Monday, June 6, 2011

Jangkitan Kuman Di Paru‐paru

Sumber: http://www.infosihat.gov.my/penyakit/Kanak-kanak/Paru_paru.pdf


Pengenalan 
Sistem pernafasan manusia terbahagi kepada bahagian atas dan bahagian bawah. Bahagian 
bawah terletak di dalam dada dan terdiri daripada saluran pernafasan dan pundi-pundi udara 
(air sacs). Jangkitan kuman di paru-paru boleh melibatkan saluran pernafasan (bronchitis) dan pundi-pundi udara (pneumonia).  
Secara amnya, jangkitan kuman di tisu paru-paru dikenali sebagai pneumonia. Ia adalah 
jangkitan kuman yang biasa di kalangan kanak-kanak kecil dan orang-orang tua. 
Ia disebabkan oleh virus atau bakteria. Kadangkala ia juga disebabkan oleh jangkitan awal 
pada sistem pernafasan di bahagian atas (batuk dan selsema) yang merebak ke bahagian 
bawah sistem pernafasan. Jangkitan kuman ini boleh melibatkan keadaan yang tidak serius 
hinggalah kepada keadaan yang membahayakan nyawa.  


Tanda-tanda dan gejala  
Ini bergantung kepada sebab, umur dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan seseorang 
kanak-kanak itu.  
Secara amnya, kanak-kanak akan mengalami:  
• Demam panas  
• Batuk dengan atau tanpa kahak  
• Sakit dada  
• Tiada selera makan, tidak mahu makan  
• Rasa tidak sihat, sering merengek  
• Pernafasan laju atau susah bernafas  
• Muntah atau cirit-birit  


Adakah jangkitan kuman paru-paru ini serius? 
Jangkitan kuman paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa yang singkat 
terutamanya di kalangan kanak-kanak kecil. 
Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen. Kanak-kanak yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital:  
• Pernafasan laju  
• Sukar untuk bernafas  
• Bibir menjadi biru  
• Batuk berdarah  
• Tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing 


Apakah rawatan untuk jangkitan di paru-paru? 
Jenis rawatan bergantung kepada tahap jangkitan.  
Kebanyakannya adalah tidak serius dan disebabkan oleh virus, oleh itu sistem pertahanan 
badan memainkan peranan utama untuk melawan penyakit ini. Apabila jangkitan kuman ini 
disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor.  
Untuk jangkitan yang tidak serius, ubat boleh diberi dalam bentuk pil.  


Anda boleh mencuba rawatan ini di rumah:  
• Paracetamol  
• Rehat yang secukupnya  
• Minum air yang banyak  


Sekiranya jangkitan menjadi lebih serius ubat akan diberikan melalui suntikan.  
Jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu 
dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang 
lain.  


Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan jangkitan kuman ini?  
Mengekalkan amalan cara hidup sihat. Amalan kebersihan diri dan persekitaran yang baik. 
Teruskan penyusuan susu ibu. Mengambil immunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di 
paru-paru. Contohnya: 
• Vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles) - wajib untuk semua 
kanak-kanak di bawah Program Immunisasi Kanak-Kanak Negara (National Childhood Immunization Programme)  
• Vaksin influenza (untuk kanak-kanak tertentu yang berisiko tinggi contohnya masalah 
pernafasan yang kronik, penyakit jantung dan masalah kurang pertahanan badan)  
• Vaksin pneumococcal (juga untuk kanak-kanak yang berisiko tinggi contohnya 
kanak-kanak yang tiada limpa, sakit buah pinggang yang kronik dan kanak-kanak 
yang menerima rawatan yang melemahkan sistem pertahanan badan)  
Jika anda merasa anak anda termasuk dalam golongan kanak-kanak berisiko tinggi, sila 
dapatkan nasihat doktor. 

No comments: