Wednesday, July 18, 2018

Menu 13 Julai 2018

Udang Tumis Tempoyak dengan Petai


Bahan-bahan:

20 ekor udang sederhana – dikupas kulitnya dan dibuang urat hitam
1 cawan petai yang dikupas – dibasuh bersih
1 batang serai – diketuk
1 helai daun kunyit – dihiris nipis
1 keping asam gelugur
1 sudu kecil serbuk kunyit
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
1/4 cawan minyak masak

Bahan-bahan dikisar halus:

2 sudu besar tempoyak
1 biji cili merah – dipotong kecil
5 biji cili padi hijau – dipotong kecil
3 biji bawang merah – dipotong kecil
4 ulas bawang putih – dipotong kecil
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan serai hingga pecah minyak.
  2. Masukkan petai dan asam gelugur dan masak hingga lembut.
  3. Masukkan udang dan daun kunyit. Gaul rata dan masukkan garam dan MCR, kemudian kacau sehingga udang masak.



Kari Ikan Merah


Bahan-bahan:

4 ketul potongan ikan merah
7 biji bendi
1 biji tomato – dibelah 4
1 biji terung panjang sederhana – dibelah 4
4 biji bawang merah – dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
2 sudu kecil halba campur
Segenggam daun kari
3 sudu besar bawang besar kisar
1 sudu besar bawang putih kisar
1/2 sudu besar halia kisar
1 1/2 peket serbuk kari ikan Baba’s
1/2 sudu kecil pes asam jawa Adabi
Air secukupnya
1/4 kotak santan
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
6 sudu besar minyak masak

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis halba campur, bawang merah dan bawang putih yang dihiris hingga harum dan keperangan.
  2. Masukkan bawang besar, bawang putih dan halia yang dikisar. Tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan serbuk kari dan separuh daun kari. Tumis lagi hingga mendidih.
  4. Masukkan air, pes asam jawa, tomato dan terung. Masak hingga mendidih.
  5. Masukkan ikan, bendi, santan, garam dan MCR. Perlahankan api, kacau perlahan supaya ikan tidak hancur. Masak sehingga ikan masak dan bendi lembut, kemudian taburkan baki daun kari. Tutup api.


Kway Teow Goreng




Untuk sambutan hari raya di sekolah.

Bahan-bahan:

1 1/2 peket (1 kg) kway teow halus Cap Kunci – dibilas dan ditoskan
1 pokok daun kucai – dipotong 4 cm panjang
1 peket fish cake – dihiris nipis
1 peket fish ball – dibelah 2
5 sudu besar cili kisar
3 sudu besar bawang besar kisar
1 sudu besar bawang putih kisar
Sos cili, sos tiram, kicap masin dan kicap manis secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya
1/4 cawan minyak masak

Bahan-bahan hiasan:

3 biji telur
Secubit garam
1 biji cili merah – dihiris nipis
1 pokok daun bawang – dihiris nipis
Sedikit minyak

Cara-cara:
  1. Mulakan dengan membuat telur dadar. Panaskan non-stick pan (kecil) dengan sedikit minyak. Sementara itu, pukul telur dengan garam hingga berbuih.
  2. Tuangkan 1/3 telur dan dadarkan nipis. Balikkan dan angkat. Ulang 2 kali lagi. Ketepikan.
  3. Untuk menggoreng kway teow, panaskan minyak dan goreng fish cake dan fish ball hingga perang. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  4. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis cili kisar, bawang besar dan bawang putih kisar hingga pecah minyak.
  5. Masukkan sos tiram, sos cili, kicap masin dan kicap manis. Kacau rata, masukkan sedikit air jika terlalu pekat.
  6. Masukkan kway teow dan kucai. Kacau rata, jika perlu tambahkan kicap manis dan masin.
  7. Sesuaikan rasa, jika kurang masin boleh tambahkan garam dan MCR.
  8. Masukkan fish ball dan fish cake. Kacau rata, kuatkan api dan kacau hingga agak kering. Tutup api.
  9. Gulung telur dadar dan hiris nipis. Semasa menghidang, taburkan hirisan telur dadar, cili merah dan daun bawang.

No comments: