Wednesday, July 18, 2018

Menu 14 Julai 2018


Ikan Gerut-gerut Masak Asam Jawa

Sumber: IG @wanakamal

Olahan: mrskojiwami

Bahan-bahan:

3 keping ikan gerut-gerut
Serbuk kunyit dan garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng
1 batang serai – diketuk
3 biji bawang merah – dihiris nipis
2 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia – dihiris seperti mancis
1/4 sudu kecil pes asam jawa
1/2 biji tomato – dibelah 3
1/2 biji timun Jepun – dibelah 4 dan dibuang biji
1/2 biji bawang Holland – dibelah 3
5 biji cili padi merah – dipotong 2
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ikan dengan serbuk kunyit dan garam. Kemudian, goreng hingga garing. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  2. Dalam periuk berasingan, panaskan sedikit minyak gorengan ikan dan tumis bawang merah, bawang putih, halia dan serai hingga wangi dan perang.
  3. Masukkan air, pes asam jawa, timun, bawang Holland, tomato dan cili padi.
  4. Setelah mendidih, masukkan ikan goreng dan perasakan secukupnya.





Talam Gula Melaka


Sepatutnya talam gula merah, tapi sebab tak ada stok, gantikan dengan gula Melaka, so warna tak menyerlah sangat. Tapi rasa sedap je.

Sumber: http://ianyskitchen.blogspot.com/2017/10/tepung-talam-gula-merah.html

Olahan: mrskojiwami

Bahan-bahan lapisan bawah:

1 cawan gula melaka (sepatutnya gula merah)
1/2 cawan gula
4 1/4 cawan air
2 cawan tepung gandum – diayak
2 sudu besar (rata) tepung ubi – diayak
2 helai daun pandan – disimpul
1/2 sudu teh garam

Bahan-bahan lapisan atas:

3/4 cawan santan kotak + 3/4 cawan air
1 cawan tepung beras
1 sudu teh garam

Cara-cara:

  1. Lapisan bawah: Masukkan gula Melaka, gula, air dan daun pandan ke dalam periuk dan didihkan. Kacau hingga larut dan tutup api. Kemudian, tapis ke dalam bekas yang sesuai dan biarkan sejuk.
  2. Panaskan periuk kukus dan sapukan sedikit minyak sekeliling bahagian dalam loyang.
  3. Setelah air gula sejuk, campurkan bahan-bahan lapisan bawah yang lain dan gunakan whisk supaya rata.
  4. Tuangkan ke dalam periuk non-stick dan panaskan hingga sedikit pekat tetapi perlu dikacau selalu supaya tidak berketul. Alihkan dari api.
  5. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan kukus selama 20 minit. Tambah air panas jika air dalam kukusan tinggal sedikit.
  6. Selepas 20 minit, pastikan permukaan kuih tidak berair. Jika berair, sejukkan sebentar hingga air menyejat atau tekap perlahan-lahan dengan tisu dapur. Kemudian, cakarkan sedikit permukaannya dengan garpu. Ketepikan.
  7. Tambah air dalam kukusan dan biarkan mendidih.
  8. Untuk membuat lapisan atas, campurkan kesemua bahan dan tapis. Kemudian, masukkan ke dalam periuk non-stick dan panaskan di atas api kecil hingga naik wap sahaja. Alihkan dari api.
  9. Tuangkan ke atas lapisan gula Melaka tadi kemudian kukus selama 20 minit atau sehingga masak.
  10. Setelah masak, keluarkan dari pengukus dan biarkan betul-betul sejuk barulah dipotong.

No comments: