Thursday, June 15, 2017

2 Ramadan ~ 28.5.2017

Assalammualaikum,

Hari ni terlebih rajin. Minggu lepas ada buat karipap pusing (tapi tak jadi pusing), ada la balance inti. So hari ni gagah nak try sekali lagi buat. Masa belum masak, nampak juga pusingnya, dah masak, hampeh hahah... takpe practice makes perfect. Nasib rasa tetap sedap huhu. Seriously tak ingat resipi siapa, tapi ada campur-campur from various sources la.

Mak pun dah banyak kali bagi hint nasi ketumbar, so hari ni buat la walaupun malas betul rasa nak buat nasi berperisa ni. Renyah kan.... banyak keje. Lauk dia pulak lawankan dengan ayam masak cili padi untuk saya yang suka pedas dan ayam percik untuk yang lain. Kuih pulak sempat la buat buah Melaka. Seharian kat dapur hari ni!

Ok, jom tengok resipi.





Karipap Pusing

Bahan-bahan kulit karipap 1:

1 cawan tepung gandum Cap Bunga Ros
2 sudu besar marjerin Daisy
2 sudu besar lemak sayuran (vegetable shortening)


Bahan-bahan kulit karipap 2:

1 cawan tepung gandum Cap Bunga Ros
1/2 cawan minyak masak – dipanaskan
Air berais + sedikit garam secukupnya

Cara-cara:

  1. Untuk kulit karipap 1, gaulkan kesemua bahan hingga menjadi doh. Bulatkan dan bahagi kepada 6 bahagian yang sama besar. Ketepikan.
  2. Untuk kulit karipap 2, masukkan tepung di dalam bekas, buatkan lubang di bahagian tengah dan tuangkan minyak panas. Gunakan senduk kayu untuk mengacau adunan. Agak-agak dah sejuk sikit, gunakan hujung jari dan ramas adunan menjadi seperti serbuk roti.
  3. Tuangkan air ais sedikit-sedikit hingga mendapat doh yang boleh diuli. Bahagikan kepada 6 bahagian dan bulat-bulatkan.
  4. Leperkan kulit karipap 2 dan letakkan 1 biji doh karipap 1 di bahagian tengah dan balut dan bulatkan.
  5. Kemudian, gelek dan gulung. Gelek dan gulung sekali lagi barulah dipotong kepada beberapa bahagian. Masa ni dah nampak corak pusing.
  6. Ambil seketul dan gelek. Isikan inti dan kelim. Buat sehingga habis.
  7. Untuk frozenkan, goreng 1/2 masak dan toskan minyaknya. Simpan di dalam bekas yang sesuai.
  8. Untuk menggoreng, panaskan minyak di atas api sederhana. Pastikan minyak betul-betul panas barulah goreng karipap. Balik-balikkan hingga keperangan. Angkat dan toskan minyaknya.

P.S.: Walaupun buat kali kedua, karipap pusing saya masih tak berapa menjadi pusingnya. Mak saya kata, lain kali simpan doh sekejap dalam fridge baru gelek dan klim. Ok nanti saya try.




Buah Melaka

Bahan-bahan:

1 biji kelapa parut bahagian putih sahaja
Secubit garam halus
1 1/2 cawan tepung pulut
Air secukupnya
1 sudu kecil pes pandan
1/2 sudu kecil pewarna hijau
Gula Melaka – dipotong kiub
Air untuk merebus
1 helai daun pandan – disimpul

Cara-cara:

  1. Gaulkan kelapa parut dengan garam dan ketepikan.
  2. Panaskan air rebusan dan masukkan daun pandan. Biarkan mendidih.
  3. Di dalam bekas yang sesuai, masukkan tepung, pes pandan dan air (agak-agak). Uli sebentar dan masukkan pewarna hijau. Tambah air jika perlu. Uli sehingga lembut dan boleh dibentuk.
  4. Ambil sedikit doh, bulat-bulatkan dan tekan bahagian tengah supaya sedikit leper.
  5. Masukkan sebiji kiub gula Melaka dan balut dan bulat-bulatkan. Buat dalam 10 biji dan masukkan ke dalam air rebusan.
  6. Kuih akan masak apabila timbul di permukaan air rebusan. Angkat, toskan airnya dan golekkan dalam kelapa parut.
  7. Susun di dalam pinggan hidangan. Ulang sehingga habis.




Ayam Masak Cili Padi

Bahan-bahan:

8 ketul ayam
1 keping asam keping
2 sudu besar sos tiram
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa
1/2 cawan minyak

Bahan-bahan dikisar halus:

6 biji bawang putih
1/2 biji bawang besar
1 inci kunyit
20 biji cili padi merah dan hijau
Air

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar dan sos tiram hingga pecah minyak.
  2. Masukkan ayam dan asam keping. Perlahankan api dan renih hingga ayam kecut.
  3. Masukkan 1/2 cawan air, garam dan Maggi Cukup Rasa.
  4. Kacau sekali-sekala hingga masak dan kuah sedikit pekat.
  5. Angkat dan hidangkan.




Ayam Percik

Sumber: www.maggi.com.my

Olahan: mrskojiwami

Bahan:

10 ketul ayam

Bahan-bahan dikisar halus:

2 biji bawang besar
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 inci halia
3 batang serai – dipotong
1/2 cawan cili kisar
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar biji ketumbar
2 sudu besar Maggi Cukup Rasa
1/2 kotak santan
1/2 cawan air
1/2 sudu besar pes asam jawa
1 sudu kecil gula
Garam secukup rasa (jika perlu)

Cara-cara:

  1. Perap ayam dengan bahan kisar selama 4 jam.
  2. Panaskan oven pada suhu 200°C.
  3. Lapik dulang pembakar dengan foil dan letakkan ayam yang diperap. Kemudian, tutup dengan sekeping lagi foil.
  4. Naikkan suhu oven kepada 250°C dan bakar selama 1 jam atau sehingga masak. Selepas 1/2 jam pertama, buka foil bahagian atas dan biarkan ayam masak.
  5. Sementara itu, panaskan baki perapan di dalam periuk kecil hingga pekat.
  6. Sudukan ke atas ayam sementara dipanggang. Ini akan menyebabkan bahagian atas ayam sedikit garing.
  7. Setelah masak, keluarkan dan hidangkan.




Nasi Ketumbar

Sumber: ctdelima.net

Olahan: mrskojiwami

Bahan-bahan:

5 cawan beras basmathi – dibasuh bersih
2 sudu besar mentega
2 sudu besar minyak masak
5 ulas bawang putih – dicincang
1/2 biji bawang Holland – dipotong dadu
1 batang serai – diketuk
Sedikit pewarna hijau
Garam dan Maggi Cukup Rasa
5 cawan air
1/4 cawan susu cair

Bahan dikisar halus:

3 pokok daun ketumbar + akar

Cara-cara:

  1. Panaskan rice cooker, masukkan mentega dan minyak. Setelah panas, tumis bawang putih, bawang Holland dan serai hingga harum dan sedikit garing.
  2. Masukkan kisaran daun ketumbar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan beras dan kacau rata. Biarkan sebentar barulah masukkan air dan susu cair. Kacau rata, masukkan Maggi Cukup Rasa dan garam dan masak nasi seperti biasa.
  4. Setelah masak, titiskan pewarna hijau secara random dan gunakan garpu untuk lerai-leraikan nasi. Tutup semula dan biarkan di dalam periuk nasi selama 5 minit sebelum dihidangkan.





No comments: