Wednesday, April 25, 2018

Menu 20 April 2018

Nasi Goreng Belacan


Bahan-bahan:

2 cawan nasi sejuk - dileraikan
2 biji telur
1 pokok daun bawang - dipotong 2 cm
3 sudu besar minyak masak
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar kasar/ditumbuk:

10 biji cili padi merah dan hijau - dipotong
1/2 biji bawang besar - dipotong
2 inci belacan
Segenggam ikan bilis - dikupas dan dibilas

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar di atas api sederhana hingga hampir garing.
  2. Masukkan garam dan MCR. Kacau rata.
  3. Masukkan nasi dan daun bawang dan gaul rata beberapa minit.
  4. Buatkan lubang di bahagian tengah, pecahkan telur. Biarkan telur mengeras sedikit baru dikacau bersama nasi, pastikan telur tidak terlalu hancur.
  5. Kacau lagi beberapa minit dan tutup api.




Laksa Utara My Version

 Hirisan cili padi dan cili merah, laksa yang dicelur, telur rebus, hirisan bawang besar, hirisan timun Jepun, hirisan limau nipis


Bahan-bahan kuah laksa:

2 ekor ikan kembung jenis besar - dibersihkan
1 tin kecil sardin Cap Ayam
3 batang serai - dipotong
4 inci belacan - dibakar
2 senduk kecil cili kisar
2 biji bawang besar - dipotong
2 kuntum bunga kantan - dibelah 2
Secekak daun kesum - dilurutkan
8 keping asam gelugur - dibasuh
Garam dan Maggi Cukup Rasa
Air untuk merebus secukupnya, tambah jika perlu
1 peket mi laksa beras - direndam 5 - 6 jam/semalaman
Air untuk mencelur mi laksa

Bahan-bahan sampingan:

1/2 biji timun Jepun - dihiris seperti mancis
1 biji bawang besar - dibelah 2 dan dihiris nipis
1 biji cili merah - dihiris nipis
10 biji cili padi - dihiris nipis
3 biji limau nipis - dibelah potongan kecil
5 biji telur - direbus dan dibelah 2

Cara-cara:

  1. Panaskan air (lebih kurang 4 cawan) dan masukkan ikan kembung. Rebus hingga masak dan biarkan sejuk.
  2. Sementara itu, masukkan sardin, serai, belacan, bawang besar, separuh bunga kantan, separuh daun kesum dan air secukupnya ke dalam blender dan kisar hingga halus. Masukkan ke dalam periuk berasingan.
  3. Setelah ikan sejuk, asingkan isi dan tulang. Pada bahagian isi yang diasingkan, pastikan tiada tulang yang tertinggal. Kemudian, masukkan ke dalam blender bersama 1/2 air rebusan dan kisar hingga halus. Masukkan ke dalam periuk yang berisi kisaran belacan tadi.
  4. Masukkan pula tulang termasuk kepala ikan ke dalam blender dan tambahkan baki air rebusan. Kisar hingga halus dan tapiskan ke dalam periuk berisi kisaran belacan tadi.
  5. Tambah asam gelugur dan cili kisar dan renihkan kuah di atas api sederhana supaya rasa dan aroma asam gelugur keluar dan mesra dengan kuah.
  6. Setelah mendidih, masukkan baki bunga kantan dan daun kesum. Tambahkan garam dan MCR secukup rasa. Masak sehingga kuah agak pekat sambil dikacau sekali-sekala. Tutup setelah masak. Kuah laksa akan bertambah sedap jika disimpan sehari atau lebih. Lebihan kuah yang tidak habis, simpan di dalam tupperware dan sejukbekukan untuk kegunaan lain kali.
  7. Sediakan air secukupnya untuk merebus mi laksa dan hidupkan api. Sementara itu, tapis dan toskan mi laksa.
  8. Setelah air mendidih, masukkan mi laksa dan kacau selalu hingga mi laksa lembut. Angkat dan toskan.
  9. Semasa menghidang, sendukkan mi laksa ke dalam mangkuk dan tuangkan kuah secukupnya. Taburkan bahan-bahan sampingan dan letakkan telur rebus dan limau nipis. Semasa hendak makan, perahkan limau nipis dan sedia dinikmati. Jika suka, boleh tambah petis (otak udang).

No comments: