Showing posts with label Beef Tripe. Show all posts
Showing posts with label Beef Tripe. Show all posts

Sunday, May 6, 2018

Menu 5 Mei 2018



Kerabu Perut dan Pucuk Paku

Bahan-bahan:

300 gm perut lembu – direbus hingga lembut dan dihiris
1/2 ikat pucuk paku – ambil daunnya sahaja dan dibasuh bersih
1/2 biji bawang besar – dihiris nipis
1/2 kuntum bunga kantan – dihiris nipis
Sedikit daun ketumbar – dihiris halus (jika suka)
2 sudu besar kerisik
1/2 sudu besar gula nisan kuning / gula biasa secukup rasa
Garam secukup rasa
Jus limau nipis secukup rasa

Bahan-bahan dikisar kering:

3 biji bawang merah – dipotong
1 biji cili merah – dipotong
3 biji cili padi hijau – dipotong
1/2 inci halia – dipotong
1 batang serai – dipotong
1 inci belacan – dibakar

Cara-cara:

  1. Panaskan periuk berisi air (3/4 penuh). Setelah mendidih, masukkan pucuk paku dan celur lebih kurang 3 – 4 minit atau sehingga lembut. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  2. Dalam mangkuk besar, satukan kerisik, gula, garam, jus limau nipis dan bahan kisar. Kacau rata hingga sebati.
  3. Masukkan perut dan kacau rata diikuti dengan pucuk paku. Kacau rata.
  4. Masukkan bawang besar, daun ketumbar dan bunga kantan. Kacau rata.
  5. Hidangkan segera.


Ikan Cencaru Goreng Sambal Cili Padi

Bahan-bahan:

3 ekor ikan cencaru jenis kecil – disiang dan dibersihkan
Sedikit serbuk kunyit dan garam
Minyak untuk menggoreng
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar kering:

15 biji cili padi hijau
5 biji cili padi merah
1 biji bawang Holland – dipotong
5 ulas bawang putih – dipotong

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan goreng ikan hingga garing. Angkat dan letakkan di dalam pinggan hidangan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 5 sudu besar sahaja.
  3. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Masukkan garam dan MCR secukup rasa. Setelah agak garing, tutup api.
  4. Tuangkan (skim minyak) ke atas ikan.


Gulai Lemak Cili Padi Perut dan Pucuk Paku

Bahan-bahan:

200 gm perut lembu yang sudah direbus - dihiris sedikit nipis
1/2 ikat pucuk paku – ambil daunnya sahaja dan dibasuh bersih
1/2 biji hirisan bawang besar
1 batang serai – diketuk
1/2 helai daun kunyit – diracik
1/2 kotak santan
1/4 cawan air
1 keping asam gelugur
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

10 biji cili padi hijau dan merah – dipotong
3 biji bawang merah – dipotong
2 inci kunyit – dipotong
Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan air, bahan kisar, serai, daun kunyit, asam gelugur dan perut hingga mendidih.
  2. Masukkan santan, bawang besar, pucuk paku, garam dan MCR. Masak hingga mendidih sambil dikacau selalu untuk elakkan santan pecah minyak.
  3. Sesuaikan rasa dan tutup api.

Tempe dan Ikan Bilis Goreng Cili Padi

Bahan-bahan:

1 bungkus tempe daun pisang – dihiris nipis
Segenggam ikan bilis mata biru – dibasuh dan ditoskan
Minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan kisar sama seperti resipi ikan di atas.

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan goreng tempe hingga garing, angkat dan ketepikan.
  2. Goreng ikan bilis pula hingga garing. Angkat dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak dan tinggalkan sedikit sahaja. Tumis bahan kisar hingga garing, dan masukkan tempe dan ikan bilis.
  4. Sesuaikan rasa dengan garam dan MCR.

Friday, May 4, 2018

Menu 4 Mei 2018

Rendang Kacang Panjang dan Perut Versi Tak Pedas


Bahan-bahan:

1/2 kg perut lembu (warna putih seperti towel) - direbus hingga mendidih dan ditoskan
4 urat kacang panjang - dipotong serong 4 cm panjang
2 tangkai cili hijau - dihiris serong
2 inci halia - dihiris batang mancis
1/2 helai daun kunyit - diracik
1 batang serai - diketuk
3/4 kotak santan KARA
2 sudu teh serbuk kunyit
Air secukupnya
1 keping asam gelugur
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa

*Kalau suka versi pedas, boleh tambah 10 biji cili padi hijau yang ditumbuk halus

Cara-cara:

  1. Hiris perut sedikit tebal lebih kurang 3 inci panjang.
  2. Masukkan kesemua bahan kecuali garam dan MCR ke dalam kuali dan panaskan, kuantiti air agak-agak hingga menutupi kesemua bahan.
  3. Renihkan sambil dikacau sekali-sekala. Setelah mendidih, masukkan garam dan MCR secukup rasa.
  4. Masak sehingga kuahnya pekat (bukan kering) dan tutup api.




Sambal Belacan Versi mrskojiwami


Bahan-bahan:

3 biji cili merah - dipotong kecil
15 biji cili padi hijau
5 biji cili padi merah
3 inci belacan - dibakar
1/2 sudu besar gula nisan kuning / gula perang
1 sudu besar sos ikan
Air suam mencukupi
1 sudu besar pes asam jawa Adabi
Garam jika kurang masin

Cara-cara:

  1. Masukkan kesemua bahan ke dalam blender dan tekan button pulse, supaya hasil kisaran tidak terlalu hancur/halus, biar kasar-kasar sedikit. Simpan di dalam balang kaca yang bersih dan kering.
  2. Simpan di dalam fridge sehingga digunakan. Guna sudu kering untuk mencedok.


Ikan Senangin Masak Ala Kengsom @ Asam Pedas Thai



Bahan-bahan:

1 ekor (1 kg) ikan senangin - dipotong 4
1/2 biji nanas madu - disiang, dipotong setebal 3 inci
5 biji bendi*
Segenggam daun kesum
1 sudu besar pes asam jawa Adabi
1/2 sudu besar gula nisan kuning
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
Air secukupnya

Bahan-bahan dikisar halus:

2 biji cili merah - dipotong kecil
5 biji cili padi merah
5 biji cili padi hijau
1 inci halia
1 biji bawang besar - dipotong
1 inci kunyit
1 batang serai - dipotong kecil
3 biji tomato ceri - dibelah 2 (saya tambah)
1 inci belacan
Air secukupnya

*Resipi asal menggunakan kangkung

Cara-cara:

  1. Masukkan air dan bahan kisar ke dalam periuk dan panaskan.
  2. Setelah mendidih, masukkan asam jawa, gula nisan, daun kesum, nanas madu, garam dan MCR. Renihkan.
  3. Kemudian, masukkan ikan dan bendi. Masak hingga bendi lembut dan ikan masak.
  4. Tutup api dan sedia dihidangkan.

Thursday, April 19, 2018

Menu 11 April 2018

Breakfast


Mihun Goreng Simple

Bahan-bahan:

1/2 peket mihun - direndam dalam air suam 20 minit (hingga lembut), ditoskan
1 pokok daun ketumbar - dicincang kasar
2 biji telur
2 sudu besar cili kisar
Sos cili, garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya
Minyak untuk menumis (lebih kurang 4 sudu besar)
Air (untuk melembutkan mihun)

Bahan-bahan dikisar kering/ditumbuk kasar:

Segenggam udang kering - direndam hingga lembut dan ditoskan
5 ulas bawang putih

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar di atas api sederhana hingga garing.
  2. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan sos cili, garam, MCR dan kacau rata hingga mendidih.
  4. Masukkan mihun dan kacau rata. Tambahkan sedikit air dan kacau rata hingga mihun lembut dan bersalut rata. Sesuaikan rasa.
  5. Pecahkan telur dan biarkan sedikit keras barulah dihancurkan (scramble). Kemudian, gaul sekali bersama mihun.
  6. Akhir sekali, taburkan daun ketumbar dan gaul rata. Goreng mihun hingga agak kering dan tutup api.




Lunch


Rendang Perut dan Kacang Panjang (Versi Tak Pedas)

Bahan:-bahan:

500 gm perut lembu (putih) - direbus hingga empuk dan ditoskan
5 urat kacang panjang - dipotong serong 4 cm
3 biji cili hijau - dihiris serong
1/2 biji bawang besar / 2 biji bawang merah - dihiris nipis
1 sudu teh halia kisar
3/4 kotak santan KARA
1/4 cawan air
1 sudu teh serbuk kunyit
1 keping asam gelugur
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Jika suka pedas, tambah 10 biji cili padi hijau yang dikisar

Cara-cara:

  1. Potong perut lembu ikut suka dan bilas dengan air. Toskan.
  2. Di dalam kuali, satukan kesemua bahan dan panaskan di atas api kecil. Kacau hingga masak dan empuk serta kuah sedikit kering.



Sotong dan Udang Masak Lada Hitam

Bahan-bahan:

8 ekor sotong - dibuang kulit dan dihiris bulat
8 ekor udang putih - dibuang muncung
3 ulas bawang putih - diketuk dan dicincang kasar
1/2 biji bawang Holland - dihiris kasar (wedges)
1 biji cili hijau - dihiris serong (kasar)
3 biji cili padi merah - dipotong 2 serong
1/4 biji lada benggala kuning - dihiris memanjang (kasar)
3 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos lada hitam
Sedikit kicap (untuk warna)
Sedikit air
Garam dan Maggi Cukup Rasa
3 sudu besar minyak

Cara-cara:
  1. Panaskan non-stick wok dan masukkan sotong. Kacau rata untuk mengeluarkan airnya. Setelah berubah warna dan nampak pejal, keluarkan sotong dan buang airnya.
  2. Cuci wok dan panaskan semula. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga perang dan harum.
  3. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan sos tiram, sos lada hitam, kicap, bawang Holland, cili hijau, cili padi merah dan lada benggala. Kacau sebentar di atas api kuat kemudian masukkan sotong dan udang. Kacau rata, tambah air jika perlu.
  5. Masukkan garam dan MCR, sesuaikan rasa dan kacau rata. Tutup api setelah udang masak.