Friday, July 6, 2018

Menu 2 Julai 2018


Mi Goreng

Bahan-bahan:

1 peket mi kuning – dibilas dan ditoskan
1 pokok pak choy – dipotong 4 cm, diasingkan batang dan daun
2 keping fishcake – dihiris nipis
3 sudu besar cili kisar
2 sudu besar pes bawang besar
1 sudu besar pes bawang putih
Sos tiram, sos cili, kicap, garam, Maggi Cukup Rasa secukup rasa

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumis cili kisar, pes bawang putih dan pes bawang besar hingga pecah minyak.
  2. Masukkan sos tiram, sos cili, kicap dan fishcake. Gaul rata hingga mendidih.
  3. Masukkan batang pak choy dan mi. Kacau rata beberapa minit.
  4. Masukkan daun pak choy dan perisakan secukupnya. Gaul rata beberapa minit dan tutup api.




Sotong Goreng Telur Masin

Bahan-bahan:

500 gm sotong – dibuang kulit dan dihiris tebal
Tepung beras + tepung gandum + tepung jagung + air secukupnya
Minyak untuk menggoreng
5 ulas bawang putih – dicincang halus
5 biji cili padi merah – dihiris nipis
5 tangkai daun kari – dilurutkan
3/4 cawan susu segar
1 peket kecil Salted Egg Seasoning HEXA
50 gm mentega + 1 sudu besar minyak masak

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul sotong dengan campuran tepung hingga bersalut rata. Kemudian, goreng hingga garing. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  2. Di dalam kuali berasing, panaskan mentega dan minyak. Kemudian, tumis bawang putih hingga wangi. Masukkan daun kari dan cili padi. Tumis sebentar.
  3. Masukkan susu dan serbuk telur masin. Kacau rata, masukkan sotong goreng. Besarkan api dan kacau cepat hingga bersalut rata dan sedikit kering. Tutup api dan hidangkan.





Ketam Masak Lemak Cili Padi dan Nanas

Bahan-bahan:

2 ekor ketam – dibersihkan
1/2 biji nanas madu – dipotong kecil
1 batang serai – diketuk
1 helai daun kunyit – diracik
1 keping asam gelugur
3/4 kotak santan
1/2 cawan air (tambah jika perlu)
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya

Bahan-bahan dikisar halus:

Segenggam cili padi hijau dan merah
2 biji bawang merah – dipotong kecil
3 biji tomato ceri – dipotong kecil
1 inci kunyit – dipotong kecil
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Didihkan air, bahan kisar, serai dan daun kunyit.
  2. Setelah mendidih, masukkan asam gelugur, nanas dan ketam. Kacau rata dan didihkan lagi.
  3. Masukkan santan, garam dan MCR. Perlahankan api dan kacau rata perlahan-lahan hingga mendidih dan tutup api.




Paku Rawan Goreng Belacan

Bahan-bahan:

1/2 ikat paku rawan – dipotong 5 cm serong
1 sudu besar minyak masak
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar Maggi Cukup Rasa
Sedikit air

Bahan-bahan dikisar kering:

1 biji cili merah – dipotong kecil
3 biji cili padi hijau
2 biji bawang merah – dipotong kecil
3 ulas bawang putih – dipotong kecil
1 inci belacan bakar
Sejemput ikan bilis – dibilas

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga wangi dan sedikit garing.
  2. Masukkan paku rawan, sos tiram, MCR dan air. Besarkan api dan kacau cepat hingga agak-agak masak dan tutup api.




Sambal Belacan Kuinin

Bahan-bahan:

1 biji kuinin – dicincang kasar

Bahan-bahan dikisar kasar:

Segenggam cili padi merah dan hijau – dipotong
2 inci belacan bakar
2 sudu besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Air masak secukupnya

Cara-cara:

  1. Satukan kesemua bahan dan hidangkan.

No comments: