Kari Ikan Sembilang (Tanpa Santan)
Sumber: mrskojiwami
Bahan-bahan:
1 ekor ikan sembilang - dipotong 4, kepala dibelah 2
1 peket Rempah Kari Kampung Langgar (beli di Kelantan)
1/2 peket Rempah Kari Ikan Babas
1 sudu besar serbuk paprika
2 tangkai daun kari - ambil daunnya sahaja
2 sudu kecil halba campur
4 biji bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris halus
1/4 cawan air asam jawa pekat
1 cawan air
2 biji cili solok hijau - dibelah 2 tanpa putus
4 sudu besar minyak
Cara-cara:
- Panaskan minyak. Sementara itu, bancuh serbuk kari, serbuk paprika dan daun kari dengan sedikit air untuk dijadikan pes. Ketepikan.
- Tumis halba campur sebentar, kemudian masukkan bawang merah, bawang putih dan halia. Tumis lagi hingga layu dan kekuningan.
- Kemudian, masukkan pes kari dan tumis di atas api kecil selalu hingga terbit minyak. Jangan biarkan hangit, jika tidak kari akan menjadi pahit.
- Setelah terbit minyak, masukkan air, kacau dan masukkan ikan. Buka api sederhana, tutup periuk sambil dikacau perlahan sekali-sekala untuk mengelakkan isi ikan hancur.
- Setelah mendidih dan kelihatan pekat, masukkan air asam jawa, garam dan cili solok. Kacau hingga mendidih dan tutup api.
Ikan Bilis Goreng Berapi
Sumber: mrskojiwami
Bahan-bahan:
1 1/2 cawan ikan bilis mata biru yang dikupas - dibasuh bersih dan ditoskan
2 keping lobak putih jeruk - direndam sebentar di dalam air panas, ditoskan
1 biji kentang - dihiris nipis
Minyak untuk menggoreng
1 sudu besar Maggi Cukup Rasa
Bahan-bahan dikisar kering:
1 biji bawang besar - dipotong kecil
5 ulas bawang putih - dipotong kecil
20 biji cili padi
Cara-cara:
- Panaskan minyak, goreng kentang hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
- Goreng pula lobak putih jeruk hingga kelihatan garing. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
- Goreng pula ikan bilis hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
- Tinggal dalam 2 sudu besar minyak di dalam kuali. Tumis bahan kisar hingga terbit minyak dan masukkan Maggi Cukup Rasa. Tumis lagi hingga kelihatan garing.
- Perlahankan api, masukkan ikan bilis, kentang dan lobak putih jeruk. Gaul rata dan tutup api. Angkat, toskan minyak dan biarkan sejuk sepenuhnya sebelum disimpan.
- Simpan di dalam bekas kedap udara.
Sambal Tumis Telur Rebus
Sumber: mrskojiwami
Bahan-bahan:
4 biji telur - direbus dengan sedikit garam dan soda bikarbonat, sejukkan di dalam air biasa sebelum dikupas
1 sudu kecil gula perang
1 sudu besar sos tiram
1 keping asam gelugur
1/4 cawan air
Garam secukup rasa
1/4 cawan minyak masak
Bahan-bahan dikisar halus:
1 cawan cili kisar yang sudah direbus dan dibuang bijinya
1 biji bawang besar - dipotong kecil
3 ulas bawang putih - dipotong kecil
Air secukupnya
Cara-cara:
- Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga mendidih. Masukkan gula perang dan sos tiram. Tumis hingga terbit minyak dan nampak garing.
- Masukkan air, asam gelugur dan garam, kacau rata dan biarkan mendidih.
- Masukkan telur yang dikupas dan kacau perlahan-lahan selama 3-4 minit dan tutup api.