Friday, March 23, 2018

Menu 20.3.2018


Roti Jala

Bahan-bahan:

3 cawan tepung gandum - diayak
3 sudu besar santan KARA + air secukupnya
Sedikit serbuk kunyit dan garam
1 biji telur

Sedikit minyak untuk melengser non-stick pan + 1 simpulan daun pandan
Acuan roti jala

Cara-cara:

  1. Bancuh tepung gandum, santan, serbuk kunyit, garam dan telur hingga rata. Kemudian, tuangkan ke dalam blender dan kisar hingga halus. Adunan sepatutnya tidak terlalu pekat atau terlalu cair.
  2. Panaskan non-stick pan di atas api kecil, lengserkan minyak dengan menggunakan simpulan daun pandan. Celup acuan ke dalam bancuhan dan kiraikan di dalam pan dengan cara membuat bulatan di sekeliling pan, tidak perlu tebal.
  3. Setelah tepung berubah warna, terus angkat dan gulung seperti membuat popia. Susun di dalam pinggan.

Kari Ayam dan Kentang

Bahan-bahan:

300 gm ayam - dipotong kecil
1 biji kentang - dipotong dadu kecil
2 tangkai daun kari - dilurutkan daunnya
1 peket serbuk kari daging Baba's
2 sudu besar rempah kari giling (beli di pasar dengan orang India)
3 biji bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
2 sudu besar bawang besar kisar
1 sudu besar halia kisar
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1/4 kotak santan KARA
1 sudu besar kerisik
Air, garam dan Maggi Cukup Rasa
Sedikit air asam jawa
5 sudu besar minyak masak

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga harum.
  2. Masukkan bawang merah dan bawang putih dan tumis hingga layu dan sedikit garing.
  3. Masukkan bawang besar kisar dan halia kisar, kacau rata dan tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan daun kari, kerisik, rempah kari serbuk dan giling. Kacau rata dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  5. Masukkan ayam dan kentang, kacau rata hingga bersalut kesemuanya. Perlahankan api dan tutup periuk supaya ayam kecut sedikit. Kacau sekali sekala. Masukkan air dan tutup periuk supaya kentang empuk. Kacau sekali sekala.
  6. Masukkan santan, garam dan MCR secukup rasa. Kacau rata, setelah mendidih, masukkan air asam jawa. Kacau rata hingga mendidih lagi dan tutup api.



Pan Mee Goreng Lada Hitam

Bahan-bahan:
3 keping pan mee kering - direbus hingga masak dan ditoskan
1/2 ikat daun kucai - dipotong 4 cm panjang
1 cawan tauge
1/2 keping daging kisar Ramly - dilembutkan
2 sudu besar sos lada hitam
1 peket perencah tomyam (Maggi Tomyam)
Garam dan MCR secukup rasa
2 sudu besar minyak masak
Sedikit air

Bahan-bahan ditumbuk:
3 ulas bawang putih - dipotong
3 biji cili padi - dipotong

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga harum dan sedikit garing.
  2. Masukkan daging kisar dan tumis lagi hingga berubah warna.
  3. Masukkan sos lada hitam dan perencah tomyam. Kacau rata, masukkan air. Kacau lagi.
  4. Masukkan pan mee yang direbus, kucai, tauge, garam dan MCR. Besarkan sedikit api dan goreng hingga rata beberapa minit. Tutup api.

Menu 22.3.2018


Sambal Tumis Telur Rebus

Bahan-bahan:

5 biji telur - direbus 5-7 minit (supaya kuningnya cair)
1/2 biji bawang Holland - dihiris bulat
3 senduk kecil cili kisar (cili kering + bawang besar + bawang putih)
1 1/2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil gula perang
1 keping asam gelugur - dibasuh
6 sudu besar minyak masak
Garam secukup rasa
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Telur yang direbus kemudian rendam seketika di dalam air biasa kemudian kupas dengan berhati-hati. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dan tumis cili kisar hingga mendidih. Masukkan gula perang dan tumis hingga terbit minyak.
  3. Masukkan pula sos tiram dan asam gelugur. Tumis lagi hingga terbit minyak kemudian masukkan air.
  4. Setelah mendidih, masukkan garam, telur rebus dan bawang Holland. Kacau perlahan dengan rata dan sesuaikan rasa. Tutup api.



Sayur Goreng

Bahan-bahan:

1/2 pokok brokoli - dipotong kecil
1/2 biji lobak merah - dipotong jejari
2 ketul dada ayam - dipotong jejari
3 ulas bawang putih - diketuk dan dicincang kasar
1/2 biji bawang Holland - dihiris kasar
1 sudu teh minyak bijan
1 sudu besar sos tiram
Maggi Cukup Rasa
1 sudu besar minyak masak

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak, tumis bawang putih dan bawang Holland hingga wangi dan layu.
  2. Masukkan ayam dan masak hingga berubah warna.
  3. Masukkan lobak merah dan sedikit air. Masak hingga separuh empuk.
  4. Masukkan brokoli, minyak bijan, sos tiram dan MCR. Masukkan juga sedikit air, besarkan api dan kacau rata hingga brokoli 3/4 masak. Tutup api.



Pulut Kuning

Bahan-bahan:

3 cawan beras pulut - dibasuh bersih
1 sudu besar serbuk kunyit
1 keping asam gelugur
Air untuk merendam

1/2 kotak santan KARA + 1 cawan air
1 1/4 sudu besar garam (atau secukup rasa)
1 helai daun pandan - disimpul

Cara-cara:

  1. Persediaan awal: Rendam beras pulut bersama serbuk kunyit dan asam gelugur lebih kurang 4 jam.
  2. Toskan airnya dan bilas sedikit.
  3. Panaskan periuk pengukus. Letakkan pulut di dalam loyang bersama daun pandan. Kukus separuh masak, lebih kurang 10 minit.
  4. Sementara itu, bancuh campuran santan dan garam di dalam bekas yang sesuai. Keluarkan pulut dan gaul rata dengan bancuhan santan.
  5. Masukkan semula pulut ke dalam loyang dan kukus lagi hingga betul-betul masak, lebih kurang 15 - 20 minit.

Rendang Pedas Ayam Stail Mak dan Yong

Bahan-bahan:

600 gm potongan ayam - dibersihkan dan ditoskan
1 helai daun kunyit - dihiris halus
2 helai daun limau purut
1 keping asam gelugur - dibasuh
3/4 kotak santan KARA + 3/4 cawan air
Garam secukup rasa
Maggi Cukup Rasa
1 senduk kecil minyak masak

Bahan-bahan dikisar halus:

1 cawan cili kering yang sudah dipotong dan direbus - ditoskan
2 biji bawang besar - dipotong
4 ulas bawang putih - dipotong
3 inci halia - dipotong
1 inci lengkuas - dipotong
3 batang serai (bahagian putih) - dipotong
2 inci kunyit - dipotong
Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak sambil dikacau selalu.
  2. Masukkan ayam dan kacau rata hingga bersalut. Perlahankan api dan tutup kuali supaya ayam mengecut. Kacau sekali sekala.
  3. Selepas lebih kurang 10 minit, kacau rata. Masukkan campuran santan, asam gelugur, daun limau purut, garam dan MCR. Renihkan di atas api sederhana hingga ayam betul-betul empuk dan kuah rendang sedikit pekat. Jika suka kuah yang kering, masak lagi hingga sedikit kering. Akhir sekali, taburkan hirisan daun kunyit. Kacau rata dan tutup api.

Menu 21.3.2018


Ikan Gerut-gerut Masak Masam Manis

Bahan-bahan:

1 bahagian ekor ikan gerut-gerut - dibuang sisik dan dibersihkan
Sedikit garam dan serbuk kunyit
Minyak untuk menggoreng

1 1/2 senduk kecil cili kisar (cili kering + bawang besar + bawang putih)
2 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar gula perang
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa
Hirisan daun ketumbar + akar - dibersihkan
1/2 biji bawang Holland - dipotong dadu kecil
2 ulas bawang putih - dicincang kasar
1 sudu besar halia kisar

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ikan dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan minyak. Ketepikan.
  2. Tinggalkan 1 senduk kecil minyak gorengan dan tumis bawang Holland dan bawang putih hingga harum.
  3. Masukkan halia kisar dan tumis sebentar hingga harum.
  4. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga mendidih. Masukkan gula perang dan tumis lagi hingga terbit minyak.
  5. Masukkan akar ketumbar, sos cili, sos tiram dan sos ikan. Tumis lagi hingga terbit minyak kemudian masukkan air secukupnya.
  6. Setelah kuah hampir pekat, masukkan garam dan MCR secukup rasa (jika kurang masin). Kacau rata dan tutup api.
  7. Tuangkan sos ke atas ikan goreng dan taburkan dengan daun ketumbar.





Sotong Masak ala Pakapau

Bahan-bahan:

300 gm sotong katak - disiang dan dipotong ikut suka
1/2 biji bawang Holland - dihiris bulat
3 biji cili padi merah - dipotong kasar
Segenggam daun selasih - dibasuh
1 pokok daun ketumbar + akar - dipotong kasar
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar minyak bijan
1 sudu besar minyak masak
Maggi Cukup Rasa
Air secukupnya

Bahan-bahan ditumbuk kasar:

3 biji cili padi merah - dipotong
3 ulas bawang putih - dipotong

Cara-cara:

  1. Panaskan kuali dan masukkan sotong. Kacau rata supaya air sotong keluar. Angkat dan toskan airnya. Ketepikan. Bersihkan kuali dan panaskan semula.
  2. Panaskan minyak masak dan tumis bahan tumbuk hingga harum dan layu.
  3. Masukkan akar ketumbar, sos tiram, sos ikan, minyak bijan, cili padi merah dan bawang Holland. Tumis hingga naik baunya.
  4. Masukkan sotong dan sedikit air. Besarkan api dan kacau rata hingga betul-betul masak. Akhir sekali, masukkan daun selasih dan daun ketumbar, kacau rata dan tutup api.

Monday, March 19, 2018

Teatime 14.3.2018



Kuih Ketayap

Bahan-bahan inti:

1/2 biji kelapa parut (putih sahaja)
1/2 ketul gula melaka - dipecah-pecahkan
1 sudu besar gula perang
Secubit garam
2 helai daun pandan - disimpul
1/4 cawan air
2 sudu besar tepung gandum

Cara-cara:

  1. Masukkan air, daun pandan, garam, gula melaka dan gula perang ke dalam periuk kecil dan panaskan di atas api kecil hingga betul-betul larut.
  2. Masukkan kelapa parut dan kacau sekali-sekala hingga pekat dan sedikit kering.
  3. Setelah agak kering (tetapi masih sedikit lembap), masukkan tepung gandum dan kacau rata. Fungsi tepung gandum adalah untuk hold inti, supaya tidak berderai. Biarkan sejuk sebelum digunakan.
Bahan-bahan kulit:

1 cawan (atau lebih) tepung gandum - diayak
1/2 kotak santan + 1 cawan air - dikacau rata
Secubit garam
1 biji telur - dipukul sedikit
1/2 sudu besar pandan emulco*
Sedikit minyak + simpulan daun pandan

*Kalau tidak menggunakan emulco, boleh kisar 4 helai daun pandan bersama sedikit air dan tapis. Kemudian tambah 1 - 2 titik pewarna hijau jika suka.

Cara-cara:
  1. Satukan tepung dan garam dan kacau rata.
  2. Buatkan lubang di bahagian tengah. Tuangkan campuran santan dan telur. Kacau menggunakan whisk hingga rata dan tidak berketul. Kemudian, tuangkan emulco dan kacau rata.
  3. Masukkan adunan ke dalam pengisar dan kisar hingga halus. Dengan cara ini, adunan tidak perlu ditapis lagi. Jika tidak menggunakan cara ini, pastikan adunan dipukul rata dan tapis sebelum digunakan.
  4. Panaskan non-stick pan, sapukan sedikit minyak rata-rata menggunakan simpulan daun pandan yang dicelup ke dalam minyak.
  5. Tuangkan 1 senduk adunan dan lenggangkan supaya nipis. Biarkan adunan berubah warna dan lekang sedikit di bahagian tepinya. Kuiskan dengan sudip dan angkat. Ketepikan. Buat hingga habis.
  6. Sementara membuat baki kulit, ambil sekeping kulit yang sudah masak tadi. Letakkan 1 sudu besar inti dan gulung seperti membuat popiah. Buat sehingga habis.

Lunch 14.3.2018


Ikan Kerisi Goreng Berlada

Bahan-bahan:

4 ekor ikan kerisi
Sedikit serbuk kunyit dan garam
Minyak untuk menggoreng
Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar kering:

20 biji cili padi hijau - dipotong
5 biji cili padi merah - dipotong
5 ulas bawang putih - dipotong
2 biji bawang besar - dipotong

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ikan dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng ikan hingga garing dan angkat. Toskan minyaknya dan susun di dalam pinggan.
  2. Dengan menggunakan minyak yang sama (lebih kurang 3 sudu besar), tumis bahan kisar di atas api sederhana hingga sedikit garing. Masukkan MCR dan tumis sebentar kemudian tutup api. Sudukan ke atas ikan goreng tadi.


Pucuk Manis Tumis Belacan Bersantan

Bahan-bahan:

1 ikat pucuk manis - dilurutkan daunnya
1/2 biji cili merah - dihiris serong
3 sudu besar santan KARA
Garam secukup rasa
Sedikit air
1 sudu besar minyak masak

Bahan-bahan ditumbuk:

1 biji cili merah - dipotong
1/2 inci belacan bakar
2 biji bawang merah - dipotong
1 ulas bawang putih - dipotong
Sejemput ikan bilis - dibasuh

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis bahan tumbuk hingga harum dan sedikit garing.
  2. Masukkan air dan santan. Kacau hingga mendidih, masukkan pucuk manis dan cili merah. Kacau dan masukkan garam. Kacau lagi hingga daun sedikit layu dan rata. Tutup api.