Monday, February 13, 2017

Dinner 6.2.2017


Sebenarnya rasa malas nak masak, tapi time balik kerja, dalam kereta lagi Rayyan dah tanya, hari ni Mama masak kan? Nak yang semalam tu. Semalamnya masak kuey teow goreng. Rayyan pulak sekarang ni susah betul nak makan, tapi bila dia dah mintak tu, nak tak nak masak la jugak. So singgah la kedai, beli kuey teow, nak yang halus tapi ada yang tebal je. Kucai takde, fishball takde. So apa yang ada je la.

Tapi Qayyum pulak pencinta nasi. So gorengkan ayam goreng kunyit dan panaskan tomyam campur yang balance dinner semalam (diorang makan kuey teow goreng, aku makan kuey teow tom yam).



Kuey Teow Goreng

Bahan-bahan:

1 bungkus kuey teow (aku suka yang halus, Cap Kunci plastik merah) –dibilas dengan air
1 ikat kucai – dipotong 4 inci panjang
Segenggam tauge – jika suka
1 peket fish ball - dibelah 2
1 ketul isi ayam – dipotong kecil-kecil
1 biji telur
3 ulas bawang putih – diketuk dan dicincang kasar
1/2 biji bawang besar – dihiris
5 biji tomato ceri – dibelah 2
1 sudu besar cili kisar (cili kering + bawang besar + bawang putih)
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
Kicap lemak manis Jalen + Kicap Tamin secukup rasa dan warna
Sedikit Maggi Cukup Rasa
Sedikit minyak untuk menumis (jangan banyak sangat, sebab kuey teow dah berminyak)

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga harum. Kemudian, tumis bawang besar hingga layu. Kemudian, tumis pula tomato hingga layu.
  2. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak. Kemudian, masukkan sos tiram dan sos cili. Tumis sebentar. Masukkan fishball dan ayam, tumis lagi hingga masak.
  3. Masukkan kicap. Gaul rata, terus masukkan kuey teow, kucai dan tauge. Kacau rata hingga bersalut semuanya.
  4. Buatkan lubang di bahagian tengah, masukkan telur. Biarkan mengeras sedikit barulah kacau bersama kuey teow. Jangan kacau selalu nanti telur terlalu hancur tak sedap. Dah mesra, boleh tutup api.


Tom Yam Campur

Resepi ni aku google dapat dari seorang Thai. Tapi tak ingat pulak nak copy link dia. Generally tak pakai tom yam paste, just pakai Thai Chilli Paste sahaja.

Demam Koh Lanta tak habis lagi.


Bahan-bahan:
10 ekor udang – tinggalkan kulit bahagian ekor sahaja, yang lain direbus untuk stok
2 ekor sotong – dipotong ikut suka
Sedikit isi ayam + tulang – asingkan, tulang direbus dengan kulit udang
5 hirisan kasar lengkuas
2 batang serai – diketuk dan dipotong serong lebar-lebar
10 biji cili padi – dibelah 2 tak putus
3 biji limau nipis – ambil jusnya
3 tangkai daun limau purut
3 sudu besar Thai Chilli Paste
5 sudu besar susu cair
2 sudu besar sos ikan (nam pla)
Garam jika perlu
Air secukupnya
1/2 peket cendawan tiram – dibersihkan dan disiat-siat
10 biji tomato ceri – dibelah 2
5 tangkai daun ketumbar – diracik kasar

Cara-cara:

  1. Rebus kulit udang dan tulang ayam hingga mendidih, kemudian keluarkan kulit udang dan tulang ayam.
  2. Masukkan lengkuas, serai dan daun limau purut dan didihkan sekali lagi hingga keluar bau.
  3. Masukkan tomato ceri, sos ikan, susu cair dan Thai Chilli Paste dan didihkan lagi.
  4. Masukkan ayam dan cendawan, rebus 2 minit, kemudian masukkan sotong dan udang. Rebus lagi 1 – 2 minit sahaja. Jangan terlalu lama nanti sotong akan menjadi liat dan udang keras. Kacau ala kadar dan tutup api.
  5. Masukkan jus limau dan kacau (tanpa api). Rasa cukup masin atau tak. Kalau belum, tambah sedikit garam dan teruskan kacau.
  6. Senduk ke dalam mangkuk dan taburkan daun ketumbar.


Ayam Goreng Kunyit

Bahan-bahan:

1 1/2 cawan isi ayam + tulang
Sedikit serbuk kunyit dan garam
Minyak untuk menggoreng
5 urat kacang panjang – dipotong 4 cm
1/2 biji bawang Holland – dihiris kasar
3 ulas bawang putih – diketuk dan dicincang kasar
1 sudu besar sos tiram
Sedikit Maggi Cukup Rasa
1 biji cili merah – dihiris kasar

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ayam dengan serbuk kunyit dan garam. Kemudian, goreng hingga garing dan angkat. Toskan minyak dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 3 sudu besar sahaja. Tumis bawang putih sebentar kemudian tumis pula bawang Holland hingga agak layu. Masukkan kacang panjang dan masak sebentar hingga lembut.
  3. Masukkan sos tiram dan perasa. Kacau rata.
  4. Akhir sekali, masukkan ayam goreng dan cili merah. Kacau rata dan tutup api.

No comments: