Kuih Gelang/Keria
Bahan-bahan:
1 biji keledek kuning - dikupas dan dipotong kecil
2 biji keledek oren - dikupas dan dipotong kecil
Secubit garam
Air untuk merebus
1/2 - 1 cawan tepung gandum (agak-agak)
Minyak untuk menggoreng
Tepung untuk dusting
1/4 cawan air
5 sudu besar gula
Cara-cara:
- Basuh keledek hingga bersih, masukkan ke dalam periuk bersama air dan garam. Rebus hingga empuk. Toskan air dan biarkan sejuk.
- Lenyek hingga halus, buang serat ubi jika ada.
- Tambahkan tepung sedikit demi sedikit hingga dapat adunan yang kurang melekat. (Tips: Lebihkan keledek kuning daripada keledek oren kerana keledek oren sangat lembik dan sukar dibentuk walaupun dah letak banyak tepung, atau gunakan keledek kuning sahaja).
- Ambil sejemput dan bulat-bulatkan. Kemudian, bentukkan menjadi panjang kira-kira sejengkal. Kemudian cantumkan kedua-dua hujung supaya menjadi seperti gelang. Tekan sedikit untuk melekatkannya. Susun di atas dulang yang telah ditabur tepung, kemudian taburkan sedikit tepung di atas permukaannya. Buat sehingga habis.
- Panaskan minyak. Goreng kuih hingga keemasan, angkat dan toskan minyak. Ketepikan.
- Dengan menggunakan kuali berasingan, didihkan air dan gula di atas api sederhana.
- Setelah mula menggelegak, masukkan kuih dan gaul rata. Tutup api dan teruskan menggaul kuih hingga air gula bertukar menjadi seperti garam kasar (crystalised). Proses ini agak lama dan lenguh sedikit. Angkat dan hidangkan.
Menu makan tengah hari dan malam
Telur Masak Sambal
Bahan-bahan:
3 biji telur - dibasuh kulitnya
1/2 biji bawang Holland - dihiris nipis
1/2 biji bawang Hollang - dihiris bulat
1 keping asam gelugur
3 senduk kecil cili kisar
1/4 sudu besar gula perang
1 sudu besar sos tiram
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Minyak untuk menumis
Cara-cara:
- Panaskan minyak. Tumis bawang yang dihiris nipis hingga layu dan perang.
- Masukkan cili kisar dan gula perang. Tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan sos tiram dan tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan air dan asam keping. Kacau dan biarkan mendidih.
- Masukkan garam dan bawang hiris bulat, kacau. Kemudian, pecahkan telur sebiji-sebiji ke dalam sambal.
- Kaupkan sambal ke atas telur perlahan-lahan. Masak sebentar jika suka kuning telur cair. Jika tidak, masak hingga kuning telur mengeras.
- Angkat perlahan-lahan dan masukkan ke dalam pinggan.
Masak Lemak Cili Padi Ikan Pelutan
Bahan-bahan:
7 ketul potongan ikan pelutan
1 mangkuk hirisan kasar terung - direndam untuk elakkan hitam
2 batang serai - dititik
1 helai daun kunyit - disiat
1 keping asam gelugur
3/4 kotak santan
1/4 cawan air
Garam dan Maggi Cukup Rasa
Bahan-bahan dikisar halus:
10 biji cili padi hijau
5 biji cili padi merah
1/4 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
2 inci kunyit
3 biji tomato ceri
Sedikit air
Cara-cara:
- Masukkan bahan kisar, serai, daun kunyit dan air ke dalam periuk. Panaskan di atas api sederhana hingga mendidih.
- Masukkan santan, asam keping, ikan dan terung ke dalam periuk. Masak di atas api perlahan sambil dikacau kuahnya selalu tetapi berhati-hati supaya ikan tidak hancur.
- Setelah berwap, masukkan garam dan MCR. Masak lagi hingga mendidih (pastikan kacau supaya santan tidak pecah). Tutup api.
Daging Masak Lada Hitam
Bahan-bahan:
250 gm daging batang pinang - dihiris ikut suka, dibasuh dan ditoskan
1/2 biji lada benggala kuning - dipotong kiub
3 biji tomato ceri - dibelah 2
1 pokok daun ketumbar - dipotong kasar, bersihkan akarnya
1/2 biji bawang Holland - dipotong baji
3 ulas bawang putih - diketuk
Minyak untuk menumis
1 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos cili
5 sudu besar sos lada hitam
Sedikit kicap masin (untuk warna)
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa
Cara-cara:
- Panaskan minyak. Tumis bawang putih hingga harum dan perang.
- Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.
- Kemudian, masukkan sos cili, sos lada hitam dan kicap. Tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan air, akar ketumbar, daging, lada benggala, garam dan MCR. Gaul rata.
- Akhir sekali, masukkan bawang Holland dan daun ketumbar. Gaul dan tutup api.
No comments:
Post a Comment