Thursday, July 5, 2018

Menu 6 Jun 2018


Daging Masak Hitam

Sumber: Facebook

Olahan: mrskojiwami

Bahan-bahan:

700 gm daging lembu
2 batang serai – diketuk
1 biji bawang besar – dihiris nipis
1 biji tomato – dipotong kecil
1 sudu besar cuka
5 tangkai daun kari – dilurutkan
1/2 peket serbuk kari daging
Kicap manis dan kicap masin secukup rasa
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
Air secukupnya untuk merebus daging
3/4 cawan minyak masak

Bahan-bahan A:

1 batang kulit kayu manis – dipatah-patahkan
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
2 biji buah keras
1 sudu besar lada hitam

Bahan-bahan B:

Segenggam cili kering – dipotong dan direbus
2 biji bawang besar – dipotong kecil
5 ulas bawang putih
2 inci halia – dipotong kecil
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Rebus daging dengan air hingga empuk. Buang buih-buih keruh yang terdapat di permukaan air rebusan. Keluarkan daging dan biarkan sejuk seketika. Air rebusan jangan dibuang.
  2. Hiris daging melawan urat ikut ketebalan yang disukai. Ketepikan.
  3. Panaskan kuali (tanpa minyak) dan sangai (goreng) bahan-bahan A hingga harum dan kering. Angkat dan biarkan sejuk. Kemudian, kisar kering hingga halus. Ketepikan.
  4. Kisar bahan-bahan B hingga halus dan ketepikan.
  5. Panaskan minyak. Tumis serai dan bawang besar yang dihiris hingga layu dan perang.
  6. Kemudian, masukkan bahan B dan tumis hingga harum. Masukkan pula bahan B, tomato, serbuk kari dan daun kari dan tumis lagi hingga pecah minyak sambil dikacau sekali-sekala di atas api sederhana.
  7. Masukkan daging, kicap manis dan masin, cuka dan air rebusan hingga menutupi paras daging. Kacau rata, biarkan mendidih sambil dikacau sekali-sekala.
  8. Setelah kuah semakin pekat, masukkan garam dan Maggi Cukup Rasa. Perisakan dan setelah kuah mendidih, tutup api. Jika suka kering, tambah masa memasak.

Ikan Selar Sambal Cili Padi

Bahan-bahan:

2 ekor ikan selar – dikelar
Serbuk kunyit dan garam
Minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan dikisar kasar tanpa air:

Segenggam cili padi merah dan hijau
7 ulas bawang putih
2 biji bawang besar – dipotong kasar

Bahan-bahan lain:

Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ikan dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng hingga garing. Angkat dan letakkan di dalam pinggan hidangan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan lebih kurang 3/4 cawan. Tumis bahan kisar, garam dan MCR di atas api sederhana hingga pecah minyak.
  3. Setelah kesemuanya layu, skimkan minyak dan tuangkan ke atas ikan goreng.

Menu 5 Jun 2018 dan Projek Biskut Raya


Gulai Taucu Ikan Kembung

Bahan-bahan:

2 ekor ikan kembung
Sedikit serbuk kunyit dan garam
Minyak untuk menggoreng
3 biji bawang merah – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1/2 inci halia – dihiris mancis
1 batang cili hijau – dibelah 2 tanpa putus
1/2 biji bawang besar – dihiris bulat
1/2 inci belacan bakar
1/2 sudu kecil pes asam jawa Adabi
Sedikit air
2 sudu besar taucu kasar Cap Pisau
Kicap masin Tamin secukupnya
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak untuk menggoreng. Sementara itu, gaul ikan dengan serbuk kunyit dan garam rata-rata.
  2. Goreng ikan hingga garing. Angkat dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak dan tinggalkan 2 sudu besar sahaja.
  4. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga harum dan layu.
  5. Masukkan taucu dan tumis sebentar. Kemudian, masukkan kicap (lebih kurang 1 sudu besar) dan tumis lagi.
  6. Masukkan air. Sementara itu, bancuh belacan, pes asam jawa dan air. Kemudian, tuangkan ke dalam kuali tadi. Biarkan mendidih.
  7. Masukkan ikan goreng, cili hijau dan bawang besar. Kacau sekali sekala hingga mendidih, sesuaikan rasa, jika perlu tambah sedikit garam. Setelah mendidih, tutup api.


