Wednesday, October 22, 2014

Dinner ~ 1.10.2014

Kari Ikan Sembilang (Tanpa Santan)

Sumber: mrskojiwami



Bahan-bahan:
1 ekor ikan sembilang - dipotong 4, kepala dibelah 2
1 peket Rempah Kari Kampung Langgar (beli di Kelantan)
1/2 peket Rempah Kari Ikan Babas
1 sudu besar serbuk paprika
2 tangkai daun kari - ambil daunnya sahaja
2 sudu kecil halba campur
4 biji bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris halus
1/4 cawan air asam jawa pekat
1 cawan air
2 biji cili solok hijau - dibelah 2 tanpa putus
4 sudu besar minyak

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Sementara itu, bancuh serbuk kari, serbuk paprika dan daun kari dengan sedikit air untuk dijadikan pes. Ketepikan.
  2. Tumis halba campur sebentar, kemudian masukkan bawang merah, bawang putih dan halia. Tumis lagi hingga layu dan kekuningan.
  3. Kemudian, masukkan pes kari dan tumis di atas api kecil selalu hingga terbit minyak. Jangan biarkan hangit, jika tidak kari akan menjadi pahit.
  4. Setelah terbit minyak, masukkan air, kacau dan masukkan ikan. Buka api sederhana, tutup periuk sambil dikacau perlahan sekali-sekala untuk mengelakkan isi ikan hancur.
  5. Setelah mendidih dan kelihatan pekat, masukkan air asam jawa, garam dan cili solok. Kacau hingga mendidih dan tutup api.


Ikan Bilis Goreng Berapi

Sumber: mrskojiwami



Bahan-bahan:
1 1/2 cawan ikan bilis mata biru yang dikupas - dibasuh bersih dan ditoskan
2 keping lobak putih jeruk - direndam sebentar di dalam air panas, ditoskan
1 biji kentang - dihiris nipis
Minyak untuk menggoreng
1 sudu besar Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar kering:
1 biji bawang besar - dipotong kecil
5 ulas bawang putih - dipotong kecil
20 biji cili padi

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak, goreng kentang hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  2. Goreng pula lobak putih jeruk hingga kelihatan garing. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  3. Goreng pula ikan bilis hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  4. Tinggal dalam 2 sudu besar minyak di dalam kuali. Tumis bahan kisar hingga terbit minyak dan masukkan Maggi Cukup Rasa. Tumis lagi hingga kelihatan garing.
  5. Perlahankan api, masukkan ikan bilis, kentang dan lobak putih jeruk. Gaul rata dan tutup api. Angkat, toskan minyak dan biarkan sejuk sepenuhnya sebelum disimpan.
  6. Simpan di dalam bekas kedap udara.



Sambal Tumis Telur Rebus

Sumber: mrskojiwami



Bahan-bahan:
4 biji telur - direbus dengan sedikit garam dan soda bikarbonat, sejukkan di dalam air biasa sebelum dikupas
1 sudu kecil gula perang
1 sudu besar sos tiram
1 keping asam gelugur
1/4 cawan air
Garam secukup rasa
1/4 cawan minyak masak

Bahan-bahan dikisar halus:
1 cawan cili kisar yang sudah direbus dan dibuang bijinya
1 biji bawang besar - dipotong kecil
3 ulas bawang putih - dipotong kecil
Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga mendidih. Masukkan gula perang dan sos tiram. Tumis hingga terbit minyak dan nampak garing.
  2. Masukkan air, asam gelugur dan garam, kacau rata dan biarkan mendidih.
  3. Masukkan telur yang dikupas dan kacau perlahan-lahan selama 3-4 minit dan tutup api.

No comments: