Wednesday, April 25, 2018

Menu 20 April 2018

Nasi Goreng Belacan


Bahan-bahan:

2 cawan nasi sejuk - dileraikan
2 biji telur
1 pokok daun bawang - dipotong 2 cm
3 sudu besar minyak masak
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar kasar/ditumbuk:

10 biji cili padi merah dan hijau - dipotong
1/2 biji bawang besar - dipotong
2 inci belacan
Segenggam ikan bilis - dikupas dan dibilas

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar di atas api sederhana hingga hampir garing.
  2. Masukkan garam dan MCR. Kacau rata.
  3. Masukkan nasi dan daun bawang dan gaul rata beberapa minit.
  4. Buatkan lubang di bahagian tengah, pecahkan telur. Biarkan telur mengeras sedikit baru dikacau bersama nasi, pastikan telur tidak terlalu hancur.
  5. Kacau lagi beberapa minit dan tutup api.




Laksa Utara My Version

 Hirisan cili padi dan cili merah, laksa yang dicelur, telur rebus, hirisan bawang besar, hirisan timun Jepun, hirisan limau nipis


Bahan-bahan kuah laksa:

2 ekor ikan kembung jenis besar - dibersihkan
1 tin kecil sardin Cap Ayam
3 batang serai - dipotong
4 inci belacan - dibakar
2 senduk kecil cili kisar
2 biji bawang besar - dipotong
2 kuntum bunga kantan - dibelah 2
Secekak daun kesum - dilurutkan
8 keping asam gelugur - dibasuh
Garam dan Maggi Cukup Rasa
Air untuk merebus secukupnya, tambah jika perlu
1 peket mi laksa beras - direndam 5 - 6 jam/semalaman
Air untuk mencelur mi laksa

Bahan-bahan sampingan:

1/2 biji timun Jepun - dihiris seperti mancis
1 biji bawang besar - dibelah 2 dan dihiris nipis
1 biji cili merah - dihiris nipis
10 biji cili padi - dihiris nipis
3 biji limau nipis - dibelah potongan kecil
5 biji telur - direbus dan dibelah 2

Cara-cara:

  1. Panaskan air (lebih kurang 4 cawan) dan masukkan ikan kembung. Rebus hingga masak dan biarkan sejuk.
  2. Sementara itu, masukkan sardin, serai, belacan, bawang besar, separuh bunga kantan, separuh daun kesum dan air secukupnya ke dalam blender dan kisar hingga halus. Masukkan ke dalam periuk berasingan.
  3. Setelah ikan sejuk, asingkan isi dan tulang. Pada bahagian isi yang diasingkan, pastikan tiada tulang yang tertinggal. Kemudian, masukkan ke dalam blender bersama 1/2 air rebusan dan kisar hingga halus. Masukkan ke dalam periuk yang berisi kisaran belacan tadi.
  4. Masukkan pula tulang termasuk kepala ikan ke dalam blender dan tambahkan baki air rebusan. Kisar hingga halus dan tapiskan ke dalam periuk berisi kisaran belacan tadi.
  5. Tambah asam gelugur dan cili kisar dan renihkan kuah di atas api sederhana supaya rasa dan aroma asam gelugur keluar dan mesra dengan kuah.
  6. Setelah mendidih, masukkan baki bunga kantan dan daun kesum. Tambahkan garam dan MCR secukup rasa. Masak sehingga kuah agak pekat sambil dikacau sekali-sekala. Tutup setelah masak. Kuah laksa akan bertambah sedap jika disimpan sehari atau lebih. Lebihan kuah yang tidak habis, simpan di dalam tupperware dan sejukbekukan untuk kegunaan lain kali.
  7. Sediakan air secukupnya untuk merebus mi laksa dan hidupkan api. Sementara itu, tapis dan toskan mi laksa.
  8. Setelah air mendidih, masukkan mi laksa dan kacau selalu hingga mi laksa lembut. Angkat dan toskan.
  9. Semasa menghidang, sendukkan mi laksa ke dalam mangkuk dan tuangkan kuah secukupnya. Taburkan bahan-bahan sampingan dan letakkan telur rebus dan limau nipis. Semasa hendak makan, perahkan limau nipis dan sedia dinikmati. Jika suka, boleh tambah petis (otak udang).

Tuesday, April 24, 2018

Menu 19 April 2014

Taugeh Goreng Ikan Masin

Bahan-bahan:

2 cawan taugeh - dibersihkan, ditoskan
1 keping ikan masin tenggiri - dibilas, dicincang kasar
1/2 biji cili merah - dihiris serong
1/2 biji bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dicincang kasar
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar minyak masak

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Goreng ikan masin tenggiri hingga garing, angkat dan ketepikan.
  2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bawang putih hingga harum kemudian tambah bawang besar. Tumis lagi hingga layu.
  3. Masukkan taugeh dan cili merah. Besarkan api dan kacau rata, masukkan sos tiram dan sedikit air. Kacau hingga separuh masak (masih rangup) dan tutup api.




Udang Masak Kari

Bahan-bahan:

20 ekor udang putih kasar - dipotong muncungnya
3 tangkai daun kari - dilurut daunnya
1/4 biji lada benggala merah - dihiris memanjang
1/2 biji bawang Holland - dihiris kasar
3 ulas bawang putih*
2 sudu besar udang kering - direndam dan ditoskan*
1 sudu besar bawang besar kisar
2 sudu besar cili kisar
2 sudu besar serbuk kari ikan
1 sudu besar sos cili
Garam dan Maggi Cukup Rasa
3 sudu besar minyak masak
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Kisar kering bahan bertanda *.
  2. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar kering hingga wangi dan perang, kemudian masukkan bawang besar kisar dan cili kisar. Tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan daun kari dan serbuk kari. Tumis lagi hingga pecah minyak.
  4. Masukkan sos cili dan tumis lagi.
  5. Masukkan udang, lada benggala dan air. Kacau rata hingga udang masak.
  6. Akhir sekali, masukkan garam dan MCR. Kacau rata beberapa minit dan tutup api.





Saturday, April 21, 2018

Menu 18 April 2018

Lunch


Butter Chicken

Bahan-bahan:

5 ketul isi ayam - dipotong kecil/dadu
4 sudu besar tepung beras
1/2 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar serbuk kari daging Baba's
Sedikit air
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan sos:

5 ulas bawang putih - dicincang
5 biji cili padi merah - dihiris nipis
3 tangkai daun kari - dilurutkan
1/4 buku mentega
1/2 tin susu cair (tambah jika suka berkuah)
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaulkan ayam dengan air, tepung beras, tepung jagung, serbuk kari dan garam hingga bersalut sepenuhnya.
  2. Goreng hingga garing dan keemasan. Angkat dan toskan minyak. Ketepikan.
  3. Keluarkan minyak dan tinggalkan 1 sudu besar sahaja. Masukkan mentega dan biarkan cair. Tumis bawang putih hingga perang dan harum, kemudian masukkan cili padi merah dan daun kari. Tumis lagi hingga harum.
  4. Masukkan susu cair dan setelah mendidih, masukkan ayam goreng, garam dan MCR. Kacau rata, jika suka pekat biarkan mendidih lama sedikit, jika suka berkuah, sekejap sahaja.

Kangkung Goreng Belacan


Bahan-bahan:

1 ikat kangkung - disiang dan dicuci bersih
Hirisan lada benggala merah
1 sudu besar sos tiram
Sedikit air
Garam dan Maggi Cukup Rasa
2 sudu besar minyak

Bahan-bahan dikisar kasar/ditumbuk:

1/4 biji bawang besar - dipotong
3 ulas bawang putih - dipotong
5 biji cili padi hijau - dipotong
Sedikit ikan bilis - dibilas
1 kiub kecil belacan - dibakar

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga wangi dan sedikit garing.
  2. Masukkan kangkung, air, lada benggala, sos tiram dan perasa. Buka api kuat dan kacau rata hingga layu dan tutup api.


Dinner

Daging Goreng Pedas



Bahan-bahan:

300 gm daging batang pinang - dihiris
1/2 pokok brokoli - dipotong kecil
1/4 biji lada benggala merah - dipotong kiub
1 sudu besar sos tiram
Garam dan Maggi Cukup Rasa
3 sudu besar minyak masak

Bahan-bahan dikisar kasar:

Segenggam cili padi hijau dan merah - dipotong
5 ulas bawang putih - dipotong
1 biji bawang besar - dipotong

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Gaul daging dengan sedikit garam dan goreng hingga sedikit garing. Angkat dan keluarkan. Tambah minyak jika perlu.
  2. Tumis pula bahan kisar hingga garing. Masukkan brokoli, lada benggala dan sos tiram. Tambah sedikit air dan goreng hingga brokoli masak. Akhir sekali, masukkan daging dan perasa. Kacau rata dan tutup api.

Menu 17 April 2018

Breakfast

Sambal tumis kerang, kangkung celur, salad, ikan bilis goreng, telur mata kerbau

Nasi Lemak

Bahan-bahan:

2 cawan beras basmathi + 2 cawan beras biasa - dicuci bersih dan ditoskan
3 helai daun pandan - disimpul
1 inci halia - diketuk
3 biji bawang merah - dihiris nipis
1 batang serai - diketuk
1 batang kulit kayu manis
3/4 kotak santan
4 cawan air
Garam secukup rasa

Cara-cara:
  1. Satukan kesemua bahan di dalam rice cooker dan masak seperti biasa.
  2. Setelah masak, gemburkan dengan menggunakan garpu/chopstick perlahan-lahan untuk mengelakkan nasi patah.
  3. Biarkan di dalam rice cooker untuk 5 minit sebelum dihidangkan.


Sambal Tumis Kerang

Bahan-bahan:

1 kg kerang - dicuci bersih dan direbus hingga masak, dikopek dan dibilas bersih
1 biji bawang besar - dihiris nipis
1/2 biji bawang besar - dihiris bulat
1/2 sudu teh pes asam jawa
Sedikit air
1 sudu besar santan kotak
4 senduk sederhana cili kisar (cili kering + bawang besar + bawang putih)
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar gula perang
Garam dan Maggi Cukup Rasa
1 senduk sederhana minyak masak

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis bawang hiris hingga layu dan sedikit garing.
  2. Masukkan cili kisar dan tumis hingga mendidih. Kemudian, masukkan gula perang dan sos tiram. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan isi kerang, bawang hiris bulat, pes asam jawa, air dan santan. Kacau rata hingga mendidih.
  4. Masukkan garam dan MCR secukup rasa. Kacau rata beberapa minit, kemudian tutup api.



Teatime


Churros dan Sos Coklat

Bahan-bahan churros:

1 cawan tepung gandum - diayak
1 cawan air
1/4 ketul mentega
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh esen vanila
1 biji telur
Minyak untuk menggoreng
Gula halus + serbuk kulit kayu manis

Bahan-bahan sos coklat:

1/4 bar coklat masakan - dicincang kasar
1/4 cawan susu cair
Air untuk double-boiler

Cara-cara:

  1. Untuk membuat churros, masukkan air dan mentega ke dalam periuk kecil dan panaskan hingga mentega cair.
  2. Masukkan esen vanila, garam dan tepung. Kacau segera hingga sebati dan tutup api. Ketepikan.
  3. Setelah sejuk sedikit, pecahkan telur ke dalam periuk dan kacau rata hingga menjadi doh lembik.
  4. Panaskan minyak agak banyak.
  5. Ambil sedikit doh dan masukkan ke dalam acuan samperit (sepatutnya guna piping bag dan star nozzle). Tekankan ke atas minyak ikut panjang yang dikehendaki.
  6. Goreng hingga perang keemasan. Angkat, toskan minyaknya dan golekkan di dalam campuran gula. Susun di dalam pinggan. Buat sehingga habis.
  7. Untuk membuat sos coklat, panaskan air dan letakkan satu bekas untuk kaedah double boil. Masukkan coklat dan susu cair dan kacau hingga cair.
  8. Tuangkan ke dalam mangkuk kecil dan hidangkan bersama churros.



Kuey Teow Goreng Kerang



Bahan-bahan:

2 peket kuey teow halus - dibilas dan ditoskan
2 cawan tauge - dibilas dan ditoskan
1 mangkuk lebihan sambal tumis kerang
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
Lada sulah dan kicap Tamin (masin) secukupnya
2 biji telur

Cara-cara:
  1. Panaskan kuali dan masukkan sambal tumis kerang. Setelah mendidih, masukkan sos tiram dan sos cili dan tumis sebentar.
  2. Masukkan kicap, lada sulah dan kuey teow. Kacau rata, masukkan tauge dan kacau rata.
  3. Tambah kicap secukupnya dan goreng lagi di atas api besar.
  4. Buat lubang di bahagian tengah, perlahankan api kemudian pecahkan telur. Biarkan mengeras sedikit barulah dikacau bersama kuey teow di atas api besar. Goreng lagi hingga agak kering dan tutup api.

Friday, April 20, 2018

Menu 16 April 2018

Rendang Pedas Ayam Kampung


Bahan-bahan:

1 ekor ayam kampung - dibersihkan dan ditoskan
2 helai daun kunyit - disiat-siat
1 keping asam gelugur - dicuci
1 sudu besar kerisik
1 kotak santan Ayam Brand/Kara
Air secukupnya
1 senduk minyak masak
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

1 1/4 cawan cili kering - dipotong (buang biji), direbus, dibilas, ditoskan
2 biji bawang besar - dipotong
5 ulas bawang putih - dipotong
2 inci halia - dipotong
1 inci lengkuas - dipotong
2 inci kunyit - dipotong
3 batang serai - dipotong
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak di atas api sederhana.
  2. Masukkan ayam dan kacau rata. Masak hingga keluar air ayam.
  3. Masukkan kerisik, asam gelugur, santan, daun kunyit dan santan. Kacau rata, tambahkan air menutupi paras ayam.
  4. Tutup kuali, perlahankan api dan biarkan merenih sambil kacau sekali-sekala hingga ayam betul-betul empuk.
  5. Masukkan garam dan MCR, sesuaikan rasa. Masak sehingga agak kering atau berkuah jika suka.

Menu 15 April 2018

Dinner

Ikan kembung bakar, kari udang dan kacang panjang, air asam, salad

Ikan Kembung Bakar

Bahan-bahan:

3 ekor ikan kembung sederhana besar
Serbuk kunyit, serbuk BBQ, serbuk cajun, serbuk lada hitam
Garam secukup rasa
Sedikit minyak masak

Cara-cara:
  1. Gaulkan kesemua bahan dan perap 10 minit.
  2. Panaskan non-stick pan dan gril ikan hingga masak kedua-dua belah.
  3. Angkat dan hidangkan.

Air Asam

Bahan-bahan:

1/2 biji bawang Holland - dipotong dadu
6 biji cili padi hijau - dihiris
3 biji cili padi merah - dihiris
5 biji tomato ceri - dihiris
2 sudu besar pes asam jawa + 3/4 cawan air suam (agak-agak)
2 inci belacan - dibakar dan dihancurkan
Garam dan gula perang secukup rasa

Cara-cara:
  1. Bancuh pes asam jawa, air dan belacan. Ramas hingga belacan hampir hancur/hancur sepenuhnya. Tapis ke dalam mangkuk berasingan.
  2. Masukkan bahan-bahan lain dan sesuaikan rasa. Tuangkan ke dalam mangkuk hidangan.


Kari Udang dan Kacang Panjang

Bahan-bahan:

400 gm udang putih kasar - dibuang muncung
4 urat kacang panjang - dipotong 4 cm serong
1/2 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
2 sudu besar bawang besar kisar
1 sudu besar bawang putih kisar
1/2 sudu besar halia kisar
1 sudu teh halba campur
1 peket kecil serbuk kari ikan Baba's
3 tangkai daun kari - dilurutkan
3 sudu besar santan kotak
Air secukupnya
1 sudu teh pes asam jawa
Garam dan Maggi Cukup Rasa
4 sudu besar minyak masak
3 biji cili padi merah (hiasan)

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis halba campur seketika, kemudian masukkan bahan hiris. Tumis hingga harum dan perang.
  2. Masukkan bahan kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan serbuk kari dan daun kari. Tumis lagi hingga pecah minyak.
  4. Masukkan air, santan, kacang panjang dan cili padi. Masak hingga mendidih, kemudian masukkan udang, pes asam jawa, santan, garam dan MCR. Sesuaikan rasa, masak beberapa minit lagi dan tutup api.

Menu 13 April 2018

Lunch

Nasi Ayam ala Hainan/Thai/Whatever


Nasi ayam, sup ayam, ayam goreng madu, ayam stim, salad, sambal cili 



Bahan-bahan untuk sup ayam:

Kaki ayam dan leher ayam - dibersihkan
1 sudu besar halia kisar
5 ulas bawang putih - diketuk
2 potong akar ketumbar - dibersihkan
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa
Daun ketumbar - dihiris (hiasan)

Cara-cara:

  1. Rebus kesemua bahan kecuali daun ketumbar hingga mendidih dan ayam empuk. Tutup api dan taburkan daun ketumbar.

Bahan-bahan nasi ayam:

2 cawan beras biasa + 2 cawan beras basmathi - dicuci bersih dan ditoskan
5 cawan air rebusan ayam (sup ayam)
2 helai daun pandan - disimpul
1 batang serai - diketuk
2 potong akar ketumbar - dibersihkan
3/4 cawan lemak dan kulit ayam
1 sudu besar minyak masak
1/2 biji bawang Holland - dipotong dadu
6 ketul ayam bahagian drumstick, thigh, wing
Hirisan daun ketumbar - dibahagi dua
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan lemak ayam di dalam periuk kecil hingga lemak cair. Tumis serai, daun pandan dan bawang Holland hingga layu dan sedikit perang. Tutup api.
  2. Masukkan campuran beras, campuran minyak, air rebusan (sup), akar ketumbar, garam dan MCR ke dalam rice cooker, kemudian kacau dan sesuaikan rasa.
  3. Susun ayam di atas beras dan taburkan separuh daun ketumbar. Masak seperti biasa.
  4. Setelah masak, keluarkan ayam, ketukkan sedikit supaya nasi yang terlekat jatuh. Ketepikan.
  5. Gemburkan nasi perlahan-lahan menggunakan chopstick atau garpu supaya nasi tidak patah. Taburkan baki daun ketumbar dan gemburkan sekali lagi perlahan-lahan. Rehatkan 5 minit di dalam rice cooker sebelum menghidang.
  6. Untuk ayam stim, terus susun di dalam pinggan.

Bahan-bahan perapan untuk ayam goreng madu:

Ayam yang sudah dimasak bersama nasi
Sos tiram
Minyak bijan
Madu
Serbuk lada hitam
Serbuk BBQ
Serbuk bawang putih
Serbuk cajun
Garam secukup rasa (jika perlu)

Cara-cara:
  1. Gaul kesemua bahan kecuali ayam hingga sebati dan sesuaikan rasa.
  2. Masukkan ayam dan gaul perlahan (berhati-hati sebab ayam sudah masak, isi agak lembut).
  3. Perap lebih kurang 30 minit.
  4. Panaskan minyak dan goreng di atas api sederhana hingga keemasan. Angkat dan toskan minyaknya.