Ayam Masak Cili Padi

Bahan-bahan:

10 ketul ayam
1/4 sudu kecil serbuk kunyit
1 keping asam gelugur
2 sudu besar sos tiram
1/4 cawan minyak masak
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

20 tangkai cili padi merah dan hijau
6 ulas bawang putih
2 biji bawang besar – dipotong kecil
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga mendidih dan pecah minyak di atas api sederhana.
  2. Masukkan sos tiram dan tumis beberapa minit lagi.
  3. Masukkan ayam, sos tiram, garam dan MCR. Kacau rata, tutup kuali dan kacau sekali-sekala hingga ayam masak.


Ayam Masak Merah

Bahan-bahan:

10 ketul ayam
Serbuk kunyit dan garam secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan kisar:

Segenggam cili kering – dipotong kecil dan direbus
1 biji bawang besar – dipotong kecil
3 ulas bawang putih – dipotong kecil
2 inci halia – dipotong kecil
Air secukupnya

Bahan-bahan lain:

1 biji bawang besar – dihiris bulat
1 pokok daun ketumbar – dihiris kasar
5 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos tiram
Garam dan Maggi Cukup Rasa
Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ayam bersama serbuk kunyit dan garam hingga rata. Kemudian, goreng hingga masak dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan lebih kurang 3/4 cawan. Tumis bahan kisar hingga mendidih, kemudian masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram. Tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan air dan kacau rata. Setelah mendidih, masukkan ayam goreng, bawang besar, separuh hirisan daun ketumbar, garam dan MCR. Kacau rata hingga kuah memekat.
  4. Tutup api dan taburkan separuh lagi hirisan daun ketumbar. Kacau rata dan hidangkan.





Biskut Samperit Klasik

Bahan-bahan:

250 gm mentega Twin Cows (suhu bilik)
1/2 cawan gula aising
1 biji kuning telur
1 cawan tepung jagung – diayak
1 cawan tepung kastad – diayak
1 1/2 cawan tepung ros (beli di bakery) – diayak
1 sudu kecil serbuk vanila
Coklat cip putih (hiasan)

Cara-cara:

  1. Pukul mentega dan gula aising menggunakan whisk hingga putih dan gebu.
  2. Masukkan kuning telur dan pukul lagi sebentar.
  3. Masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit bersama serbuk vanila dan uli menggunakan tangan.
  4. Pastikan adunan tidak terlalu lembut atau terlalu keras. Tambahkan tepung jagung jika terlalu lembut. Tutup dengan kain bersih sementara menyediakan dulang.
  5. Panaskan oven pada suhu 150°C selama 10 minit, api atas dan bawah.
  6. Lapikkan dulang dengan baking paper.
  7. Ambil sedikit adunan dan masukkan ke dalam acuan samperit. Tekan dan jarakkan setiap biskut dalam 5 cm. Biskut ini tidak naik dan tidak turun apabila masak. Tekankan coklat cip putih di bahagian tengah biskut.
  8. Bakar selama 20 – 25 minit atau sehingga masak.
  9. Setelah masak, keluarkan dan biarkan menyejuk sebelum dialihkan ke atas redai.
  10. Simpan di dalam bekas kedap udara apabila biskut telah menyejuk sepenuhnya dengan berhati-hati kerana biskut ini agak lembut.





Biskut Red Velvet

Sumber:
http://citarasawan.blogspot.com/2014/07/biskut-red-velvet-white-chocolate-chips.html

Olahan: mrskojiwami

Bahan-bahan:

200 gm mentega Anchor (salted) – suhu bilik
220 gm gula
1 biji telur A
300 gm tepung ros
20 gm serbuk koko Van Houten
50 gm tepung jagung
3/4 sudu kecil soda bikarbonat
1/4 sudu teh garam halus
1 sudu kecil cuka putih
1 sudu kecil serbuk vanila
Pewarna merah (jenis gel) secukupnya
100 gm coklat cip putih

Cara-cara:

  1. Putar mentega dan gula hingga berkrim. Masukkan telur, serbuk vanila, cuka dan pewarna merah. Putar lagi hingga rata.
  2. Ayak tepung ros, tepung jagung, serbuk koko, soda bikarbonat dan garam.
  3. Masukkan tepung dan coklat cip ke dalam adunan mentega dan gaul rata.
  4. Panaskan oven pada suhu 150°C selama 10 minit dan lapikkan dulang pembakar dengan baking paper.
  5. Ambil sedikita adunan dan bulat-bulatkan. Susun di atas dulang dengan jarak 5 cm kerana biskut akan mengembang.
  6. Bakar biskut selama 15 – 20 minit atau sehingga masak.
  7. Keluarkan dari oven dan biarkan lebih kurang 5 minit sebelum alihkan biskut untuk disejukkan di atas redai.
  8. Simpan di dalam bekas kedap udara.



Biskut Cornflakes Crunchy

Sumber: https://resipicitarasawan.blogspot.com/2011/11/biskut-cornflakes-crunch.html

Olahan: mrskojiwami


Bahan-bahan A:

280 gm mentega Twin Cows (suhu bilik)
180 gm gula kastor
1/2 sudu kecil serbuk vanila
2 biji telur B

Bahan-bahan B:

320 gm tepung ros
1/2 sudu teh serbuk penaik
1/4 sudu teh soda bikatbonat

Bahan C:

500 gm cornflakes – diramas sedikit

Cara-cara:


  1. Putar bahan A hingga kembang. Kemudian, masukkan telur satu persatu dan pukul rata setiap kali masukkan telur.
  2. Masukkan bahan B dan gaul menggunakan spatula hingga menjadi doh yang lembut. Rehatkan 1 jam di dalam peti sejuk (resipi asal semalaman).
  3. Keluarkan dari peti sejuk. Ambil sedikit dan bulat-bulatkan. Kemudian, golekkan dalam cornflakes yang diramas.
  4. Susun di dalam dulang yang dilapik dengan baking paper. Panaskan oven pada suhu 150°C selama 10 minit kemudian bakar biskut selama 20 – 25 minit.
  5. Keluarkan dari oven, biarkan 5 minit barulah alihkan biskut ke atas redai hingga sejuk.
  6. Simpan di dalam bekas kedap udara.

Tuesday, July 3, 2018

Menu 4 Jun 2018

Kuay Teow Goreng Udang


Bahan-bahan:

1 peket besar kuay teow halus Cap Kunci – dibilas dan ditoskan
2 pokok kucai – dipotong 6 cm panjang
2 biji telur
8 ekor udang besar
3 ulas bawang putih*
2 sudu besar udang kering* – direndam dan ditoskan
4 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
Kicap manis + masin secukup rasa
Sedikit Maggi Cukup Rasa
3 sudu besar minyak masak

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, tumbuk bahan bertanda *.
  2. Tumis bahan tumbuk hingga harum dan masukkan cili kisar, sos cili dan sos tiram. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan udang dan tumis beberapa minit.
  4. Masukkan kuay teow dan kucai. Gaul rata dan goreng beberapa minit.
  5. Masukkan kicap, MCR dan kacau rata. Ketepikan kuay teow ke bahagian tepi kuali dan masukkan telur. Kacau sedikit hingga kental kemudian gaulkan sekali dengan kuay teow supaya rata. Goreng beberapa minit lagi dan tutup api.

Menu 31 Mei 2018

Kuih Keria/Gelang


Bahan-bahan:

2 biji (sederhana) ubi keledek putih – dipotong kiub
Tepung gandum secukupnya
2 sudu besar gula
1/4 cawan air
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Rebus ubi keledek dengan paras air menutupi keseluruhan ubi hingga empuk. Angkat dan biarkan sejuk seketika.
  2. Lenyek ubi menggunakan pelenyek atau garpu hingga hancur.
  3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil menguli hingga mendapat adunan yang boleh dibentuk.
  4. Bentukkan menjadi gegelang dan susun di atas dulang yang ditabur sedikit tepung. Buat sehingga habis.
  5. Panaskan minyak agak banyak dan goreng kuih hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan minyaknya.
  6. Di dalam kuali berasingan, panaskan air dan gula hingga berbuih sambil dikacau selalu.
  7. Masukkan kuih dan gaul rata, tutup api dan teruskan menggaul hingga air gula bertukar menjadi seperti kepingan putih. Angkat dan hidangkan.

Menu 26 Jun 2018



Gulai Lemak Labu

Bahan-bahan:

1 mangkuk labu yang dipotong kiub
1 helai daun kunyit – diracik
1 batang serai – diketuk
2 biji bawang merah – dihiris nipis
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
3/4 kotak santan
1/4 cawan air
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa

Bahan-bahan ditumbuk:

2 ulas bawang putih
Sejemput ikan bilis – dibilas

Cara-cara:

  1. Masukkan labu, daun kunyit, serai dan air ke dalam periuk. Didihkan, tambah air sedikit-sedikit hingga labu lembut.
  2. Masukkan serbuk kunyit, bawang merah, santan, bahan tumbuk, garam dan MCR. Perlahankan api, renihkan sambil kacau sekali-sekala dan hingga labu betul-betul empuk. Tutup api dan hidangkan.



Sambal Tumis Sardin

Bahan-bahan:

2 tin kecil sardin Cap Ayam
1 tin air
1 keping asam gelugur
1 biji bawang besar – dihiris bulat
6 biji cili padi – dibelah 2 tanpa putus
2 sudu besar sos tiram
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
3 biji bawang merah – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
2 sudu besar bawang besar yang dikisar
1 sudu besar bawang putih yang dikisar
1/2 sudu besar halia yang dikisar
3/4 cawan cili kisar
1/4 cawan minyak masak

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis hirisan bawang merah dan bawang putih hingga layu dan perang.
  2. Masukkan kisaran bawang besar, bawang putih dan halia. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  4. Masukkan sos tiram dan tumis beberapa minit.
  5. Masukkan sardin, air dan asam gelugur. Kacau rata dan biarkan mendidih.
  6. Masukkan bawang besar, cili padi, garam dan MCR. Kacau rata, jika terlalu pekat boleh tambah air. Sesuaikan rasa. Setelah mendidih, tutup api.





Kurma Daging dan Telur Rebus

Bahan-bahan:

500 gm daging lembu – dipotong kiub
2 biji telur – direbus dan dikupas
2 biji kentang – dipotong 4
1/2 batang lobak merah – dipotong kiub
1 biji bawang besar – dipotong 4
1 peket rempah kurma Baba's*
2 tangkai daun kari – dilurutkan*
Air secukupnya*
3/4 kotak santan
1 batang serai – diketuk
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
3 biji bawang merah – dihiris nipis
2 ulas bawang putih – dihiris nipis
3 sudu besar bawang besar yang dikisar
1 1/2 sudu besar bawang putih yang dikisar
1 sudu besar halia yang dikisar
1/2 cawan minyak masak + 1 sudu besar marjerin Planta
1/2 sudu besar pes asam jawa Adabi
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
Air secukupnya untuk kuah

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan marjerin. Tumis serai, kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga harum. Kemudian, masukkan hirisan bawang merah dan bawang putih. Tumis hingga perang dan layu.
  2. Masukkan bahan-bahan yang dikisar dan tumis lagi hingga pecah minyak. Sementara itu, bancuh bahan bertanda *.
  3. Masukkan bancuhan kurma dan tumis lagi hingga pecah minyak sambil dikacau selalu supaya tidak hangit.
  4. Masukkan daging, kentang dan lobak merah. Gaul rata hingga bersalut kesemuanya, tutup periuk dan biarkan merenih.
  5. Kacau dan masukkan 1/2 cawan air. Kacau rata dan tutup periuk lagi supaya kentang dan lobak merah lembut.
  6. Masukkan santan dan tambah air jika terlalu pekat. Kacau rata, masukkan telur rebus, pes asam jawa dan bawang besar yang dipotong 4. Kacau rata, masukkan garam dan MCR, sesuaikan rasa. Setelah mendidih, tutup api.