Cekodok Ikan Bilis
Bahan-bahan:
1 biji bawang Holland – dipotong dadu
1 biji cili merah – dicincang kasar
2 pokok kucai – dipotong 3 cm panjang
Segenggam ikan bilis – dibilas
1 biji telur
1/4 sudu kecil serbuk kunyit
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya
Tepung gandum secukupnya
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng
Sos cili sebagai pencicah
Cara-cara:
- Satukan bawang Holland, cili merah, kucai, ikan bilis, telur, serbuk kunyit dan tepung. Tuangkan air sedikit demi sedikit supaya mendapat adunan yang tidak terlalu pekat atau terlalu cair. Kemudian, perasakan secukupnya. Ketepikan.
- Panaskan minyak agak banyak. Jemput adunan menggunakan hujung jari ke dalam minyak. Goreng di atas api sederhana hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan minyaknya.
- Hidangkan dengan sos cili.
Sup Kepala Ikan Merah
Bahan-bahan:
Sebelah kepala ikan merah sederhana
1 sudu besar bawang putih yang dicincang
1/2 biji bawang Holland – dihiris nipis
1/2 inci halia – dihiris mancis
1/4 biji lobak merah – dipotong kiub
1/2 biji tomato – dipotong 3
1 ketul akar ketumbar – dibersihkan
1 pokok daun ketumbar – dihiris kasar
1 sudu besar minyak masak
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya
Cara-cara:
- Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang Holland dan halia hingga harum.
- Masukkan air, lobak merah, tomato dan akar ketumbar. Kacau dan biarkan mendidih dan lobak merah agak lembut.
- Masukkan kepala ikan, garam dan MCR. Kacau perlahan dan biarkan mendidih. Sesuaikan rasa.
- Semasa menghidang, taburkan hirisan daun ketumbar.
Ayam Masak Lada Hitam
Bahan-bahan:
3 keping dada ayam – dipotong kiub
1/4 biji lada benggala hijau – dipotong kiub
1/4 biji lobak merah – dipotong kiub
1/4 pokok brokoli – dipotong kecil
1/4 biji bawang Holland – dihiris kasar
1 sudu besar bawang putih yang dicincang
1 sudu besar bawang besar yang dikisar
3 sudu besar sos lada hitam
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
3 biji cili padi merah – dipotong 2
3 sudu besar minyak masak
Sedikit air
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya
Cara-cara:
- Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang besar hingga harum dan pecah minyak.
- Masukkan ayam dan lobak merah. Kacau rata hingga ayam berubah warna.
- Masukkan sos lada hitam, sos cili dan sos tiram. Kacau rata beberapa minit.
- Masukkan sedikit air, lada benggala hijau, brokoli, bawang Holland, cili padi, garam dan MCR. Kacau rata beberapa minit, agak-agak sayuran sudah lembut, tutup api.
Spaghetti Carbonara My Style of The Day
Bahan-bahan:
1 1/2 bungkus spaghetti – direbus mengikut arahan pada peket
3 sudu besar bawang putih yang dicincang halus
2 sudu besar bawang Holland yang dipotong dadu
6 batang sosej jumbo – dihiris nipis dan digoreng hingga garing
1 tin cendawan butang – dihiris nipis
1/2 biji lada benggala hijau – dipotong dadu
1/2 biji lada benggala kuning – dipotong dadu
3 biji cili padi merah – dihiris nipis
1/2 batang lobak merah – dipotong dadu
1 pokok daun ketumbar – dicincang kasar
2 tin sos carbonara Prego
1 tin sup cendawan Campbell’s
4 tin air
2 sudu tepung jagung – dibancuh dengan sedikit air
50 gm mentega (salted) + 5 sudu besar minyak masak
Garam, serbuk lada hitam kasar dan Maggi Cukup Rasa secukupnya
Cara-cara:
- Untuk membuat kuah, panaskan mentega dan minyak.
- Tumis bawang putih sebentar, kemudian masukkan bawang Holland. Tumis hingga perang dan layu.
- Masukkan cendawan, cili padi, lada benggala kuning dan hijau, serbuk lada hitam dan lobak merah. Tumis hingga layu dan lembut.
- Masukkan sos dan sup cendawan, kacau rata dan masukkan air. Kacau lagi sambil mendidih.
- Kemudian, masukkan sosej dan masak hingga mendidih. Kemudian, masukkan garam dan MCR, sesuaikan rasa dan tutup api.
- Taburkan daun ketumbar semasa menghidang. Hidangkan bersama spaghetti yang sudah direbus.
Ayam Panggang/Bakar
Bahan-bahan:
2 ekor ayam – dipotong ikut suka
2 batang serai – diketuk
Mentega
Bahan-bahan perapan:
1 biji limau kasturi – diambil jusnya
5 sudu besar bawang besar yang dikisar
Serbuk lada hitam kasar HEXA
Serbuk cajun HEXA
Serbuk BBQ HEXA
Serbuk bawang putih HEXA
Garam dan Maggi Cukup Rasa
Cara-cara:
- Perap ayam bersama bahan perapan sekurang-kurangnya 3 jam atau lebih lama lebih sedap di dalam zipper bag. Simpan di bahagian bawah peti sejuk hingga tiba masa untuk membakar.
- Semasa membakar, oleskan mentega dengan serai yang diketuk ke atas ayam. Balik-balikkan hingga masak.
- Hidangkan bersama sos kegemaran.