Thursday, May 18, 2017

Menu 22.4.2017

Assalammualaikum,

Jom tengok resipi untuk hari ni.

Tau Miu Goreng Sos Tiram

Bahan-bahan:

1/2 peket tau miu – dibasuh dan ditoskan
1 biji tauhu – dihiris
3 ulas bawang putih – diketuk
1/2 biji bawang Holland – dihiris kasar
Minyak masak
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap cair



Cara-cara:

  1. Panaskan minyak, goreng tauhu hingga garing. Angkat dan toskan.
  2. Keluarkan minyak, tinggalkan dalam 1 sudu besar sahaja. Tumis bawang putih hingga harum.
  3. Masukkan tau miu, bawang Holland, sedikit air, sos tiram dan kicap cair. Kacau hingga tau miu agak lembut dan masukkan tauhu goreng. Kacau dan tutup api.



Ikan Cencaru Goreng Sumbat Sambal Kelapa

Bahan-bahan:

2 ekor ikan cencaru sederhana besar – dibelah belakang
Garam dan serbuk kunyit
2 helai daun kunyit – dicuci
Minyak untuk menggoreng
3 tangkai daun kesum – dilurut daunnya
1 kuntum bunga kantan – dihiris halus

Bahan-bahan ditumbuk:

2 biji cili merah – dipotong
3 biji cili padi – dipotong
2 biji bawang merah – dipotong
2 ulas bawang putih – dipotong
2 inci kunyit – dipotong
2 batang serai – bahagian putih sahaja dan dipotong
1 peket kelapa parut – bahagian putih sahaja
Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ikan dengan serbuk kunyit dan garam.
  2. Satukan bahan tumbuk dengan daun kesum dan bunga kantan dan gaul rata.
  3. Lapikkan bahagian dalam ikan dengan daun kunyit. Kemudian, sumbatkan dengan inti kelapa hingga hampir penuh. Padat-padatkan sumbatan itu.
  4. Goreng hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya.




Karipap Daging dan Telur Rebus

Bahan-bahan:

3 biji telur rebus – dipotong wedges 8 bahagian

Inti:

2 biji kentang – dipotong dadu kecil
2 tangkai daun kari – dilurutkan
1/2 peket daging cincang – dilembutkan
1 peket serbuk kari daging – dibancuh dengan sedikit air
2 sudu besar gula putih
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
1 biji bawang besar – dipotong dadu
1 pokok daun sup – dihiris
1/2 senduk kecil minyak

Bahan-bahan ditumbuk halus:

3 sudu besar udang kering – direndam
2 ulas bawang putih – dipotong

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bahan tumbuk hingga garing. Masukkan pes kari dan daun kari dan tumis lagi hingga mendidih. Kemudian, masukkan gula dan tumis hingga pecah minyak.
  2. Masukkan daging dan tumis hingga keluar airnya. Masukkan kentang, bawang besar dan daun sup. Gaul rata dan tuangkan air hingga menutupi paras kentang.
  3. Perlahankan api, kacau sekali sekala untuk elakkan hangit. Setelah mendidih, masukkan garam dan perasa. Masak sehingga kering, jika minyak terlalu banyak, buang minyak. Sejukkan sepenuhnya sebelum digunakan.
Bahan-bahan kulit:

1 1/2 cawan tepung gandum (tambah/kurangkan jika perlu) – diayak
2 sudu besar tepung ubi – diayak
Air sejuk berais + garam secukupnya
25 g butter – dicairkan

Cara-cara:
  1. Satukan tepung dan masukkan butter cair. Gunakan senduk kayu jika panas, kacau rata. Kemudian, gunakan jari dan gaul tepung hingga menjadi seperti serbuk roti.
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit hingga mendapat doh yang tidak melekat.
  3. Uli beberapa minit, hingga agak-agak lembut.
  4. Ambil sejemput dan bulat-bulatkan menjadi bebola. Buat sehingga habis.
  5. Untuk membuat karipap, ambil 1 biji bebola dan uli sebentar, kemudian lenyek dengan penggelek kayu.
  6. Letakkan di tapak tangan dan letakkan 1 ketul telur rebus dan 1 sudu besar inti, lebih jika doh besar. Lipat dua dan lekapkan kesemua bahagian tepi. Kelim hingga siap, atau boleh gunakan acuan. Buat sehingga habis.
  7. Panaskan minyak, goreng hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan minyaknya.




No comments: