Monday, July 10, 2017

9 Julai 2017

Assalammualaikum,

Hari ni plan nak keluar ke MV. Temankan En. K yang on duty. Tapi sebelum keluar masak la dulu sebab of coz malam sat gi tak masak. Pulut ni dah rendam dari semalam lagi. Terasa nak makan pulut pulak. Lauknya buat 2 jenis, sebab diorang ni suka makan pulut dengan sambal atau rendang. So saya buat dua-dua sekali. Tapi rendang tu slack sikit sebab kerisik dah habis pulak.

Jom tengok resipi.



Pulut Kuning

Bahan-bahan:

1/2 kg pulut susu – dibasuh bersih
1 keping asam keping
1 sudu kecil serbuk kunyit
1/2 kotak santan KARA
1 1/2 sudu kecil garam

Cara-cara:

  1. Rendam pulut bersama serbuk kunyit dan asam keping semalaman. Esoknya, toskan dan bilas sedikit.
  2. Sediakan pengukus yang diisi air secukupnya. Letakkan pulut dan kukus 20 minit.
  3. Sementara itu, bancuh santan, garam dan 1/2 cawan air di dalam besen.
  4. Keluarkan pulut, masukkan ke dalam besen dan kacau rata
  5. Masukkan semula pulut ke dalam pengukus dan kukus 15 minit.
  6. Setelah masak, keluarkan dan letakkan di dalam mangkuk hidangan.

Rendang Ayam

Bahan-bahan:

8 ketul ayam
1 helai daun kunyit – dihiris halus
1 keping asam keping
3/4 cawan minyak
1/2 peket santan segar
1 cm gula Melaka
2 sudu besar kerisik
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

1 cawan cili kering yang direbus
2 biji bawang besar – dipotong
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
4 inci halia
2 inci lengkuas
3 batang serai – dipotong
5 biji cili padi merah
Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Masukkan pula gula Melaka dan kerisik.
  2. Masukkan ayam dan kacau rata. Setelah ayam kecut, masukkan santan, air dan asam keping. Kacau rata, perlahankan api. Tutup dan kacau sekali-sekala.
  3. Masukkan garam dan MCR. Kacau rata, masak sehingga kuah pekat. Jika suka kering, masak lebih lama lagi.
  4. Akhir sekali, masukkan daun kunyit. Gaul rata dan tutup api.


Sambal Ikan Bilis

Bahan-bahan:

1 cawan ikan bilis – dibasuh bersih
1 biji bawang besar – dihiris kasar
1 keping asam keping
2 sudu besar sos tiram
2 ketul kecil gula Melaka
Garam secukup rasa
3/4 cawan minyak
Air secukupnya, jika perlu

Bahan-bahan dikisar halus:

1 cawan cili kering yang direbus
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis separuh bawang besar. Setelah layu, masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga mendidih.
  3. Masukkan gula Melaka dan sos tiram. Tumis lagi hingga pecah minyak.
  4. Masukkan air, asam keping dan sedikit garam. Setelah mendidih dan sedikit pekat, masukkan ikan bilis dan kacau rata. Rasa, jika kurang masin, tambah garam. Kacau rata dan tutup api.

No comments: