Wednesday, April 18, 2018

Menu 10.4.2018

Lunch

Tempe goreng, sup cendawan dan tauhu, ayam goreng cili padi

Sup Cendawan dan Tauhu

Bahan-bahan:

2 batang cendawan king oyster - dipotong kiub
1/2 kotak tauhu lembut - dipotong kiub
2 biji bawang merah - dihiris nipis
1 ulas bawang putih - dihiris nipis
1/2 sudu teh halia kisar
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa
Sedikit minyak
Hirisan daun ketumbar

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia kisar hingga layu dan perang.
  2. Masukkan air, cendawan dan tauhu. Kacau perlahan untuk mengelakkan tauhu pecah.
  3. Setelah mendidih, masukkan garam dan MCR (jika suka). Masak hingga mendidih dan tutup api. Taburkan daun ketumbar sebelum dihidangkan.


Ayam Goreng Cili Padi

Bahan-bahan:

10 ketul ayam
Sedikit serbuk kunyit dan garam
Minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan dikisar kasar (kering):

20 biji cili padi hijau - dipotong
10 biji cili padi merah - dipotong
5 ulas bawang putih - dipotong
1 biji bawang besar dipotong

Bahan-bahan lain:

Garam dan Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaulkan ayam dengan serbuk kunyit dan garam. Kemudian, goreng 3/4 masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 5 sudu besar sahaja.
  3. Tumis bahan kisar di atas api sederhana hingga pecah minyak dan sedikit garing.
  4. Masukkan ayam goreng, garam dan MCR. Kacau rata beberapa minit dan tutup api.


Teatime


Kuih Lapis


Diolah: Mrskojiwami

Bahan-bahan:

2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1 cawan gula
4 cawan santan (1 cawan santan KARA + 3 cawan air)
Secubit garam
Sedikit pewarna merah dan perisa ros (Star Brand)

Cara-cara:
  1. Panaskan pengukus dan sediakan loyang bersaiz 8 inci. Letakkan sedikit minyak dan lapikkan dengan plastik bersih.
  2. Satukan kesemua bahan dan kacau menggunakan whisk hingga tidak berbintil. Bahagikan bancuhan kepada dua. Satu bahagian dibiarkan putih dan satu bahagian lagi masukkan pewarna merah dan perisa ros.
  3. Masukkan loyang ke dalam periuk. Tuangkan 3 senduk kecil bancuhan putih ke dalamnya. Kukus selama 5 minit dengan menggunakan api yang besar.
  4. Setelah masak, tuangkan pula 3 senduk kecil bancuhan merah. Kukus selama 5 minit dengan menggunakan api yang besar.
  5. Ulang langkah 3 dan 4 berselang-seli hingga habis bancuhan (bancuhan merah di atas sekali).
  6. Untuk lapisan terakhir, kukus selama 15 - 20 minit. Setelah masak, keluarkan loyang dari pengukus dan biarkan sejuk sepenuhnya sebelum dipotong menggunakan pisau plastik.


Dinner


Udang Masak Lemak Cili Padi dengan Kacang Panjang

Bahan-bahan:

15 ekor udang putih sederhana besar - dibuang muncung/misai
4 urat kacang panjang - dipotong 4 cm panjang
3/4 kotak santan KARA
1/4 cawan air
1 keping asam gelugur
Garam dan sedikit Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

15 biji cili padi hijau - dipotong
5 biji cili padi merah - dipotong
1 inci kunyit - dipotong
2 biji bawang merah - dipotong
5 biji tomato ceri - dipotong
Sedikit air

Cara-cara:
  1. Masukkan bahan kisar, air, santan dan asam gelugur ke dalam periuk.
  2. Panaskan di atas api sederhana hingga berwap sambil dikacau selalu dan elakkan daripada meruap supaya santan tidak pecah (terasing).
  3. Masukkan udang, kacang panjang, garam dan MCR. Kacau rata hingga udang berubah warna dan kacang panjang lembut. Masak beberapa minit kemudian tutup api.

No comments: