak-agak)
Sedikit tepung ditaburkan di atas dulang/penggelek



Cara-cara:
  1. Masukkan tepung ke dalam bekas besar. Buatkan lubang di bahagian tengah.
  2. Perlahan-lahan tuangkan minyak panas di bahagian tengah. Gunakan senduk kayu untuk mengacau bahan. Setelah agak sejuk, gunaka hujung jari untuk meramas tepung.
  3. Masukkan shortening dan teruskan meramas tepung hingga menjadi seperti serbuk roti.
  4. Tuangkan air sejuk sedikit-sedikit sambil terus menguli dan mula menjadi doh yang boleh diuli.
  5. Sambung uli hingga tidak melekat dan doh nampak licin. Perap selama 1/2 jam – 2 jam. Kalau nak terus buat pun boleh juga, tapi inti kena sejuk betul-betul.
  6. Ambil sejemput doh dan bulat-bulatkan menjadi bebola (macam meatball Ikea tu). Buat sehingga habis.

Bahan-bahan inti:

2 biji kentang – dipotong dadu
1 biji keledek oren sederhana – dipotong dadu
1 biji bawang besar – dipotong dadu
1 pokok daun sup/ketumbar – dihiris halus
2 tangkai daun kari – ambil daun sahaja
1 keping daging kisar Ramly – dibiar lembut pada suhu bilik
1 peket serbuk kari daging Baba’s – dijadikan pes
Garam, gula (lebih sedikit) dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
5 sudu besar minyak masak
Air secukupnya

Bahan-bahan ditumbuk halus:

1/2 cawan udang kering – direndam hingga lembut, ditoskan
3 ulas bawang putih

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk hingga wangi dan sedikit garing.
  2. Masukkan pula daun kari dan pes kari. Tumis hingga sedikit garing dan pecah minyak.
  3. Masukkan daging kisar dan gemburkan, kacau rata hingga bertukar warna.
  4. Masukkan kentang, keledek, bawang, daun sup, garam, gula dan MCR. Kacau rata.
  5. Masukkan air hingga menutupi paras kentang sahaja. Masak sehingga airnya kering, sesuaikan rasa.
  6. Biarkan betul-betul sejuk sebelum mula membuat karipap.

Untuk membuat karipap:
  1. Tabur sedikit tepung pada alas dan penggelek. Ambil sebiji bebola, leperkan dengan tapak tangan, kemudian gelek dengan roller pin hingga nipis (jangan terlalu tebal atau terlalu nipis).
  2. Angkat dan letakkan di atas tapak tangan. Letakkan 1 sudu besar (atau lebih) inti ke bahagian tengah. Kemudian, tutup kedua-dua hujung dan tekan-tekan dengan jari supaya inti ditutup dengan doh.
  3. Mulakan mengelim dari satu hujung ke satu hujung.
  4. Letakkan di atas dulang yang ditabur sedikit tepung. Buat sehingga habis.
  5. Panaskan minyak agak banyak. Pastikan tidak terlalu panas. Goreng karipap hingga keemasan. Angkat dan toskan minyaknya. Hidangkan.

Thursday, September 28, 2017

23 September 2017 – Karipap Daging

Assalammualaikum,


Hari Sabtu lepas, terrajin buat karipap daging, sekilo tepung lagi, tak pernah lagi buat sekilo tepung untuk karipap. Sepatutnya dapat 76 biji karipap, tapi lagi 9 biji doh tak cukup inti, so dapat la 67 je. Jadilah. Kali ni untuk kulitnya, saya buat guna style lain. Ok la, baru la tak melekat sesama sendiri walaupun dan tabur tepung. Kali ni tak tabur tepung pun tak melekat. So boleh la stick dengan resipi ni. Untuk inti, saya buat campuran keledek oren dan kentang sebab Mr. K yang macam tu. Kalau ikut saya, saya suka kentang je.

Jom tengok resipi.


Karipap Daging





Bahan-bahan kulit karipap:

1 kg tepung gandum Cap Bunga Ros
1 1/2 sudu teh garam bukit (yang warna pink tu)
1 cawan (atau lebih, agak-agak) air sejuk berais
3 sudu besar Planta
3 sudu besar vegetable shortening

Cara-cara:

  1. Sediakan tepung di dalam besen yang besar. Buatkan lubang di bahagian tengahnya.
  2. Satukan garam dan air sejuk berais. Kacau. Ketepikan.
  3. Panaskan Planta dan shortening di atas api perlahan hingga cair.
  4. Biarkan sejuk seketika kemudian tuang ke bahagian tengah tepung tadi.
  5. Guna hujung jari dan gaul hingga menjadi seperti serbuk roti. Kalau belum cukup marjerin/shortening, boleh cairkan sedikit lagi hingga mendapat tekstur yang dikehendaki.
  6. Tuangkan air sejuk sedikit-sedikit, sambil menguli doh hingga mendapat doh yang tidak melekat.
  7. Ambil sejemput (ikut saiz yang dikehendaki) dan gentel sambil bulat-bulatkan doh menjadi bebola kecil. Tutup besen dengan kain bersih supaya tidak kering. Rehatkan lebih kurang 1/2 jam.
  8. Sediakan dulang/papan penguli dan taburkan sedikit tepung. Ambil sebiji bebola tadi dan leperkan dengan tapak tangan. Kemudian, gelekkan dengan penggelek menjadi sedikit nipis dan bujur. Ambil dan letakkan di atas tapak tangan. Letakkan sesudu (agak-agak) inti karipap dan tutupkan (menjadi bentuk semi-bulatan).
  9. Tekan sekeliling doh dengan jari. Kemudian, kelim dari hujung ke hujung. Buat sehingga habis.
  10. Panaskan minyak yang banyak, goreng hingga perang. Angkat dan toskan minyaknya. Sedia dihidangkan.


Inti karipap:

1 biji sederhana besar keledek oren – dikupas kulitnya, dipotong dadu
3 biji kentang sederhana besar – dikupas kulitnya, dipotong dadu
1 biji bawang besar – dipotong dadu
Secekak daun ketumbar – dihiris kasar
1 keping daging kisar Ramly – dilembutkan pada suhu bilik
1 peket serbuk kari daging Baba's
3 tangkai daun kari
2 sudu besar udang kering – dibasuh*
3 ulas bawang putih – dikupas*
Air secukupnya
Gula, garam dan Maggi Cukup

Cara-cara:

  1. Bancuh serbuk kari dan daun kari dengan air hingga menjadi pes.
  2. Tumbuk bahan bertanda * hingga halus.
  3. Panaskan 1/2 senduk kecil minyak atas api sederhana. Tumis bahan tumbuk hingga perang keemasan.
  4. Masukkan pes kari dan tumis hingga pecah minyak. Kemudian, masukkan daging kisar dan kacau rata. Masak sehingga daging kecut.
  5. Masukkan kentang, keledek, bawang besar, daun ketumbar, garam, gula dan Maggi Cukup Rasa.
  6. Tuangkan air hingga menutupi paras dan masak sehingga kering. Biarkan sejuk sebelum digunakan.

Tuesday, September 26, 2017

Menu 14.9.2017

Assalammualaikum,

Jom tengok resipi.


BREAKFAST

Cucur Udang


Bahan-bahan:

1 biji bawang Holland – dipotong dadu
1 biji cili merah – dicincang kasar
Segenggam udang yang dikupas – dicincang kasar
Secekak daun kucai – dipotong 3 cm panjang
2 cawan tepung gandum
1/4 sudu kecil serbuk kunyit
Maggi Cukup Rasa secukupnya
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Bancuh kesemua bahan kecuali minyak hingga mesra. Rehatkan 1/2 jam.
  2. Panaskan minyak (agak banyak). Jemput adunan menggunakan jari dan masukkan ke dalam kuali.
  3. Goreng hingga kekuning-kuningan. Angkat, toskan minyaknya dan hidangkan bersama sos cili.



LUNCH

Asam Rebus + Singgang Ikan Bawal Emas


Bahan-bahan:

1 ekor ikan bawal emas sederhana – dipotong 3
5 biji bendi
1 batang serai – diketuk
1 kuntum bunga kantan – dibelah 2
2 tangkai daun kesum – ambil daun sahaja
Air secukupnya
Garam secukup rasa
2 keping asam gelugur

Bahan-bahan ditumbuk:

3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 biji buah keras
1/2 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
1 biji cili merah

Cara-cara:

  1. Masukkan lebih kurang 1 1/2 cawan air, asam gelugur, serai, bunga kantan, daun kesum dan bahan tumbuk ke dalam periuk. Didihkan.
  2. Masukkan ikan dan bendi. Kacau perlahan, masukkan garam. Setelah mendidih dan ikan masak, rasa, jika ok, tutup api.

Thursday, June 22, 2017

14 Ramadan ~ 9.6.2017

Assalammualaikum,

Jom tengok resipi hari ni.


Kuey Teow Goreng Simple

 Sahur: Kuey teow goreng

Bahan-bahan:

1 peket besar kuey teow Cap Kunci (plastik merah) – dibilas untuk hilangkan minyaknya
2 biji telur
1 ikat kucai – dipotong 4 cm panjang
3 ulas bawang putih – dicincang kasar
1/2 biji bawang besar – dihiris kasar
5 biji tomato ceri – dibelah 4
2 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
Kicap manis + kicap cair secukupnya
Maggi Cukup Rasa secukupnya
1/2 senduk kecil minyak

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Goreng telur hancur, angkat, toskan minyaknya dan ketepikan.
  2. Tumis bawang putih dan bawang besar hingga layu.
  3. Masukkan tomato dan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak, kemudian masukkan sos cili dan sos tiram. Kacau lagi sebentar.
  4. Setelah mendidih dan pecah minyak, masukkan kuey teow, kucai dan MCR. Goreng rata, tuangkan kicap manis dan kicap cair. Kacau rata.
  5. Akhir sekali, masukkan telur dan gaul rata. Tutup api.



Ikan Patin Masak Tempoyak (Lagi!)


Bahan-bahan:

1 ekor ikan patin potongan ikan patin
1 kuntum bunga kantan – dibelah 2
3 tangkai daun kesum – ambil daunnya sahaja
1 batang serai – diketuk
1 keping asam keping
Air secukupnya
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

1 biji cili merah
5 biji cili padi merah
1 inci kunyit
4 sudu besar tempoyak
Sedikit air

Cara-cara:

  1. Masukkan kesemua bahan kecuali garam ke dalam periuk dan jerang di atas api sederhana.
  2. Kacau sekali-sekala perlahan-lahan untuk elakkan ikan lerai.
  3. Akhir sekali, masukkan garam. Setelah mendidih dan ikan masak, tutup api.




Nasi Goreng Kampung


Bahan-bahan:

3 cawan nasi sejuk – digembur
1/2 ikat kangkung – disiang
Garam dan Maggi Cukup Rasa
1/2 senduk kecil minyak
2 biji telur

Bahan-bahan ditumbuk/dikisar kasar:

1/2 cawan ikan bilis – dibasuh
1 inci belacan
10 biji cili padi hijau
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bahan tumbuk hingga wangi dan garing.
  2. Masukkan garam dan MCR, diikuti dengan nasi dan kangkung. Kacau rata.
  3. Buat lubang di bahagian tengah, pecahkan telur dan kacau sedikit.
  4. Setelah telur agak mengeras, kacau rata bersama nasi beberapa minit. Setelah rata, tutup api.



Ayam Goreng Kunyit


Bahan-bahan:

3 ketul isi ayam – dipotong kiub
2 sudu besar tepung beras
Sedikit garam dan Maggi Cukup Rasa
Minyak untuk menggoreng
3 ulas bawang putih – dicincang kasar
7 batang kacang buncis – dipotong serong 4 cm
1 biji cili merah – dihiris kasar
1/2 biji bawang Holland – dihiris kasar

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ayam, tepung beras, sedikit garam dan MCR. Goreng hingga garing.
  2. Angkat dan toskan minyaknya.
  3. Tinggalkan 1 sudu besar minyak sahaja.
  4. Tumis bawang putih dan bawang Holland hingga wangi.
  5. Masukkan kacang buncis dan cili merah. Tumis sebentar hingga sedikit layu.
  6. Masukkan semula ayam goreng dan kacau rata. Angkat dan hidangkan.





Cekodok Pisang



Bahan-bahan:

8 biji pisang emas – dilecek
3 sudu besar gula
Secubit garam
1 sudu kecil esen vanila (tak letak pun takpe)
Tepung gandum secukupnya
1 sudu kecil soda bikarbonat

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak agak banyak.
  2. Sementara itu, campurkan kesemua bahan hingga sebati menggunakan tangan.
  3. Jemput sedikit ke dalam minyak masak dan goreng hingga keperangan.
  4. Angkat dan toskan minyaknya.





Friday, June 16, 2017

5 Ramadan ~ 31.5.2017

Assalammualaikum,

Karipap pusing tak jadi pusing jugak. Kena try lagi ni tapi tak tau la bila kan. Hari bekerja so menu pun asal sempat je la. Sampai rumah pun dah pukul 6 p.m.

Jom tengok resipi.



Karipap Daging dan Kentang (resepi ada di post sebelumnya)


Asam Pedas Ikan Bawal Emas

Asam Pedas Ikan Bawal Emas

Bahan-bahan:

1 ekor ikan bawal emas sederhana besar – dipotong 3
1 batang serai – diketuk
1/2 kuntum bunga kantan – dibelah 2
5 tangkai daun kesum – ambil daun sahaja
5 biji bendi – dipotong 2
5 biji tomato ceri
2 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil halba
3 sudu besar pes asam jawa
Air secukupnya
Garam secukup rasa
1/2 cawan minyak

Bahan-bahan dikisar halus:

1 cawan cili kering yang sudah direbus
5 biji bawang kecil – dipotong
3 ulas bawang putih – dipotong
1 batang serai – dipotong
1 inci kunyit – dipotong
1 inci halia – dipotong
1 inci belacan – dibakar sedikit
Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis halba sebentar diikuti dengan serai. Setelah harum, masukkan bahan kisar dan lada hitam dan tumis hingga pecah minyak. Keluarkan lebihan minyak jika perlu.
  2. Masukkan air dan pes asam jawa. Kacau rata dan biarkan mendidih.
  3. Setelah mendidih, masukkan ikan, bunga kantan, daun kesum, bendi dan tomato ceri. Kacau perlahan, masukkan garam.
  4. Setelah mendidih dan ikan masak, tutup api.


Thursday, June 15, 2017

2 Ramadan ~ 28.5.2017

Assalammualaikum,

Hari ni terlebih rajin. Minggu lepas ada buat karipap pusing (tapi tak jadi pusing), ada la balance inti. So hari ni gagah nak try sekali lagi buat. Masa belum masak, nampak juga pusingnya, dah masak, hampeh hahah... takpe practice makes perfect. Nasib rasa tetap sedap huhu. Seriously tak ingat resipi siapa, tapi ada campur-campur from various sources la.

Mak pun dah banyak kali bagi hint nasi ketumbar, so hari ni buat la walaupun malas betul rasa nak buat nasi berperisa ni. Renyah kan.... banyak keje. Lauk dia pulak lawankan dengan ayam masak cili padi untuk saya yang suka pedas dan ayam percik untuk yang lain. Kuih pulak sempat la buat buah Melaka. Seharian kat dapur hari ni!

Ok, jom tengok resipi.





Karipap Pusing

Bahan-bahan kulit karipap 1:

1 cawan tepung gandum Cap Bunga Ros
2 sudu besar marjerin Daisy
2 sudu besar lemak sayuran (vegetable shortening)


Bahan-bahan kulit karipap 2:

1 cawan tepung gandum Cap Bunga Ros
1/2 cawan minyak masak – dipanaskan
Air berais + sedikit garam secukupnya

Cara-cara:

  1. Untuk kulit karipap 1, gaulkan kesemua bahan hingga menjadi doh. Bulatkan dan bahagi kepada 6 bahagian yang sama besar. Ketepikan.
  2. Untuk kulit karipap 2, masukkan tepung di dalam bekas, buatkan lubang di bahagian tengah dan tuangkan minyak panas. Gunakan senduk kayu untuk mengacau adunan. Agak-agak dah sejuk sikit, gunakan hujung jari dan ramas adunan menjadi seperti serbuk roti.
  3. Tuangkan air ais sedikit-sedikit hingga mendapat doh yang boleh diuli. Bahagikan kepada 6 bahagian dan bulat-bulatkan.
  4. Leperkan kulit karipap 2 dan letakkan 1 biji doh karipap 1 di bahagian tengah dan balut dan bulatkan.
  5. Kemudian, gelek dan gulung. Gelek dan gulung sekali lagi barulah dipotong kepada beberapa bahagian. Masa ni dah nampak corak pusing.
  6. Ambil seketul dan gelek. Isikan inti dan kelim. Buat sehingga habis.
  7. Untuk frozenkan, goreng 1/2 masak dan toskan minyaknya. Simpan di dalam bekas yang sesuai.
  8. Untuk menggoreng, panaskan minyak di atas api sederhana. Pastikan minyak betul-betul panas barulah goreng karipap. Balik-balikkan hingga keperangan. Angkat dan toskan minyaknya.

P.S.: Walaupun buat kali kedua, karipap pusing saya masih tak berapa menjadi pusingnya. Mak saya kata, lain kali simpan doh sekejap dalam fridge baru gelek dan klim. Ok nanti saya try.




Buah Melaka

Bahan-bahan:

1 biji kelapa parut bahagian putih sahaja
Secubit garam halus
1 1/2 cawan tepung pulut
Air secukupnya
1 sudu kecil pes pandan
1/2 sudu kecil pewarna hijau
Gula Melaka – dipotong kiub
Air untuk merebus
1 helai daun pandan – disimpul

Cara-cara:

  1. Gaulkan kelapa parut dengan garam dan ketepikan.
  2. Panaskan air rebusan dan masukkan daun pandan. Biarkan mendidih.
  3. Di dalam bekas yang sesuai, masukkan tepung, pes pandan dan air (agak-agak). Uli sebentar dan masukkan pewarna hijau. Tambah air jika perlu. Uli sehingga lembut dan boleh dibentuk.
  4. Ambil sedikit doh, bulat-bulatkan dan tekan bahagian tengah supaya sedikit leper.
  5. Masukkan sebiji kiub gula Melaka dan balut dan bulat-bulatkan. Buat dalam 10 biji dan masukkan ke dalam air rebusan.
  6. Kuih akan masak apabila timbul di permukaan air rebusan. Angkat, toskan airnya dan golekkan dalam kelapa parut.
  7. Susun di dalam pinggan hidangan. Ulang sehingga habis.




Ayam Masak Cili Padi

Bahan-bahan:

8 ketul ayam
1 keping asam keping
2 sudu besar sos tiram
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa
1/2 cawan minyak

Bahan-bahan dikisar halus:

6 biji bawang putih
1/2 biji bawang besar
1 inci kunyit
20 biji cili padi merah dan hijau
Air

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar dan sos tiram hingga pecah minyak.
  2. Masukkan ayam dan asam keping. Perlahankan api dan renih hingga ayam kecut.
  3. Masukkan 1/2 cawan air, garam dan Maggi Cukup Rasa.
  4. Kacau sekali-sekala hingga masak dan kuah sedikit pekat.
  5. Angkat dan hidangkan.




Ayam Percik

Sumber: www.maggi.com.my

Olahan: mrskojiwami

Bahan:

10 ketul ayam

Bahan-bahan dikisar halus:

2 biji bawang besar
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 inci halia
3 batang serai – dipotong
1/2 cawan cili kisar
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar biji ketumbar
2 sudu besar Maggi Cukup Rasa
1/2 kotak santan
1/2 cawan air
1/2 sudu besar pes asam jawa
1 sudu kecil gula
Garam secukup rasa (jika perlu)

Cara-cara:

  1. Perap ayam dengan bahan kisar selama 4 jam.
  2. Panaskan oven pada suhu 200°C.
  3. Lapik dulang pembakar dengan foil dan letakkan ayam yang diperap. Kemudian, tutup dengan sekeping lagi foil.
  4. Naikkan suhu oven kepada 250°C dan bakar selama 1 jam atau sehingga masak. Selepas 1/2 jam pertama, buka foil bahagian atas dan biarkan ayam masak.
  5. Sementara itu, panaskan baki perapan di dalam periuk kecil hingga pekat.
  6. Sudukan ke atas ayam sementara dipanggang. Ini akan menyebabkan bahagian atas ayam sedikit garing.
  7. Setelah masak, keluarkan dan hidangkan.




Nasi Ketumbar

Sumber: ctdelima.net

Olahan: mrskojiwami

Bahan-bahan:

5 cawan beras basmathi – dibasuh bersih
2 sudu besar mentega
2 sudu besar minyak masak
5 ulas bawang putih – dicincang
1/2 biji bawang Holland – dipotong dadu
1 batang serai – diketuk
Sedikit pewarna hijau
Garam dan Maggi Cukup Rasa
5 cawan air
1/4 cawan susu cair

Bahan dikisar halus:

3 pokok daun ketumbar + akar

Cara-cara:

  1. Panaskan rice cooker, masukkan mentega dan minyak. Setelah panas, tumis bawang putih, bawang Holland dan serai hingga harum dan sedikit garing.
  2. Masukkan kisaran daun ketumbar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan beras dan kacau rata. Biarkan sebentar barulah masukkan air dan susu cair. Kacau rata, masukkan Maggi Cukup Rasa dan garam dan masak nasi seperti biasa.
  4. Setelah masak, titiskan pewarna hijau secara random dan gunakan garpu untuk lerai-leraikan nasi. Tutup semula dan biarkan di dalam periuk nasi selama 5 minit sebelum dihidangkan.





Wednesday, May 24, 2017

Breakfast Menu 24.5.2017

Assalammualaikum,

Hari ni terlambat sikit keluar rumah. Kesian Qayyum, hari2 masuk sekolah lambat. Dah cuba bangun pukul 5 am setiap hari pun still aku lambat. Kalau nak cepat, memang kena masak untuk mak dari malam sebelumnya, tapi takkan la nak masak sup sayur pun dari malam sebelumnya kan? Haruslah masak pagi-pagi tu. Buat breakfast lagi, kalau tak sempat, mintak tolong En K buatkan air. Kalau sempat, aku la yang buat. Pagi2 je kena ada 3 jenis air. Nescafe untuk aku dan En K. Milo untuk kiddos. Mak teh halia 3 in 1. Kadang2 tak buat breakfast pun. Diorang ni kadang2 pagi2 sgt tu tak lalu makan. Aku lak yang bengang, penat masak tak makan pulak. Kena la paksa sapa2 bawa bekal. Kalau tak rugi je la kan. Untuk mak biasanya, yang simple2 je. Sup sayur dengan fishball, ikan goreng, ikan masin goreng (fave mak), ikan rebus goreng (fave mak), tempe goreng (fave mak). Macam tu je la, sebab mak kata dah tak larat nak makan benda-benda keras, gigi dah tak kuat. Ayam memang sejak mak tua ni dia kurang sikit. So mostly ikan dan sayur je la. Kadang2 aku rajin buat la masak lemak putih ke, masak lodeh ke, camtu la... Tapi pun, if buat from scratch pagi2 buta tu, tetap la tak sempat nak siapkan before 6.30 am.

Ok la, pagi ni buat cekodok pisang. Pisang En K beli dari hari Sabtu lagi, pisang emas dibawa belayar. Semalam aku dah siapkan bancuhan then simpan peti sejuk. Pagi ni baru menjemput pisang. Jom tengok resipi la ya.

Cekodok Pisang

Bahan-bahan:

15 biji pisang emas – dikupas kulit
4 sudu besar gula
1 sudu kecil soda bikarbonat
2 cawan tepung gandum Cap Bunga Ros (agak-agak) – aku suka la guna tepung ni
1/2 sudu kecil garam

Cara-cara:

  1. Lenyek pisang hingga hancur bersama gula.
  2. Masukkan bahan-bahan lain dan kacau hingga mesra. Adunan mestilah tidak terlalu lembik atau terlalu keras. Yang sedang-sedang saja.
  3. Panaskan minyak. Jemputkan adunan ke dalam minyak. Buat hingga hampir penuh kuali. Jangan penuh sangat nanti adunan mengembang tak muat kuali pulak.
  4. Goreng hingga perang hitam-hitam sikit, cekodok memang kaler macam tu. Angkat dan toskan minyaknya. Buat sehingga habis.