Hari ni pun sama, tak keluar pergi mana-mana. Memang melepak kat rumah je. So kat bawah ni adalah menu untuk hari Ahad....
Kubis Goreng
Bahan-bahan:
1/4 biji kubis – dihiris nipis
1/2 biji cili merah – dihiris serong
3 ulas bawang putih – dicincang kasar
2 biji bawang merah – dihiris
Sedikit ikan bilis yang dikopek – dibasuh
2 sudu besar kicap cair
1 sudu besar minyak
Sedikit air
Cara-cara:
- Panaskan minyak. Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.
- Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi.
- Masukkan kubis dan sedikit air. Goreng lagi hingga kubis lembut. Masukkan pula kicap cair dan cili merah dan kacau rata.
- Akhir sekali, masukkan ikan bilis dan kacau rata. Tutup api.
Ikan Siakap Masak Kicap
Bahan-bahan:
1/2 ekor ikan siakap – dikelar
Sedikit serbuk kunyit dan garam
Minyak untuk menggoreng
Bahan-bahan lain:
1 inci halia – dihiris mancis
1 biji bawang besar – dihiris bulat, dibahagi 2
3 ulas bawang putih – dicincang kasar
3 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap ABC
Sedikit air dan garam secukup rasa
3 biji cili padi merah – dibelah 2 tanpa putus
Daun ketumbar yang diracik
Cara-cara:
- Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ikan dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng hingga garing, angkat dan letakkan ke dalam pinggan hidangan.
- Keluarkan minyak hingga tinggal dalam 1 senduk kecil sahaja. Tumis bawang putih, halia dan separuh bawang besar hingga wangi.
- Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
- Masukkan sos tiram, kicap ABC dan air (agak-agak nak kuah banyak mana).
- Setelah mendidih, masukkan cili padi, bawang besar dan garam. Masak sehingga kuah sedikit pekat. Tutup api.
- Tuangkan kuah ke atas ikan dan taburkan daun ketumbar.
Tomyam Ayam
Bahan-bahan:
3 ketul leher ayam – dipotong kecil
6 ketul kaki ayam – dipotong 2
Sedikit bahagian ayam yang lain
4 ulas bawang putih – diketuk
1 akar ketumbar – dibersihkan
5 biji cili padi merah – dipotong 2
2 inci lengkuas – dihiris
1/2 biji bawang Holland – dihiris bulat
4 sudu besar (atau lebih) pes tomyam
1/4 cawan susu cair
Sos ikan secukup rasa
Air untuk merebus
Daun ketumbar yang diracik
Cara-cara:
- Masukkan ayam, lengkuas, bawang putih, akar ketumbar dan air ke dalam periuk. Rebus hingga empuk (lebih kurang 45 minit).
- Masukkan pes tomyam, sos ikan, cili padi dan bawang Holland. Besarkan api sedikit. Setelah mendidih, rasa.
- Setelah ok, tutup api dan taburkan daun ketumbar sebelum menghidang.
No comments:
Post a Comment