Friday, June 16, 2017

5 Ramadan ~ 31.5.2017

Assalammualaikum,

Karipap pusing tak jadi pusing jugak. Kena try lagi ni tapi tak tau la bila kan. Hari bekerja so menu pun asal sempat je la. Sampai rumah pun dah pukul 6 p.m.

Jom tengok resipi.



Karipap Daging dan Kentang (resepi ada di post sebelumnya)


Asam Pedas Ikan Bawal Emas

Asam Pedas Ikan Bawal Emas

Bahan-bahan:

1 ekor ikan bawal emas sederhana besar – dipotong 3
1 batang serai – diketuk
1/2 kuntum bunga kantan – dibelah 2
5 tangkai daun kesum – ambil daun sahaja
5 biji bendi – dipotong 2
5 biji tomato ceri
2 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil halba
3 sudu besar pes asam jawa
Air secukupnya
Garam secukup rasa
1/2 cawan minyak

Bahan-bahan dikisar halus:

1 cawan cili kering yang sudah direbus
5 biji bawang kecil – dipotong
3 ulas bawang putih – dipotong
1 batang serai – dipotong
1 inci kunyit – dipotong
1 inci halia – dipotong
1 inci belacan – dibakar sedikit
Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis halba sebentar diikuti dengan serai. Setelah harum, masukkan bahan kisar dan lada hitam dan tumis hingga pecah minyak. Keluarkan lebihan minyak jika perlu.
  2. Masukkan air dan pes asam jawa. Kacau rata dan biarkan mendidih.
  3. Setelah mendidih, masukkan ikan, bunga kantan, daun kesum, bendi dan tomato ceri. Kacau perlahan, masukkan garam.
  4. Setelah mendidih dan ikan masak, tutup api.


Thursday, June 15, 2017

2 Ramadan ~ 28.5.2017

Assalammualaikum,

Hari ni terlebih rajin. Minggu lepas ada buat karipap pusing (tapi tak jadi pusing), ada la balance inti. So hari ni gagah nak try sekali lagi buat. Masa belum masak, nampak juga pusingnya, dah masak, hampeh hahah... takpe practice makes perfect. Nasib rasa tetap sedap huhu. Seriously tak ingat resipi siapa, tapi ada campur-campur from various sources la.

Mak pun dah banyak kali bagi hint nasi ketumbar, so hari ni buat la walaupun malas betul rasa nak buat nasi berperisa ni. Renyah kan.... banyak keje. Lauk dia pulak lawankan dengan ayam masak cili padi untuk saya yang suka pedas dan ayam percik untuk yang lain. Kuih pulak sempat la buat buah Melaka. Seharian kat dapur hari ni!

Ok, jom tengok resipi.





Karipap Pusing

Bahan-bahan kulit karipap 1:

1 cawan tepung gandum Cap Bunga Ros
2 sudu besar marjerin Daisy
2 sudu besar lemak sayuran (vegetable shortening)


Bahan-bahan kulit karipap 2:

1 cawan tepung gandum Cap Bunga Ros
1/2 cawan minyak masak – dipanaskan
Air berais + sedikit garam secukupnya

Cara-cara:

  1. Untuk kulit karipap 1, gaulkan kesemua bahan hingga menjadi doh. Bulatkan dan bahagi kepada 6 bahagian yang sama besar. Ketepikan.
  2. Untuk kulit karipap 2, masukkan tepung di dalam bekas, buatkan lubang di bahagian tengah dan tuangkan minyak panas. Gunakan senduk kayu untuk mengacau adunan. Agak-agak dah sejuk sikit, gunakan hujung jari dan ramas adunan menjadi seperti serbuk roti.
  3. Tuangkan air ais sedikit-sedikit hingga mendapat doh yang boleh diuli. Bahagikan kepada 6 bahagian dan bulat-bulatkan.
  4. Leperkan kulit karipap 2 dan letakkan 1 biji doh karipap 1 di bahagian tengah dan balut dan bulatkan.
  5. Kemudian, gelek dan gulung. Gelek dan gulung sekali lagi barulah dipotong kepada beberapa bahagian. Masa ni dah nampak corak pusing.
  6. Ambil seketul dan gelek. Isikan inti dan kelim. Buat sehingga habis.
  7. Untuk frozenkan, goreng 1/2 masak dan toskan minyaknya. Simpan di dalam bekas yang sesuai.
  8. Untuk menggoreng, panaskan minyak di atas api sederhana. Pastikan minyak betul-betul panas barulah goreng karipap. Balik-balikkan hingga keperangan. Angkat dan toskan minyaknya.

P.S.: Walaupun buat kali kedua, karipap pusing saya masih tak berapa menjadi pusingnya. Mak saya kata, lain kali simpan doh sekejap dalam fridge baru gelek dan klim. Ok nanti saya try.




Buah Melaka

Bahan-bahan:

1 biji kelapa parut bahagian putih sahaja
Secubit garam halus
1 1/2 cawan tepung pulut
Air secukupnya
1 sudu kecil pes pandan
1/2 sudu kecil pewarna hijau
Gula Melaka – dipotong kiub
Air untuk merebus
1 helai daun pandan – disimpul

Cara-cara:

  1. Gaulkan kelapa parut dengan garam dan ketepikan.
  2. Panaskan air rebusan dan masukkan daun pandan. Biarkan mendidih.
  3. Di dalam bekas yang sesuai, masukkan tepung, pes pandan dan air (agak-agak). Uli sebentar dan masukkan pewarna hijau. Tambah air jika perlu. Uli sehingga lembut dan boleh dibentuk.
  4. Ambil sedikit doh, bulat-bulatkan dan tekan bahagian tengah supaya sedikit leper.
  5. Masukkan sebiji kiub gula Melaka dan balut dan bulat-bulatkan. Buat dalam 10 biji dan masukkan ke dalam air rebusan.
  6. Kuih akan masak apabila timbul di permukaan air rebusan. Angkat, toskan airnya dan golekkan dalam kelapa parut.
  7. Susun di dalam pinggan hidangan. Ulang sehingga habis.




Ayam Masak Cili Padi

Bahan-bahan:

8 ketul ayam
1 keping asam keping
2 sudu besar sos tiram
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa
1/2 cawan minyak

Bahan-bahan dikisar halus:

6 biji bawang putih
1/2 biji bawang besar
1 inci kunyit
20 biji cili padi merah dan hijau
Air

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar dan sos tiram hingga pecah minyak.
  2. Masukkan ayam dan asam keping. Perlahankan api dan renih hingga ayam kecut.
  3. Masukkan 1/2 cawan air, garam dan Maggi Cukup Rasa.
  4. Kacau sekali-sekala hingga masak dan kuah sedikit pekat.
  5. Angkat dan hidangkan.




Ayam Percik

Sumber: www.maggi.com.my

Olahan: mrskojiwami

Bahan:

10 ketul ayam

Bahan-bahan dikisar halus:

2 biji bawang besar
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 inci halia
3 batang serai – dipotong
1/2 cawan cili kisar
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar biji ketumbar
2 sudu besar Maggi Cukup Rasa
1/2 kotak santan
1/2 cawan air
1/2 sudu besar pes asam jawa
1 sudu kecil gula
Garam secukup rasa (jika perlu)

Cara-cara:

  1. Perap ayam dengan bahan kisar selama 4 jam.
  2. Panaskan oven pada suhu 200°C.
  3. Lapik dulang pembakar dengan foil dan letakkan ayam yang diperap. Kemudian, tutup dengan sekeping lagi foil.
  4. Naikkan suhu oven kepada 250°C dan bakar selama 1 jam atau sehingga masak. Selepas 1/2 jam pertama, buka foil bahagian atas dan biarkan ayam masak.
  5. Sementara itu, panaskan baki perapan di dalam periuk kecil hingga pekat.
  6. Sudukan ke atas ayam sementara dipanggang. Ini akan menyebabkan bahagian atas ayam sedikit garing.
  7. Setelah masak, keluarkan dan hidangkan.




Nasi Ketumbar

Sumber: ctdelima.net

Olahan: mrskojiwami

Bahan-bahan:

5 cawan beras basmathi – dibasuh bersih
2 sudu besar mentega
2 sudu besar minyak masak
5 ulas bawang putih – dicincang
1/2 biji bawang Holland – dipotong dadu
1 batang serai – diketuk
Sedikit pewarna hijau
Garam dan Maggi Cukup Rasa
5 cawan air
1/4 cawan susu cair

Bahan dikisar halus:

3 pokok daun ketumbar + akar

Cara-cara:

  1. Panaskan rice cooker, masukkan mentega dan minyak. Setelah panas, tumis bawang putih, bawang Holland dan serai hingga harum dan sedikit garing.
  2. Masukkan kisaran daun ketumbar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan beras dan kacau rata. Biarkan sebentar barulah masukkan air dan susu cair. Kacau rata, masukkan Maggi Cukup Rasa dan garam dan masak nasi seperti biasa.
  4. Setelah masak, titiskan pewarna hijau secara random dan gunakan garpu untuk lerai-leraikan nasi. Tutup semula dan biarkan di dalam periuk nasi selama 5 minit sebelum dihidangkan.





Wednesday, June 14, 2017

Berbuka puasa hari pertama 27.5.2017

Assalammualaikum,

Alhamdulillah berjaya mengharungi hari pertama berpuasa Ramadan tahun ni. Since it was a Saturday, dapat la masak proper sikit. Ikan siakap tu dah seminggu lebih bertapa dalam icebox. En. K pulak masa beli tak minta potong terus, bawak balik sekor besar memang tak muat tupperware. So awal-awal lagi dah keluarkan untuk defrost, pastu potong dua. Sebab dalam rumah ni ada yang tak minat steamed fish yakni En. K. So memang buat 2 jenis masakan. Separuh buat sweet and sour, separuh lagi steam.

Jom la tengok resipi.


Ikan Siakap Masak Sos

Bahan-bahan:

1/2 ekor ikan siakap (besar) – dikelar
Serbuk kunyit, Maggi Cukup Rasa, garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan sos:

1 helai daun pandan – disimpul
3 ulas bawang putih – dicincang
1/2 biji bawang Holland – dipotong dadu
2 inci halia – dihiris mancis
10 biji cili padi – dihiris
1 batang serai bahagian putih sahaja – dihiris nipis
1/2 kuntum bunga kantan – dihiris halus
1 batang akar ketumbar
1 senduk cili kisar
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan
Sedikit Maggi Cukup Rasa
Air secukupnya

Hiasan:

Daun ketumbar yang dipotong

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak yang banyak. Sementara itu, lumur ikan dengan serbuk kunyit, Maggi Cukup Rasa dan garam rata-rata. Goreng hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya. Letakkan di dalam pinggan hidangan. Ketepikan.
  2. Untuk membuat sos, keluarkan minyak gorengan ikan dalam 1 senduk kecil. Tumis daun pandan hingga wangi dan masukkan bawang putih, bawang Holland, cili padi, serai dan bunga kantan. Tumis hingga layu dan sedikit garing.
  3. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak. Masukkan sos tiram dan sos cili dan tumis lagi hingga mendidih.
  4. Masukkan air (terpulang hendak banyak kuah atau sedikit sahaja) dan akar ketumbar. Kacau dan setelah mendidih, masukkan sos ikan dan Maggi Cukup Rasa. Kacau hingga kuah agak pekat dan tutup api.
  5. Sendukkan sos ke atas ikan goreng tadi dan tabur daun ketumbar. Sedia dihidangkan.