Bahan-bahan sambal cili:

5 biji cili merah - dipotong
3 biji cili padi merah - dipotong
3 ulas bawang putih - dipotong
1 sudu besar halia kisar
Air rebusan ayam (sup)
Sos cili secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:
  1. Kisar cili merah, cili padi merah dan bawang putih bersama sedikit air hingga halus.
  2. Tuangkan ke dalam periuk kecil, tambahkan halia kisar, air rebusan, sos cili, garam dan gula. Panaskan di atas api sederhana hingga sedikit pekat dan sesuaikan rasa. Tutup api.

Thursday, April 19, 2018

Menu 13 April 2018

Breakfast

Karipap Daging


Bahan-bahan inti karipap (buat dahulu sebelum kulit):

3 sudu besar udang kering - direndam hingga lembut, ditoskan
3 ulas bawang putih
3 tangkai daun kari - dilurutkan
1 biji bawang besar - dipotong dadu
1 pokok daun ketumbar / sup - dihiris kasar
2 biji kentang - dikupas, dipotong dadu
1 biji keledek oren - dikupas, dipotong dadu
1 peket (kecil) serbuk kari daging
1 blok daging kisar Ramly - dilembutkan dalam suhu bilik (thawed)
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa
Maggi Cukup Rasa (jika suka)
Air secukupnya
4 sudu besar minyak

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, tumbuk atau kisar kering udang kering dan bawang putih. Tumis hingga perang dan harum.
  2. Masukkan serbuk kari, daun kari dan tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan daging dan lerai-leraikan menjadi ketulan kecil. Tumis hingga daging berubah warna.
  4. Masukkan bahan-bahan lain (lebihkan sedikit gula untuk rasa sedikit manis) dan pastikan air menutupi paras kentang dan keledek sahaja (jangan terlalu banyak). Masak dan kacau di atas api sederhana hingga betul-betul kering.
  5. Sejukkan dalam suhu bilik sebelum digunakan atau boleh juga disimpan di dalam peti sejuk (maksimum 3 - 4 hari) sebelum digunakan.

Bahan-bahan kulit karipap:

2 1/2 cawan tepung gandum - diayak
1 sudu besar tepung ubi - diayak
1 sudu besar tepung beras - diayak
2 sudu besar minyak masak
3 sudu besar marjerin Daisy
Sedikit garam
Air sejuk (peti sejuk) secukupnya
Sedikit tepung gandum untuk dusting

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan marjerin hingga cair. Ketepikan untuk sejuk sedikit.
  2. Satukan kesemua tepung dan buatkan lubang di bahagian tengah. Tuangkan campuran minyak dan dengan menggunakan senduk kayu (jika masih panas) atau hujung jari, ramas hingga menjadi seperti serbuk roti.
  3. Campurkan air sejuk dan garam dan kacau rata. Tuangkan sedikit demi sedikit hingga mendapat doh yang boleh dikepal dan tidak melekat. Bulatkan doh dan tutup. Rehatkan 30 minit supaya adunan mesra.
  4. Ambil sedikit adunan dan bulat-bulatkan (ikut saiz yang dikehendaki). Buat sehingga habis.
  5. Taburkan sedikit tepung pada papan pencanai dan rolling pin. Ambil sebiji bebola dan tekan. Kemudian leperkan (membujur) menggunakan rolling pin hingga mendapat ketebalan yang disukai.
  6. Angkat dan letakkan di tapak tangan. Letakkan 1 sudu besar inti dan lekatkan (separuh bulatan). Tekan bahagian tepi supaya tertutup rapat kemudian kelim. Buat sehingga habis dan susunkan di dalam dulang yang ditabur sedikit tepung.
  7. Panaskan minyak yang banyak. Setelah betul-betul panas, perlahankan api dan goreng karipap hingga perang keemasan. Angkat dan toskan.



Teatime

Buah Melaka


Bahan-bahan:

2 cawan tepung pulut - diayak
Air secukupnya
1/2 sudu teh pes pandan
1/2 bungkus kelapa parut putih
Sedikit garam halus
2 keping gula melaka - dipotong dadu kecil
Air untuk merebus + 1 simpulan daun pandan

Cara-cara:
  1. Masukkan tepung ke dalam bekas dan tuangkan air sedikit demi sedikit hingga mendapat doh yang boleh dikepal dan tidak melekat. Titiskan pes pandan dan uli lagi hingga rata.
  2. Panaskan air dan daun pandan dan biarkan mendidih. Satukan kelapa parut dan garam rata-rata. Ketepikan.
  3. Ambil sedikit adunan dan bulat-bulatkan. Kemudian, leperkan dan letakkan 1 - 2 kiub gula melaka di bahagian tengah dan tutup doh. Bulat-bulatkan semula. Buat lebih kurang 10 biji dan masukkan ke dalam air mendidih.
  4. Sementara menunggu masak, sambung buat buah melaka. Buah melaka yang sudah masak akan terapung dan ambil menggunakan senduk berlubang untuk toskan airnya.
  5. Golekkan di atas kelapa parut tadi dan susun di dalam pinggan.

Menu 12 April 2018

Breakfast

Cucur Bawang


Bahan-bahan:

2 cawan tepung gandum - diayak
1/2 sudu teh serbuk kunyit
Garam dan Maggi Cukup Rasa
1 biji bawang Holland - dihiris nipis
5 tangkai daun kucai - dipotong 3 cm
1/2 biji cili merah - dicincang
1 biji telur
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng
Sos cili sebagai pencicah

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, satukan bahan-bahan lain dan bancuh hingga menjadi adunan yang tidak terlalu pekat atau terlalu cair (agak-agak boleh dijemput dengan jari).
  2. Jemputkan sedikit adunan dan masukkan ke dalam minyak (api sederhana). Goreng hingga kekuningan, angkat dan toskan minyaknya.
  3. Hidangkan dengan sos cili.



Dinner

Sotong Masak Merah


Bahan-bahan:

6 ekor sotong sederhana besar - dibuang kulit dan dikelar tidak putus
1/2 biji bawang Holland - dihiris kasar
1 pokok daun ketumbar - dihiris kasar
1 akar ketumbar - dicuci bersih
3 ulas bawang putih - dicincang kasar
1 sudu besar pes halia (halia kisar)
6 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
Sedikit air
Sos ikan, garam dan Maggi Cukup Rasa (agak-agak)
4 sudu besar minyak

Cara-cara:
  1. Panaskan non-stick wok dan masukkan sotong. Kacau hingga berubah warna dan keluar airnya. Angkat dan toskan. Buang air sotong dan basuh wok dan panaskan semula.
  2. Panaskan minyak. Tumis bawang putih hingga harum dan perang.
  3. Masukkan cili kisar, pes halia dan tumis hingga pecah minyak. Kemudian, masukkan sos cili, akar ketumbar dan sos tiram, tumis lagi hingga pecah minyak.
  4. Masukkan sotong dan bawang Holland. Kacau rata, tambah sedikit air jika terlalu pekat.
  5. Masukkan perasa dan kacau rata. Akhir sekali, taburkan daun ketumbar dan kacau sekejap kemudian tutup api.


Ikan Bilis Goreng Kicap


Bahan-bahan:

3/4 cawan ikan bilis (jenis rangup) - dicuci bersih dan ditoskan
1 biji bawang besar - dihiris kasar
1 biji cili merah - dihiris serong
2 biji cili hijau - dihiris serong
1 sudu besar sos tiram
1 - 1 1/2 sudu besar kicap masin Tamin
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan 1 sudu besar sahaja. Tumis bawang merah, cili merah dan cili hijau hingga layu.
  3. Masukkan sos tiram dan kicap diikuti dengan ikan bilis. Kacau rata beberapa minit dan tutup api.

Menu 11 April 2018

Breakfast


Mihun Goreng Simple

Bahan-bahan:

1/2 peket mihun - direndam dalam air suam 20 minit (hingga lembut), ditoskan
1 pokok daun ketumbar - dicincang kasar
2 biji telur
2 sudu besar cili kisar
Sos cili, garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya
Minyak untuk menumis (lebih kurang 4 sudu besar)
Air (untuk melembutkan mihun)

Bahan-bahan dikisar kering/ditumbuk kasar:

Segenggam udang kering - direndam hingga lembut dan ditoskan
5 ulas bawang putih

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar di atas api sederhana hingga garing.
  2. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan sos cili, garam, MCR dan kacau rata hingga mendidih.
  4. Masukkan mihun dan kacau rata. Tambahkan sedikit air dan kacau rata hingga mihun lembut dan bersalut rata. Sesuaikan rasa.
  5. Pecahkan telur dan biarkan sedikit keras barulah dihancurkan (scramble). Kemudian, gaul sekali bersama mihun.
  6. Akhir sekali, taburkan daun ketumbar dan gaul rata. Goreng mihun hingga agak kering dan tutup api.




Lunch


Rendang Perut dan Kacang Panjang (Versi Tak Pedas)

Bahan:-bahan:

500 gm perut lembu (putih) - direbus hingga empuk dan ditoskan
5 urat kacang panjang - dipotong serong 4 cm
3 biji cili hijau - dihiris serong
1/2 biji bawang besar / 2 biji bawang merah - dihiris nipis
1 sudu teh halia kisar
3/4 kotak santan KARA
1/4 cawan air
1 sudu teh serbuk kunyit
1 keping asam gelugur
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Jika suka pedas, tambah 10 biji cili padi hijau yang dikisar

Cara-cara:

  1. Potong perut lembu ikut suka dan bilas dengan air. Toskan.
  2. Di dalam kuali, satukan kesemua bahan dan panaskan di atas api kecil. Kacau hingga masak dan empuk serta kuah sedikit kering.



Sotong dan Udang Masak Lada Hitam

Bahan-bahan:

8 ekor sotong - dibuang kulit dan dihiris bulat
8 ekor udang putih - dibuang muncung
3 ulas bawang putih - diketuk dan dicincang kasar
1/2 biji bawang Holland - dihiris kasar (wedges)
1 biji cili hijau - dihiris serong (kasar)
3 biji cili padi merah - dipotong 2 serong
1/4 biji lada benggala kuning - dihiris memanjang (kasar)
3 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos lada hitam
Sedikit kicap (untuk warna)
Sedikit air
Garam dan Maggi Cukup Rasa
3 sudu besar minyak

Cara-cara:
  1. Panaskan non-stick wok dan masukkan sotong. Kacau rata untuk mengeluarkan airnya. Setelah berubah warna dan nampak pejal, keluarkan sotong dan buang airnya.
  2. Cuci wok dan panaskan semula. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga perang dan harum.
  3. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan sos tiram, sos lada hitam, kicap, bawang Holland, cili hijau, cili padi merah dan lada benggala. Kacau sebentar di atas api kuat kemudian masukkan sotong dan udang. Kacau rata, tambah air jika perlu.
  5. Masukkan garam dan MCR, sesuaikan rasa dan kacau rata. Tutup api setelah udang masak.





Wednesday, April 18, 2018

Menu 10.4.2018

Lunch

Tempe goreng, sup cendawan dan tauhu, ayam goreng cili padi

Sup Cendawan dan Tauhu

Bahan-bahan:

2 batang cendawan king oyster - dipotong kiub
1/2 kotak tauhu lembut - dipotong kiub
2 biji bawang merah - dihiris nipis
1 ulas bawang putih - dihiris nipis
1/2 sudu teh halia kisar
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa
Sedikit minyak
Hirisan daun ketumbar

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia kisar hingga layu dan perang.
  2. Masukkan air, cendawan dan tauhu. Kacau perlahan untuk mengelakkan tauhu pecah.
  3. Setelah mendidih, masukkan garam dan MCR (jika suka). Masak hingga mendidih dan tutup api. Taburkan daun ketumbar sebelum dihidangkan.


Ayam Goreng Cili Padi

Bahan-bahan:

10 ketul ayam
Sedikit serbuk kunyit dan garam
Minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan dikisar kasar (kering):

20 biji cili padi hijau - dipotong
10 biji cili padi merah - dipotong
5 ulas bawang putih - dipotong
1 biji bawang besar dipotong

Bahan-bahan lain:

Garam dan Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaulkan ayam dengan serbuk kunyit dan garam. Kemudian, goreng 3/4 masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 5 sudu besar sahaja.
  3. Tumis bahan kisar di atas api sederhana hingga pecah minyak dan sedikit garing.
  4. Masukkan ayam goreng, garam dan MCR. Kacau rata beberapa minit dan tutup api.


Teatime


Kuih Lapis


Diolah: Mrskojiwami

Bahan-bahan:

2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1 cawan gula
4 cawan santan (1 cawan santan KARA + 3 cawan air)
Secubit garam
Sedikit pewarna merah dan perisa ros (Star Brand)

Cara-cara:
  1. Panaskan pengukus dan sediakan loyang bersaiz 8 inci. Letakkan sedikit minyak dan lapikkan dengan plastik bersih.
  2. Satukan kesemua bahan dan kacau menggunakan whisk hingga tidak berbintil. Bahagikan bancuhan kepada dua. Satu bahagian dibiarkan putih dan satu bahagian lagi masukkan pewarna merah dan perisa ros.
  3. Masukkan loyang ke dalam periuk. Tuangkan 3 senduk kecil bancuhan putih ke dalamnya. Kukus selama 5 minit dengan menggunakan api yang besar.
  4. Setelah masak, tuangkan pula 3 senduk kecil bancuhan merah. Kukus selama 5 minit dengan menggunakan api yang besar.
  5. Ulang langkah 3 dan 4 berselang-seli hingga habis bancuhan (bancuhan merah di atas sekali).
  6. Untuk lapisan terakhir, kukus selama 15 - 20 minit. Setelah masak, keluarkan loyang dari pengukus dan biarkan sejuk sepenuhnya sebelum dipotong menggunakan pisau plastik.


Dinner


Udang Masak Lemak Cili Padi dengan Kacang Panjang

Bahan-bahan:

15 ekor udang putih sederhana besar - dibuang muncung/misai
4 urat kacang panjang - dipotong 4 cm panjang
3/4 kotak santan KARA
1/4 cawan air
1 keping asam gelugur
Garam dan sedikit Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

15 biji cili padi hijau - dipotong
5 biji cili padi merah - dipotong
1 inci kunyit - dipotong
2 biji bawang merah - dipotong
5 biji tomato ceri - dipotong
Sedikit air

Cara-cara:
  1. Masukkan bahan kisar, air, santan dan asam gelugur ke dalam periuk.
  2. Panaskan di atas api sederhana hingga berwap sambil dikacau selalu dan elakkan daripada meruap supaya santan tidak pecah (terasing).
  3. Masukkan udang, kacang panjang, garam dan MCR. Kacau rata hingga udang berubah warna dan kacang panjang lembut. Masak beberapa minit kemudian tutup api.

Sunday, April 8, 2018

Menu 7.4.2018

Dry Lamb Curry



Bahan-bahan:

1 kg potongan daging kambing frozen (lamb cutlets) - direndam dalam air bercampur limau nipis dan ditoskan
1 biji kentang - dikupas dan dipotong kiub
1 pokok daun ketumbar - dihiris kasar, asingkan akar
3 tangkai daun kari - dilurutkan
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
3 sudu besar pes bawang besar
2 sudu besar pes bawang putih
1 sudu besar pes halia
1 biji bawang besar - dihiris nipis
1 helai daun pandan - disimpul
3 biji tomato ceri - dipotong kecil
1 peket serbuk kari daging Baba's
1 sudu besar serbuk cili
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar santan kotak
1/2 sudu besar pes asam jawa
Air secukupnya
Minyak untuk menumis
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Goreng kentang separuh masak dan angkat. Ketepikan.
  2. Gunakan minyak yang sama dan tumis daun pandan, bawang besar, tomato ceri, kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga layu dan keperangan.
  3. Masukkan pes bawang besar, pes bawang putih dan pes halia dan tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan serbuk kari dan daun kari dan tumis sebentar. Masukkan sedikit air dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  5. Masukkan sos cili dan tumis hingga pecah minyak.
  6. Masukkan daging kambing dan akar ketumbar dan kacau rata. Masukkan air hingga menutupi paras daging, perlahankan api, kacau rata dan tutup supaya masak empuk.
  7. Masukkan kentang, santan, pes asam jawa, garam, MCR dan air jika terlalu pekat. Sesuaikan rasa.
  8. Setelah mendidih taburkan daun ketumbar. Tutup api dan gaul rata.
  9. Sedia dihidangkan.


Menu 5.4.2018

Menu breakfast

Maggi Goreng Kari



Bahan-bahan:

3 peket Maggi perisa kari - direbus 1/2 masak dan ditoskan
5 ekor sotong - dipotong bulat
3 biji tomato ceri - dicincang kasar
3 ulas bawang putih - diketuk dan dicincang kasar
1/2 biji bawang besar - dihiris nipis
3 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
Sedikit kicap
1 peket perencah kari Maggi
1 pokok daun ketumbar - dihiris kasar
Minyak untuk menumis
Air jika perlu

Cara-cara:

  1. Maggi yang ditoskan tadi dibilas dengan air untuk hilangkan kanjinya. Toskan sekali lagi.
  2. Panaskan minyak. Tumis bawang putih hingga wangi dan kekuningan.
  3. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak. Kemudian, masukkan tomato ceri, sotong, sos tiram, sos cili, kicap, perencah kari dan air. Kacau rata hingga mendidih.
  4. Masukkan maggi dan kacau rata. Goreng hingga sedikit kering.
  5. Akhir sekali, masukkan daun ketumbar. Kacau rata dan tutup api.



Menu lunch dan dinner


Ikan Jenahak Berlada

Bahan-bahan:

3 keping ikan jenahak
Serbuk kunyit dan garam secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan dikisar kasar:

5 biji cili merah - dipotong
1 biji bawang besar - dipotong
5 ulas bawang putih

Garam dan Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan goreng ikan hingga garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan sedikit untuk menumis.
  3. Tumis bahan kisar hingga layu dan terbit minyak.
  4. Masukkan garam dan MCR dan kacau rata. Tutup api.
  5. Tuangkan ke atas ikan goreng.

Makaroni Goreng Seafood

Bahan-bahan:

1/4 peket makaroni - direbus mengikut arahan pada peket
1 pokok daun ketumbar - dihiris kasar
5 biji tomato ceri - dipotong 2
10 ekor udang - dikupas dan dibuang urat
5 ekor sotong - dihiris bulat
2 sudu besar chilli flakes
5 ulas bawang putih + 1 sudu besar udang kering (direndam) - dikisar kasar
Garam dan Maggi Cukup Rasa
Minyak untuk menumis

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga wangi dan sedikit garing.
  2. Masukkan makaroni dan gaul rata.
  3. Masukkan sotong, udang dan chilli flakes.
  4. Gaul rata, kemudian masukkan garam dan MCR. Kacau rata.
  5. Akhir sekali, masukkan daun ketumbar dan kacau rata.

Menu 4.4.2018

Menu sarapan pagi

Kuih Gelang/Keria

Bahan-bahan:

1 biji keledek kuning - dikupas dan dipotong kecil
2 biji keledek oren - dikupas dan dipotong kecil
Secubit garam
Air untuk merebus
1/2 - 1 cawan tepung gandum (agak-agak)
Minyak untuk menggoreng
Tepung untuk dusting
1/4 cawan air
5 sudu besar gula

Cara-cara:

  1. Basuh keledek hingga bersih, masukkan ke dalam periuk bersama air dan garam. Rebus hingga empuk. Toskan air dan biarkan sejuk.
  2. Lenyek hingga halus, buang serat ubi jika ada.
  3. Tambahkan tepung sedikit demi sedikit hingga dapat adunan yang kurang melekat. (Tips: Lebihkan keledek kuning daripada keledek oren kerana keledek oren sangat lembik dan sukar dibentuk walaupun dah letak banyak tepung, atau gunakan keledek kuning sahaja).
  4. Ambil sejemput dan bulat-bulatkan. Kemudian, bentukkan menjadi panjang kira-kira sejengkal. Kemudian cantumkan kedua-dua hujung supaya menjadi seperti gelang. Tekan sedikit untuk melekatkannya. Susun di atas dulang yang telah ditabur tepung, kemudian taburkan sedikit tepung di atas permukaannya. Buat sehingga habis.
  5. Panaskan minyak. Goreng kuih hingga keemasan, angkat dan toskan minyak. Ketepikan.
  6. Dengan menggunakan kuali berasingan, didihkan air dan gula di atas api sederhana.
  7. Setelah mula menggelegak, masukkan kuih dan gaul rata. Tutup api dan teruskan menggaul kuih hingga air gula bertukar menjadi seperti garam kasar (crystalised). Proses ini agak lama dan lenguh sedikit. Angkat dan hidangkan.




Menu makan tengah hari dan malam


Telur Masak Sambal

Bahan-bahan:

3 biji telur - dibasuh kulitnya
1/2 biji bawang Holland - dihiris nipis
1/2 biji bawang Hollang - dihiris bulat
1 keping asam gelugur
3 senduk kecil cili kisar
1/4 sudu besar gula perang
1 sudu besar sos tiram
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Minyak untuk menumis

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bawang yang dihiris nipis hingga layu dan perang.
  2. Masukkan cili kisar dan gula perang. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan sos tiram dan tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan air dan asam keping. Kacau dan biarkan mendidih.
  5. Masukkan garam dan bawang hiris bulat, kacau. Kemudian, pecahkan telur sebiji-sebiji ke dalam sambal.
  6. Kaupkan sambal ke atas telur perlahan-lahan. Masak sebentar jika suka kuning telur cair. Jika tidak, masak hingga kuning telur mengeras.
  7. Angkat perlahan-lahan dan masukkan ke dalam pinggan.


Masak Lemak Cili Padi Ikan Pelutan

Bahan-bahan:

7 ketul potongan ikan pelutan
1 mangkuk hirisan kasar terung - direndam untuk elakkan hitam
2 batang serai - dititik
1 helai daun kunyit - disiat
1 keping asam gelugur
3/4 kotak santan
1/4 cawan air
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

10 biji cili padi hijau
5 biji cili padi merah
1/4 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
2 inci kunyit
3 biji tomato ceri
Sedikit air

Cara-cara:
  1. Masukkan bahan kisar, serai, daun kunyit dan air ke dalam periuk. Panaskan di atas api sederhana hingga mendidih.
  2. Masukkan santan, asam keping, ikan dan terung ke dalam periuk. Masak di atas api perlahan sambil dikacau kuahnya selalu tetapi berhati-hati supaya ikan tidak hancur.
  3. Setelah berwap, masukkan garam dan MCR. Masak lagi hingga mendidih (pastikan kacau supaya santan tidak pecah). Tutup api.


Daging Masak Lada Hitam

Bahan-bahan:

250 gm daging batang pinang - dihiris ikut suka, dibasuh dan ditoskan
1/2 biji lada benggala kuning - dipotong kiub
3 biji tomato ceri - dibelah 2
1 pokok daun ketumbar - dipotong kasar, bersihkan akarnya
1/2 biji bawang Holland - dipotong baji
3 ulas bawang putih - diketuk
Minyak untuk menumis
1 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos cili
5 sudu besar sos lada hitam
Sedikit kicap masin (untuk warna)
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih hingga harum dan perang.
  2. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.
  3. Kemudian, masukkan sos cili, sos lada hitam dan kicap. Tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan air, akar ketumbar, daging, lada benggala, garam dan MCR. Gaul rata.
  5. Akhir sekali, masukkan bawang Holland dan daun ketumbar. Gaul dan tutup api.

Menu 3.4.2018

Menu sarapan pagi


Cheesy Sausage Rolls

Bahan-bahan:

5 batang sosej ayam - direbus dan ditoskan
5 keping roti putih - dilenyek hingga leper
5 keping keju cheddar
2 biji telur + 2 sudu besar susu + sedikit garam - dipukul hingga kembang
Serbuk roti secukupnya
Sedikit mentega
Sos cili sebagai pencicah

Cara-cara:

  1. Sediakan sekeping roti dan letakkan keju. Kemudian, letakkan sosej dan gulungkan. Lekatkan dengan bancuhan telur. Buat sehingga habis.
  2. Panaskan non-stick pan dengan sedikit mentega (tambah sedikit-sedikit setiap kali menggoreng).
  3. Celupkan seluruh bahagian roti ke dalam telur dan golekkan di dalam serbuk roti. Goreng hingga kuning keemasan keseluruhannya.
  4. Angkat dan toskan di atas kitchen towel.
  5. Potong 2 dan susun di dalam pinggan. Hidangkan dengan sos cili.



Menu makan tengah hari


Sambal Tumis Udang

Bahan-bahan:

300 gm udang - dibuang kepala dan kulit, buang urat hitam
1/2 biji bawang Holland - dihiris bulat
1/2 biji bawang Holland - dihiris nipis
1 sudu besar pes bawang putih
2 sudu besar pes bawang besar
5 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos tiram
1 keping asam gelugur
Minyak untuk menumis
Garam secukup rasa
Gula perang/melaka secukup rasa
Sedikit air

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bawang hiris hingga layu dan keperangan.
  2. Masukkan pes bawang besar dan bawang putih. Tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan cili kisar dan gula perang. Tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan sos tiram dan tumis hingga pecah minyak.
  5. Masukkan udang, sedikit air dan bawang hiris bulat.
  6. Setelah mendidih, masukkan asam keping dan garam.
  7. Kacau beberapa minit dan tutup api.


Ayam Kampung Masak Kicap

Bahan-bahan:

10 ketul ayam kampung
Sedikit garam dan serbuk kunyit
Minyak untuk menggoreng

1/2 biji bawang Holland - dihiris nipis
1/2 biji bawang Holland - dihiris bulat
3 biji cili padi merah - dipotong 2
1 sudu teh pes halia
2 sudu teh pes bawang putih
3 sudu teh pes bawang besar
1 sudu besar cili kisar
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu besar sos tiram
Kicap dan garam secukupnya
1/4 sudu teh pes asam jawa
Air secukupnya
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ayam kampung dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng 3/4 masak. Angkat, toskan minyak dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan sedikit untuk menumis. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga harum.
  3. Masukkan bawang hiris dan tumis lagi hingga layu dan perang.
  4. Masukkan pes halia, pes bawang putih dan pes bawang besar. Tumis hingga pecah minyak.
  5. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.
  6. Masukkan sos tiram dan serbuk lada hitam dan tumis hingga pecah minyak.
  7. Masukkan kicap, air, ayam goreng dan bawang dihiris bulat. Kacau rata, masukkan pes asam jawa, garam dan cili padi merah. Kacau rata dan tutup api.


Terung Goreng Berlada

Bahan-bahan:

1/2 biji terung besar - dipotong ikut suka
Minyak untuk menumis
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar kasar:

5 biji cili padi merah
3 biji cili padi hijau
5 ulas bawang putih
1/2 biji bawang besar
1 sudu besar udang kering - dibasuh

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan goreng terung hingga 1/2 masak. Angkat dan keluarkan. Ketepikan.
  2. Tambah sedikit minyak dalam kuali yang sama. Tumis bahan kisar hingga wangi dan garing.
  3. Masukkan terung dan air. Kacau rata, masak hingga terung lembut.
  4. Masukkan garam dan MCR, kacau rata dan tutup api.

Saturday, April 7, 2018

Menu 2.4.2018

Menu makan tengah hari


Sup Ayam Kampung dan Kentang

Bahan-bahan:

10 ketul ayam kampung - dicuci dan ditoskan
1 biji kentang - dipotong enam
1/2 biji lobak merah - dipotong jejari
1 pokok daun ketumbar - dihiris kasar termasuk akar
1 sudu besar minyak
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
2 ulas bawang putih
1/2 biji bawang Holland - dihiris
1 sudu kecil pes halia (halia kisar)
1 bungkus Sup Bunjut Adabi
Air secukupnya
1 biji limau nipis - diambil jus
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, pes halia, bawang putih dan bawang Holland hingga harum dan layu.
  2. Masukkan ayam dan kentang. Kacau rata kemudian masukkan air, akar ketumbar dan sup bunjut. Tutup periuk dan biarkan mendidih di atas api sederhana.
  3. Masukkan lobak merah, garam dan MCR. Biarkan mendidih lagi.
  4. Akhir sekali, masukkan jus limau nipis dan kacau sekejap kemudian tutup api.
  5. Taburkan hirisan daun ketumbar sebelum dihidangkan.


Kari Ikan Gerut-gerut

Bahan-bahan:

4 keping ikan gerut-gerut
6 batang bendi
1/2 biji bawang besar - dihiris nipis
3 ulas bawang putih - dihiris nipis
1 sudu teh pes halia
2 sudu besar pes bawang besar
1 sudu besar pes bawang putih
1 peket serbuk kari ikan Baba's
3 tangkai daun kari
1 sudu teh halba campur
1/4 kotak santan KARA
1 sudu besar pes asam jawa
Air secukupnya
Minyak untuk menumis
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis halba campur sebentar, kemudian masukkan hirisan bawang besar dan bawang putih. Tumis hingga layu dan keperangan. Perlahankan api.
  2. Masukkan pes bawang besar, pes bawang putih dan pes halia. Tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan serbuk kari dan daun kari. Tumis lagi hingga pecah minyak.
  4. Masukkan air dan pes asam jawa. Kacau rata dan biarkan mendidih.
  5. Masukkan ikan, bendi dan santan. Kacau perlahan, kecilkan api dan biarkan mendidih.
  6. Kacau sekali-sekala perlahan-lahan untuk elakkan ikan hancur.
  7. Masukkan garam dan MCR, perasakan secukupnya.
  8. Setelah mendidih, tutup api.


Sambal Belacan

Bahan-bahan:

15 tangkai cili padi merah - dipotong
10 tangkai cili padi hijau - dipotong
1 biji cili merah
2 inci belacan - dibakar
1 sudu besar garam (secukup rasa)
1/2 sudu besar gula nisan Thai/gula perang
2 sudu besar pes asam jawa
Air masak (sejuk) secukupnya

Cara-cara:
  1. Kisar kesemua bahan menggunakan mod 'PULSE' supaya tidak terlalu hancur.
  2. Boleh disimpan selama 1 - 2 minggu.

Menu makan malam



Sambal Tumis Sotong

Bahan-bahan:

500 gm sotong - dibuang kulit dan dipotong ikut suka
1/2 biji bawang Holland - dihiris bulat
1/2 biji bawang Holland - dihiris nipis
1 keping asam gelugur
3 sudu besar pes bawang besar
1 sudu besar pes bawang putih
3 senduk kecil cili kisar
2 sudu besar sos tiram
Sedikit air
Garam secukup rasa
Gula perang/melaka secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara-cara:

  1. Panaskan non-stick pan dan masukkan sotong. Masak sebentar untuk keluarkan airnya. Kemudian, toskan dan ketepikan. Basuh pan dan panaskan semula.
  2. Masukkan minyak. Tumis bawang Holland yang dihiris hingga layu dan perang di atas api sederhana.
  3. Masukkan pes bawang besar dan bawang putih, tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan cili kisar dan tumis sebentar hingga mendidih.
  5. Masukkan gula perang/melaka dan tumis hingga pecah minyak.
  6. Masukkan sos tiram dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  7. Masukkan sotong, air dan asam gelugur. Masak hingga mendidih dan masukkan garam dan bawang Holland yang dihiris bulat. Sesuaikan rasa dan tutup api.