Thursday, May 25, 2017

Breakfast 25.5.2017

Assalammualaikum,

Hari ni untuk lunch mak, just masak sawi masak lemak putih, tempe goreng dan ikan masing goreng. Untuk breakfast pulak, saya buat sandwich tuna sebabnya roti Gardenia yang jumbo tu ada separuh lagi, dah nak dekat expired. Kalau tak buat apa-apa, makanya masuk tong sampah. Tuna mayo pun ada 1 tin lagi so buat sandwich la senang dan cepat.

Jom tengok resipi :)

Sandwic Tuna

Bahan-bahan:

10 keping roti Gardenia
Marjerin secukupnya (saya lebih suka guna pure butter, tapi marjerin balance buat karipap ada lagi)
1 tin tuna mayonis Ayam Brand
1 sudu besar mayonis
Daun salad – dihiris halus

Sandwich Tuna

Cara-cara:
  1. Satukan tuna mayo dan mayonis dan kacau rata.
  2. Sapukan marjerin pada roti. Ambil sekeping dan ratakan 1 sudu besar tuna.
  3. Letakkan sejemput salad dan tutup dengan sekeping roti lagi.
  4. Potong bahagian tepi (crust) jika suka, kemudian potong dua (menjadi segi tiga), kemudian potong lagi kepada segi tiga yang lebih kecil.
  5. Susun di dalam pinggan hidang secara menegak.

Dinner Menu 23.5.2017

Assalammualaikum,

Balik dari office, termenung depan fridge, nak masak apa la hari ni? Ada je lauk, tapi takde idea resipi apa nak pakai. Keluarkan daging dan perut. Ok daging buat rendang walaupun daun kunyit dah habis. Perut pulak rebus cicah air asam je la. Sayur salad sudah. Ok, let's start cookin'!

Rendang Pedas Daging

Bahan-bahan:

1/2 kg daging batang pinang – dihiris ikut suka
1 helai daun kunyit – dihiris halus (tak ada, habis)
1 sudu besar kerisik
2 senduk kecil cili kisar (prepared)
1 keping asam keping
1 senduk kecil minyak
1/2 kotak santan
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
1 cawan air
Segenggam kelapa parut putih

Bahan-bahan dikisar halus:

3 batang serai – dipotong kecil
5 biji bawang merah – dipotong kecil
3 ulas bawang putih – dipotong kecil
2 inci kunyit – dipotong kecil
2 inci lengkuas – dipotong kecil
3 inci halia – dipotong kecil
Air secukupnya

Bekal ke office esoknya + brown rice + salad

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar dan cili kisar hingga pecah minyak dan sedikit garing.
  2. Masukkan daging dan kacau rata. Gunakan api sederhana, masak sehingga keluar air daging.
  3. Masukkan kerisik, kelapa parut, asam keping, air dan santan. Renihkan, sambil dikacau sekali sekala.
  4. Bila kuah semakin memekat, masukkan garam dan Maggi Cukup Rasa. Kacau.
  5. Setelah hampir kering (jika suka berkuah), taburkan daun kunyit dan gaul rata. Tutup api.
  6. Sekiranya suka rendang yang kering, teruskan memasak sehingga kuahnya pekat dan melekat pada daging.


Perut Rebus dengan Air Asam

Bahan-bahan:

1/2 kg perut lembu – direbus dan ditoskan airnya
3 biji bawang merah – dihiris
5 biji tomato ceri – dibelah 2
5 biji cili padi – dihiris
1/2 biji cili merah – dihiris
1 sudu besar pes asam jawa
1/2 cawan air masak
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil gula perang
1 inci belacan – dibakar dan dihancurkan

Cara-cara:
  1. Potong perut ikut suka dan letakkan di dalam mangkuk hidangan. Ketepikan.
  2. Satukan belacan, pes asam jawa dan air masak. Kacau, masukkan garam dan gula. Sesuaikan rasa.
  3. Masukkan bahan-bahan lain dan kacau rata.
  4. Tuangkan ke atas perut rebus tadi. Hidangkan.

