Saturday, April 29, 2017

Lunch 15.4.2017

Assalammualaikum,

Ini menu untuk lunch hari ni.


Kari Ikan Bawal Emas

Bahan-bahan:

1 ekor ikan bawal emas - dipotong 3
5 biji bendi - dipotong 2
2 tangkai daun kari
3 biji bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris mancis
2 sudu kecil halba campur
1 peket serbuk kari ikan + sedikit air
1/4 kotak santan
1/2 sudu kecil pes asam jawa
1/2 cawan air
Garam secukup rasa
3 sudu besar minyak masak

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Sementara itu, bancuh serbuk kari, air dan daun kari hingga menjadi pes. Ketepikan.
  2. Tumis halba campur, bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi dan sedikit perang.
  3. Masukkan pes kari dan tumis lagi hingga terbit minyak. Kacau selalu supaya tidak hangit.
  4. Setelah garing, masukkan air dan pes asam jawa. Kacau dan biarkan mendidih.
  5. Setelah mendidih, masukkan ikan, kacau perlahan dan renihkan.
  6. Masukkan pula bendi dan kacau perlahan. Setelah mendidih, masukkan santan dan garam. Rasa, setelah mendidih, tutup api.






Sambal Tumis Telur Rebus Goreng

Bahan-bahan:

4 biji telur - direbus (bubuh 1 sk garam) 8 - 10 minit
1/2 biji bawang besar - dihiris bulat
2 senduk cili kisar
1/2 sudu besar gula perang
2 sudu besar sos tiram
1/2 sudu kecil pes asam jawa
1 senduk minyak masak
Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Setelah merebus telur, rendamkan di dalam air biasa beberapa minit sebelum dikupas.
  2. Panaskan minyak. Goreng telur rebus hingga keperangan, angkat dan ketepikan.
  3. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis separuh bawang besar dan cili kisar hingga mendidih.
  4. Masukkan gula perang dan sos tiram. Tumis lagi hingga terbit minyak.
  5. Masukkan sedikit air, pes asam jawa dan baki bawang besar. Kacau rata.
  6. Setelah mendidih, masukkan garam dan kacau rata.
  7. Masukkan telur dan kacau rata. Tutup api.



Tauge Tumis Kicap

Bahan-bahan:

2 cawan tauge
1 pokok kucai - dipotong 4 cm
1 biji cili merah - dihiris serong
1 biji tauhu - dipotong kecil dan digoreng
Kicap cair, kicap manis, kicap pekat secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis
2 ulas bawang putih - dihiris
1 biji cili merah - dihiris

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga perang.
  2. Masukkan tauge, kucai dan cili merah. Tumis lagi kemudian masukkan kesemua kicap.
  3. Tumis sebentar. Akhir sekali masukkan tauhu goreng dan kacau rata. Tutup api.



Dinner 16.4.2017

Assalammualaikum,

Malam ni malas betul nak masak. Tapi terpaksa la masak juga, nanti diorang kat rumah ni nak makan apa pulak kan. Fikir-fikir masak mihun la, tapi bahan macam tak cukup tapi proceed je la.

Mihun Goreng Sempoi Je

Bahan-bahan:

1/2 peket mihun - direndam hingga lembut
2 biji telur
2 genggam tauge
Kicap cair, kicap manis dan Maggi Cukup Rasa
2 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos tiram
2 sudu sos cili

Bahan-bahan dikisar kasar:

3 sudu besar udang kering - dibasuh
2 ulas bawang putih
1 biji bawang merah
1 biji tomato

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Pecahkan telur dan kacau hingga masak. Angkat dan ketepikan. Kemudian, tumis bahan kisar hingga wangi dan sedikit garing.
  2. Masukkan cili kisar dan tumis lagi. Kemudian, masukkan sos tiram, sos cili, kicap cair, kicap manis dan perasa. Kacau rata dan masukkan sedikit air.
  3. Masukkan bihun dan tauge. Kacau rata. Goreng hingga mesra dan lembut. Jika perlu, tambah kicap lagi. Goreng sebentar, masukkan telur, kacau dan tutup api.



