Karipap Daging
Bahan-bahan inti karipap (buat dahulu sebelum kulit):
3 sudu besar udang kering - direndam hingga lembut, ditoskan
3 ulas bawang putih
3 tangkai daun kari - dilurutkan
1 biji bawang besar - dipotong dadu
1 pokok daun ketumbar / sup - dihiris kasar
2 biji kentang - dikupas, dipotong dadu
1 biji keledek oren - dikupas, dipotong dadu
1 peket (kecil) serbuk kari daging
1 blok daging kisar Ramly - dilembutkan dalam suhu bilik (thawed)
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa
Maggi Cukup Rasa (jika suka)
Air secukupnya
4 sudu besar minyak
Cara-cara:
- Panaskan minyak. Sementara itu, tumbuk atau kisar kering udang kering dan bawang putih. Tumis hingga perang dan harum.
- Masukkan serbuk kari, daun kari dan tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan daging dan lerai-leraikan menjadi ketulan kecil. Tumis hingga daging berubah warna.
- Masukkan bahan-bahan lain (lebihkan sedikit gula untuk rasa sedikit manis) dan pastikan air menutupi paras kentang dan keledek sahaja (jangan terlalu banyak). Masak dan kacau di atas api sederhana hingga betul-betul kering.
- Sejukkan dalam suhu bilik sebelum digunakan atau boleh juga disimpan di dalam peti sejuk (maksimum 3 - 4 hari) sebelum digunakan.
Bahan-bahan kulit karipap:
2 1/2 cawan tepung gandum - diayak
1 sudu besar tepung ubi - diayak
1 sudu besar tepung beras - diayak
2 sudu besar minyak masak
3 sudu besar marjerin Daisy
Sedikit garam
Air sejuk (peti sejuk) secukupnya
Sedikit tepung gandum untuk dusting
Cara-cara:
- Panaskan minyak dan marjerin hingga cair. Ketepikan untuk sejuk sedikit.
- Satukan kesemua tepung dan buatkan lubang di bahagian tengah. Tuangkan campuran minyak dan dengan menggunakan senduk kayu (jika masih panas) atau hujung jari, ramas hingga menjadi seperti serbuk roti.
- Campurkan air sejuk dan garam dan kacau rata. Tuangkan sedikit demi sedikit hingga mendapat doh yang boleh dikepal dan tidak melekat. Bulatkan doh dan tutup. Rehatkan 30 minit supaya adunan mesra.
- Ambil sedikit adunan dan bulat-bulatkan (ikut saiz yang dikehendaki). Buat sehingga habis.
- Taburkan sedikit tepung pada papan pencanai dan rolling pin. Ambil sebiji bebola dan tekan. Kemudian leperkan (membujur) menggunakan rolling pin hingga mendapat ketebalan yang disukai.
- Angkat dan letakkan di tapak tangan. Letakkan 1 sudu besar inti dan lekatkan (separuh bulatan). Tekan bahagian tepi supaya tertutup rapat kemudian kelim. Buat sehingga habis dan susunkan di dalam dulang yang ditabur sedikit tepung.
- Panaskan minyak yang banyak. Setelah betul-betul panas, perlahankan api dan goreng karipap hingga perang keemasan. Angkat dan toskan.
Teatime
Buah Melaka
Bahan-bahan:
2 cawan tepung pulut - diayak
Air secukupnya
1/2 sudu teh pes pandan
1/2 bungkus kelapa parut putih
Sedikit garam halus
2 keping gula melaka - dipotong dadu kecil
Air untuk merebus + 1 simpulan daun pandan
Cara-cara:
- Masukkan tepung ke dalam bekas dan tuangkan air sedikit demi sedikit hingga mendapat doh yang boleh dikepal dan tidak melekat. Titiskan pes pandan dan uli lagi hingga rata.
- Panaskan air dan daun pandan dan biarkan mendidih. Satukan kelapa parut dan garam rata-rata. Ketepikan.
- Ambil sedikit adunan dan bulat-bulatkan. Kemudian, leperkan dan letakkan 1 - 2 kiub gula melaka di bahagian tengah dan tutup doh. Bulat-bulatkan semula. Buat lebih kurang 10 biji dan masukkan ke dalam air mendidih.
- Sementara menunggu masak, sambung buat buah melaka. Buah melaka yang sudah masak akan terapung dan ambil menggunakan senduk berlubang untuk toskan airnya.
- Golekkan di atas kelapa parut tadi dan susun di dalam pinggan.
No comments:
Post a Comment