Donat
Burger Malaysia
Donat/Burger Malaysia
Bahan-bahan doh:
500 gm tepung gandum Cap Bunga Ros - diayak
1 peket (11 gm) yis kering
3 sudu besar susu tepung
1 sudu kecil gula
Secubit garam
265 ml air suam
1 biji telur - dipukul sedikit
1 sudu besar vegetable shortening
2 sudu besar mentega yang dicairkan
Bahan-bahan sambal tumis ikan bilis:
1/2 cawan ikan bilis yang disiang - dibasuh dan ditoskan
1/2 biji bawang besar - dihiris nipis
1 1 /2 sudu kecil gula perang
1 sudu besar sos tiram
Garam secukup rasa
1 keping kecil asam gelugur/1/4 sudu teh pes asam jawa
3 sudu besar minyak masak
Sedikit air
Bahan-bahan dikisar halus:
Segenggam cili kering - digunting, buang biji dan direbus hingga lembut, ditoskan
1 biji bawang besar - dipotong kecil
2 ulas bawang putih - dipotong kecil
Air secukupnya
Bahan-bahan hiasan:
3/4 cawan gula halus/aising
1 sudu teh serbuk kulit kayu manis
Hirisan timun Jepun
Hirisan telur rebus
Cara-cara membuat donat/burger Malaysia:
- Satukan gula dan air suam dan kacau hingga larut. Kemudian, tuangkan yis kering, kacau sedikit dan biarkan berbuih.
- Sementara itu, masukkan tepung, susu tepung dan garam ke dalam mangkuk dan kacau rata.
- Kemudian, masukkan mentega cair dan telur. Gaul rata menggunakan tangan atau spatula hingga menjadi seperti serbuk roti.
- Tuangkan campuran yis sedikit demi sedikit hingga mendapat doh yang boleh diuli. Teruskan menguli beberapa minit, kemudian masukkan shortening. Uli lagi hingga doh tidak melekat pada tangan (pada awalnya doh sedikit melekit).
- Rehatkan doh selama 45 minit - 1 jam (tutup permukaan bekas dengan cling wrap) dan letakkan di tempat yang bersuhu sedikit panas supaya doh naik dengan cantik dan cepat.
- Sementara itu, boleh sediakan inti sambal.
- Setelah doh naik sekali ganda, tumbuk-tumbuk doh sedikit untuk mengeluarkan angin, kemudian uli lagi beberapa minit.
- Ambil doh dan timbang 50 gm sebiji untuk membuat burger Malaysia. Buat dalam 10 biji (atau lebih). Susun di dalam dulang dan perap 15 minit.
- Untuk membuat donat, ambil baki doh tadi dan gelek setebal 4 mm. Kemudian, tekap menggunakan acuan donat. Susun di dalam dulang dan perap 15 minit.
- Jika tidak menggunakan acuan, ambil doh dan timbang 30 gm setiap satu. Bulat-bulatkan hingga licin kemudian leperkan. Buat lubang dengan menggunakan jari dan bentukkan menjadi gelang. Susun di dalam dulang dan perap 15 minit.
- Panaskan minyak di atas api sederhana. Goreng doh hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan minyaknya.
- Untuk membuat burger Malaysia, setelah kuih sejuk, belah 2 tanpa putus di bahagian tengah. Letakkan sekeping hirisan timun, 1 sudu besar sambal tumis ikan bilis dan sekeping hirisan telur rebus. Katupkan dan susun di dalam pinggan.
- Untuk donat pula, sediakan sepiring gula halus/aising dan taburkan 1 sudu teh serbuk kulit kayu manis. Kacau rata. Sebaik sahaja minyak ditoskan, golek-golekkan di dalam campuran gula dan susun di dalam pinggan.
Cara-cara membuat sambal tumis:
- Panaskan minyak, goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.
- Kemudian, dengan menggunakan minyak yang sama, tumis hirisan bawang hingga layu.
- Masukkan bahan kisar dan tumis hingga mendidih.
- Masukkan gula perang dan tumis sebentar diikuti dengan sos tiram. Tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan air dan masak hingga mendidih dan sedikit pekat.
- Masukkan ikan bilis dan garam secukup rasa. Kacau hingga rata dan sedikit kering, tutup api dan biarkan sejuk.
No comments:
Post a Comment