Thursday, April 20, 2017

My birthday

Assalammualaikum,

Hari ni birthday saya yang ke-38. Takde plan nak ke mana-mana pun, so saya masak je la untuk dinner.


Ikan Siakap Masam Manis

Bahan-bahan:

1 ekor ikan siakap – dikelar
Sedikit garam dan serbuk kunyit
Minyak untuk menggoreng
1/2 biji bawang Holland – didadu
2 ulas bawang putih – diketuk
3 senduk cili kisar (bawang besar + bawang putih + cili kering rebus)
2 sudu besar sos tiram
4 sudu besar sos cili Thai
5 biji cili padi – dipotong 2
Garam, Maggi Cukup Rasa dan sedikit air
Daun ketumbar yang diracik

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Lumur ikan dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng hingga garing. Angkat dan letakkan di dalam pinggan hidangan. Ketepikan.
  2. Keluarkan minyak, tinggalkan dalam 3/4 senduk sahaja. Tumis bawang Holland dan bawang putih hingga layu. Kemudian, masukkan pula cili kisar dan tumis hingga mendidih. Kemudian, masukkan sos tiram dan sos cili Thai. Tumis hingga terbit minyak.
  3. Masukkan air, garam dan perasa. Masak sehingga mendidih dan pekat.
  4. Rasa, jika ok, masukkan cili padi. Kacau dan tutup api.
  5. Tuangkan ke atas ikan dan taburkan daun ketumbar.






Telur Dadar ala Thai

Bahan-bahan:

2 biji telur
1/2 biji bawang Holland – didadu
1/2 biji cili merah – dihiris
1 sudu besar sos ikan
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak (agak banyak).
  2. Sementara itu, pukul telur hingga kembang dan berbuih.
  3. Masukkan bahan-bahan lain.
  4. Tuangkan dari aras yang tinggi sedikit tetapi berhati-hati. Kacau sedikit dengan garpu, perlahankan api dan masak hingga sedikit garing kemudian, terbalikkan.
  5. Setelah garing tutup api. Toskan minyaknya sebelum dihidangkan.







Brokoli Goreng

Bahan-bahan:

1 pokok kecil brokoli – dipotong florets
5 ekor udang – dibuang urat
1 sudu besar sos tiram
Sedikit air
Sedikit Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan ditumbuk:

2 biji cili padi
2 ulas bawang putih

Cara-cara:

  1. Panaskan 1 sudu besar minyak dan tumis bahan tumbuk hingga wangi.
  2. Masukkan brokoli dan tumis sebentar barulah masukkan 1/4 cawan air. Tumis dengan api sederhana besar kemudian masukkan udang dan sos tiram.
  3. Akhir sekali, masukkan perasa dan balik-balikkan hingga sayur sedikit lembut. Tutup api.



Dinner 11.4.2017

Assalammualaikum,

Masa pergi Mid Valley hari tu, sempat la beli ikan bawal emas 2 ekor (1 ekor = RM7.90), 2 ekor ikan siakap (RM7.90 seekor) dan sayur-sayur sikit.

So hari ni, masak pajeri terung kesukaan mak (mak dah ada kat sini, baru ambil dari rumah Yong Ahad hari tu). Dan untuk yang lain, saya masak ikan bawal emas masak lemak cili padi. Kami semua kecuali En K suka dengan ikan ni, tapi kalau beli di pasar malam, boleh tahan mahal. So bila-bila saya jumpa offer kat Giant ke, Aeon ke, selalunya dalam RM6-8 seekor sederhana, saya grab la.

Pajeri terung ni resepi turun-temurun mak saya. Mak saya pun cakap pajeri yang saya masak sedap dan kena ikut tekaknya. Tapi tau tak, sebenarnya saya tak suka langsung pajeri, pernah try tapi tak masuk dengan citarasa saya. So setiap kali masak, memang saya tak sentuh pun.

Tapi untuk resepi hari ni, memandangkan stok udang kering dah licin, saya gantikan dengan ikan bilis. Saya rasa ok je...


Pajeri Terung

Sumber: Mak

Bahan-bahan:

4 biji terung panjang (sederhana) – dibelah 2 tanpa putus
1 peket kecil serbuk kari daging Baba’s*
1 sudu besar kerisik*
2 tangkai daun kari*
Gula perang secukup rasa
Garam secukup rasa
1/2 sudu kecil pes asam jawa
1/2 kotak santan + sedikit air
1 senduk kecil minyak masak
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga

Satukan bahan bertanda * dengan sedikit air untuk dijadikan pes

Bahan-bahan ditumbuk halus:

1 inci halia – dipotong kecil
2 biji bawang merah – dipotong kecil
2 ulas bawang putih – dipotong kecil
1/2 genggam udang kering/ikan bilis

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga sebentar kemudian masukkan bahan tumbuk. Tumis hingga sedikit garing. Masukkan pes kari dan tumis lagi hingga terbit minyak. Masukkan gula perang dan tumis lagi.
  2. Setelah nampak garing, masukkan santan dan air. Kacau rata. Setelah mendidih, masukkan terung dan pes asam jawa. Renihkan.
  3. Setelah mendidih, masukkan garam secukup rasa. Kacau rata, renihkan sambil kacau sekali sekala hingga kuah semakin pekat dan terbit minyak. Rasa dan setelah kuah pekat tutup api.






Ikan Bawal Emas Masak Lemak Cili Padi

Bahan-bahan:

4 ketul ikan bawal emas
1 batang serai – diketuk
1 helai daun kunyit – diracik
1/2 kotak santan
1 keping asam keping
Sedikit air
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

12 biji cili padi hijau + merah
2 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
3 biji tomato ceri
2 inci kunyit
Sedikit air

Cara-cara:

  1. Tuangkan bahan kisar ke dalam periuk, tambah sedikit air, serai dan daun kunyit dan renihkan.
  2. Setelah mendidih, perlahankan api, masukkan santan dan kacau rata.
  3. Kemudian, masukkan pula ikan. Kacau selalu hingga berwap. Jangan biarkan mendidih terlalu lama nanti santan pecah.
  4. Masukkan garam dan asam keping. Masak sehingga ikan masak sepenuhnya. Rasa dan tutup api.


Dinner 6.4.2017

Assalammualaikum,

Masa jalan-jalan di Mid Valley hari tu, terjumpa brussel sprouts. Dah lama teringin nak rasa sebab tgk cooking show mat salleh selalu guna sayur ni. Tapi mmg agak pricey la, ambil 5 biji pon dah RM8+.

Resepi suka hati je.


Brussel Sprouts Goreng

Bahan-bahan:

3 biji brussel sprouts – dibelah 4
3 ulas bawang putih*
1 biji bawang merah*
3 biji cili padi*
Sedikit sos tiram dan Maggi Cukup Rasa
Sedikit air

Cara-cara:
  1. Tumbuk bahan-bahan bertanda * separa lumat.
  2. Panaskan 1 sudu besar minyak dan tumis bahan tumbuk hingga sedikit garing.
  3. Masukkan sos tiram, kacau dan masukkan sayur dan air.
  4. Tutup sebentar, setelah agak lembut, masukkan perasa. Kacau rata dan tutup api.



Bekal 4.4.2017

Assalammualaikum,

Ini bekal untuk breakfast.

Cheesy mushroom omelette dan mixed salad with some mayonnaise.



Bekal 3.4.2017

Assalammualaikum,

Sekarang konon-kononnya sedang try nak eat clean. So dah few days start consume brown rice. DUlu pernah juga try, tapi macam tak boleh masuk. Tapi kali ni try, ok pulak. Saya guna brand Somaly, beli packet kecik dulu, nak tgk ok ke tidak. Alhamdulillah, taste wise ok je, even other family members pon ok je boleh terima.

So untuk bekal hari ni, saya masak 1 cup brown rice + 2 cups water (ikut arahan kat peket). Tapi utk lunch, saya just ambil 1/2 portion, lagi 1/2 simpan dalam fridge utk mlm nanti/esok ke.

As for lauk, saya grill ikan dan topped dengan sambal cili padi kesukaan saya.

Salad pulak, saya beli pre-washed packet, ada 12 types of salad kat dalam. Harga dalam RM8.90 macam tu la, beli di Aeon. Pastu saya tambah cherry tomatoes dan kacang kuda dalam tin brand Yeos. Susah nak jumpa ni, setakat ni baru 2 kali jumpa. Satu di Econsave Damansara Damai dan satu lagi di Jaya Grocers di Mid Valley. Tempat lain saya try cari memang tak ada.

Alhamdulillah kenyang je makan simple macam ni pun. As a fact, brown rice memang akan buat kita rasa full untuk tempoh yang lama juga la.




Dinner 2.4.2017

Semalam try buat popia viral tu, Vietnamese Spring Rolls. Masa pegi Jaya Grocer Mid Valley hari Jumaat, terjumpa la rice paper tu. Sepeket harga RM5 macam tu la. So ingat nak try buat. So beli juga pre-washed mixed salad, daun ketumbar, kubis ungu. Ini resipi suka hati, kalau ikut resipi asal takde kubis ungu pun. Udang memang ada stock, beli kat Mersing last week.

Kebetulan pulak, Abg Din dan Kak Fida datang nak ambik stok bag Quechua yang En K jual. Alang-alang decide masak nasi goreng belacan resipi mak, spring rolls, kiddos pulak nak macaroni carbonara. Hmm, dalam malas-malas pun berjenis-jenis jugak rupanya.

En. K tolong buatkan Nescafe.

Ok, jom tengok resipi, kalau sudi nak ikut, boleh aje. Bab membalut popia ni memang style amatur la, sebab ini first time menggunakan rice paper. Nak susun udang cemana gaya pun asal boleh je la.

Ala-ala Vietnamese Spring Rolls



Bahan-bahan:

10 keping rice paper
Sedikit air suam
1 cawan udang sederhana – dibuang urat hitam
Secekak suhun – direndam sebentar
Sos cili Thai
Air untuk merebus + sedikit garam

Bahan-bahan salad:

Kubis ungu – dihiris halus
Mixed salad
1/4 batang lobak merah – dihiris mancis
1 pokok daun ketumbar – dihiris halus

Cara-cara:

  1. Rebus suhun hingga lembut kemudian toskan airnya. Ketepikan.
  2. Didihkan air bercampur garam. Kemudian, celur udang sekejap hingga bertukar warna kemudian angkat. Jangan buang air rebusan, boleh jadikan stok udang + kulitnya.
  3. Kupas udang, simpan kulitnya untuk kegunaan lain kali. Belah 2 setiap ekor udang.
  4. Sediakan sedikit air di dalam pinggan yang muat-muat rice paper.
  5. Sediakan juga bahan-bahan lain.
  6. Ambil sekeping rice paper, celupkan ke dalam air sekejap sahaja kemudian letakkan di atas pinggan lain.
  7. Susun lobak, kubis, salad dan suhun. Gulungkan sekali, kemudian susun pula 3 keping udang. Gulung seperti popia. Buat sehingga habis.
  8. Hidangkan bersama sos cili Thai.


Nasi Goreng Belacan Style Mak

Bahan-bahan:

4 biji bawang merah
8 biji cili padi (sepatutnya cili merah 2 biji)
1 ketul kecil belacan bakar
1/2 genggam ikan bilis
2 biji telur
Garam + Maggi Cukup Rasa (saya tambah) secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis
2 1/2 cawan nasi putih
5 batang kacang buncis – dihiris nipis dan serong (saya tambah)

Cara-cara:
  1. Tumbuk bawang merah, cili padi, belacan dan ikan bilis hingga separa lumat.
  2. Panaskan minyak. Tumis bahan tumbuk hingga wangi dan terbit minyak. Masukkan kacang buncis dan tumis lagi.
  3. Masukkan garam dan perasa, kacau rata kemudian masukkan nasi. Gaul rata, rasa.
  4. Buat lubang di bahagian tengah, masukkan telur. Biarkan sebentar supaya mengeras sedikit kemudian kacau sedikit-sedikit supaya telur tidak hancur (jadi berketul-ketul). Masak lagi beberapa minit kemudian tutup api.