Wednesday, May 24, 2017

Breakfast Menu 24.5.2017

Assalammualaikum,

Hari ni terlambat sikit keluar rumah. Kesian Qayyum, hari2 masuk sekolah lambat. Dah cuba bangun pukul 5 am setiap hari pun still aku lambat. Kalau nak cepat, memang kena masak untuk mak dari malam sebelumnya, tapi takkan la nak masak sup sayur pun dari malam sebelumnya kan? Haruslah masak pagi-pagi tu. Buat breakfast lagi, kalau tak sempat, mintak tolong En K buatkan air. Kalau sempat, aku la yang buat. Pagi2 je kena ada 3 jenis air. Nescafe untuk aku dan En K. Milo untuk kiddos. Mak teh halia 3 in 1. Kadang2 tak buat breakfast pun. Diorang ni kadang2 pagi2 sgt tu tak lalu makan. Aku lak yang bengang, penat masak tak makan pulak. Kena la paksa sapa2 bawa bekal. Kalau tak rugi je la kan. Untuk mak biasanya, yang simple2 je. Sup sayur dengan fishball, ikan goreng, ikan masin goreng (fave mak), ikan rebus goreng (fave mak), tempe goreng (fave mak). Macam tu je la, sebab mak kata dah tak larat nak makan benda-benda keras, gigi dah tak kuat. Ayam memang sejak mak tua ni dia kurang sikit. So mostly ikan dan sayur je la. Kadang2 aku rajin buat la masak lemak putih ke, masak lodeh ke, camtu la... Tapi pun, if buat from scratch pagi2 buta tu, tetap la tak sempat nak siapkan before 6.30 am.

Ok la, pagi ni buat cekodok pisang. Pisang En K beli dari hari Sabtu lagi, pisang emas dibawa belayar. Semalam aku dah siapkan bancuhan then simpan peti sejuk. Pagi ni baru menjemput pisang. Jom tengok resipi la ya.

Cekodok Pisang

Bahan-bahan:

15 biji pisang emas – dikupas kulit
4 sudu besar gula
1 sudu kecil soda bikarbonat
2 cawan tepung gandum Cap Bunga Ros (agak-agak) – aku suka la guna tepung ni
1/2 sudu kecil garam

Cara-cara:

  1. Lenyek pisang hingga hancur bersama gula.
  2. Masukkan bahan-bahan lain dan kacau hingga mesra. Adunan mestilah tidak terlalu lembik atau terlalu keras. Yang sedang-sedang saja.
  3. Panaskan minyak. Jemputkan adunan ke dalam minyak. Buat hingga hampir penuh kuali. Jangan penuh sangat nanti adunan mengembang tak muat kuali pulak.
  4. Goreng hingga perang hitam-hitam sikit, cekodok memang kaler macam tu. Angkat dan toskan minyaknya. Buat sehingga habis.

Tuesday, May 23, 2017

Lunch Menu 20.5.2017

Assalammualaikum,

Hari ni ada sikit rajin, so kelar-kelar sotong, and the outcome adalah bunga-bunga sotong, haha. Padahal masak sambal tumis je. Ayam kampung tu pulak, tak tau nak masak apa. Mula-mula nak buat ala pakapau je, so suruh la Rayyan tolong petikkan daun selasih kat depan rumah. Dapatlah 1/2 bekas juga. Tapi ... kentang ada tu, kalau tak pakai nanti bertunas pulak sebab dah beli seminggu kot. Nak buat kari, baru je lepas masak kari ikan hari tu. Nak buat kurma, tak ada rempah. Aduiii... dilema betul bila barang dapur kehabisan stok ni. Last-last buat la masak lemak cili padi, tapi En K kurang sikit, tapi Qayyum dan Qimie suka giler. Memang dalam dilema la, nak memenuhi citarasa semua orang, tu tak termasuk citarasa sendiri, yang kadang-kadang terpaksa la dikorbankan sebab tak ada orang yang suka citarasa kita kan.

Ok la, jom la tengok resipi walaupun dah berulang-ulang type.

Sambal Tumis Sotong

 Sambal Tumis Sotong

Bahan-bahan:

1/2 kg sotong – dibuang kulit, dipotong bulat dan dipotong separuh sekelilingnya
1/2 biji bawang Holland – dihiris bulat
2 senduk kecil cili kisar (prepared)
1 sudu besar sos tiram
2 cm gula Melaka
1/4 cawan air
1/2 senduk kecil minyak
Garam secukup rasa
1/2 sudu kecil pes asam jawa

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak, tumis separuh bawang Holland hingga layu. Kemudian, masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga mendidih.
  2. Masukkan gula Melaka dan tumis lagi hingga pecah minyak. Masukkan sos tiram dan tumis lagi.
  3. Masukkan air, pes asam jawa dan masak hingga mendidih.
  4. Masukkan sotong dan baki bawang Holland. Kacau rata, masukkan garam dan masak hingga sotong masak tapi jangan lama sangat, nanti sotong liat. Tutup api.


Ayam Kampung Masak Lemak Cili Padi


Ayam Kampung Masak Lemak Cili Padi

Bahan-bahan:

10 ketul ayam kampung
1 biji kentang – dipotong 8
1 helai daun kunyit
1 batang serai – diketuk
1/2 kotak santan
1/2 cawan air
Garam secukup rasa
1 keping asam keping

Bahan-bahan dikisar halus:

15 biji cili padi
1/2 biji cili merah
5 biji tomato ceri
1 inci kunyit
3 biji bawang merah
Sedikit air

Cara-cara:
  1. Sediakan periuk, masukkan ayam, air, serai, daun kunyit dan bahan kisar. Kacau. Panaskan di atas api sederhana hingga mendidih dan ayam mengecut.
  2. Masukkan kentang dan santan. Kacau rata, jaga api, jangan biarkan meruap kalau tak santan pecah.
  3. Masukkan garam dan asam keping. Bila berwap kacau, masak hingga kentang empuk dan kuah sedikit pekat. Rasa, jika ok, tutup api.

Ikan Pari Bakar Ala Portugis

Assalammualaikum,

Ikan Pari Bakar Ala Portugis

Bahan-bahan:

Ikan Pari Bakar Ala Portugis

1 kg ikan pari yang sudah dipotong – dibersihkan
6 biji bendi – dihiris serong
1/2 tangkai bunga kantan – dihiris halus
3 tangkai daun kesum – dilurut
Garam dan gula melaka secukup rasa
Pes asam jawa secukup rasa
Aluminium foil
1 senduk kecil minyak
Hirisan limau kasturi

Bahan-bahan dikisar halus:

1 cawan cili kering yang direbus dan dibuang biji
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 biji buah keras
1 inci kunyit
1 inci lengkuas
1 inci halia
1 batang serai – dipotong kecil
2 cm belacan
Segenggam udang kering – direndam hingga lembut
5 biji tomato ceri
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Masukkan garam, gula melaka dan pes asam jawa. Tumis lagi hingga agak garing. Tutup api. Buangkan lebihan minyak.
  2. Panaskan oven 230°C selama 10 minit. Sediakan loyang yang sesuai, letakkan aluminium foil lebih besar dari saiz loyang, agak-agak boleh lipat bahagian tepinya. Hati-hati, bahagian tepi foil tajam (saya dah kena haha).
  3. Susun ikan pari, curahkan pes sambal rata-rata. Kemudian, tabur hirisan bendi, bunga kantan dan daun kesum rata-rata. Ambil sekeping lagi foil yang sama saiz, lapikkan bahagian atas dan lipatkan bersama bahagian bawah dan balut tanpa ada ruang udara. Bakar selama 30 – 40 minit.
  4. Setelah masak, keluarkan dan letakkan di atas pinggan, hati-hati sebab panas.
  5. Ambil pisau yang tajam bahagian hujung dan potong bahagian tengah foil, dan sedia dihidangkan.
  6. Nak lagi sedap, perahkan jus limau kasturi sebelum dimakan.