Ikan Siakap Kukus Limau

Bahan-bahan:

1/2 ekor ikan siakap (besar)
Sedikit Maggi Cukup Rasa
2 ulas bawang putih – dicincang
10 biji cili padi – dihiris
3 inci halia – dihiris mancis
1 senduk sos ikan
5 biji limau nipis – ambil jusnya
1/4 cawan air
1 batang akar ketumbar
1 pokok daun ketumbar – diracik kasar

Cara-cara:
  1. Sediakan pengukus. Panaskan air dalam pengukus.
  2. Lumur ikan dengan Maggi Cukup Rasa dan letakkan dalam pinggan pengukus. Taburkan bawang putih, cili padi, halia, akar ketumbar dan separuh daun ketumbar.
  3. Tuangkan sos ikan, jus limau nipis dan air.
  4. Setelah air kukusan mendidih, letakkan pinggan berisi ikan dan tutup. Kuatkan api dan kukus ikan selama 15 minit atau sehingga masak (jangan overcook).


Terung Goreng Belacan

Bahan-bahan:

1/2 biji terung ungu besar – dipotong ikut suka
Sedikit minyak untuk menumis
Maggi Cukup Rasa
1 sudu besar sos tiram
Sedikit air

Bahan-bahan ditumbuk kasar:

1/4 cawan udang kering – direndam
3 ulas bawang putih
1 biji bawang merah
5 biji cili padi
1/4 inci belacan

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis bahan tumbuk hingga sedikit garing.
  2. Masukkan terung dan tumis sebentar. Masukkan air dan kacau hingga terung separuh lembut.
  3. Masukkan sos tiram dan perasa. Masak sehingga terung betul-betul empuk dan tutup api.

Tuesday, June 13, 2017

Sahur hari pertama 27.5.2017

Assalammualaikum,

Hari ni hari pertama menyambut Ramadan 2017. Since jatuh pada hari Sabtu, makanya masak la beria sikit. Jom la tengok resipi.

Sambal Tumis Ikan Bilis

Bahan-bahan:

2 genggam ikan bilis yang dikopek – dibasuh bersih
1 biji bawang besar – dihiris kasar
1 cawan cili kisar (cili kering + bawang besar + bawang putih)
1 keping asam keping
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar gula Melaka
Sedikit air
Garam secukup rasa
1/2 cawan minyak

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis separuh bawang besar hingga layu.
  3. Masukkan cili kisar dan tumis hingga mendidih kemudian masukkan gula Melaka dan sos tiram. Kacau rata di atas api perlahan dan tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan sedikit air, garam dan asam keping. Masak sehingga mendidih, rasa, jika ok, masukkan ikan bilis goreng dan kacau rata. Tutup api.




Puyuh Goreng Kunyit

Bahan-bahan:

5 ekor puyuh – dipotong 4
Garam, Maggi Cukup Rasa dan serbuk kunyit
Minyak untuk menggoreng
1 biji bawang Holland – dihiris kasar
3 biji cili padi merah – dipotong 2
2 ulas bawang putih – diketuk

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Gaul puyuh dengan garam, cukup rasa dan serbuk kunyit. Goreng hingga garing.
  2. Masukkan bahan lain dan tumis hingga layu.
  3. Toskan minyak dan hidangkan.

Preparation untuk potluck

Assalammualaikum,

Malam ni tak masak sebab nak prepare masak untuk potluck kat office esok. Ramai yang minta saya bawa sambal tumis ikan bilis. Saya juga akan bawa pulut kuning tanak sebab nak kukus tak sempat pulak kan. Selain tu, saya nak bawa butter cake dan nak try fudgy brownies. Kari ayam pun saya buat. Buat lebih sikit sebab nak bagi taska sikit. Nak buat banyak2 tak larat pulak... potluck ni sempena nak menyambut bulan Ramadan yang akan start Sabtu ni.

Ikut perancangan, Sherry akan bawa lontong dan serunding daging. Wawa bawa kek coklat moist dan soda gembira. Sarah akan bawa bubur caca dan nasi impit. Ernie bawa bihun goreng dan air. So cukup la tu.

Kali ni buat butter cake tak tau apa yang silap sebab ada lubang-lubang pulak, tapi sedap je rasanya.

Ok la, jom la tengok resipi.

Butter Cake

Sumber: http://www.taste.com.au/recipes/marble-cake-3/cf90b1a7-2d42-4932-9b14-1ad85c526341

Bahan-bahan:

185 g pure butter – dilembutkan
1 sudu teh esen vanila
1 cawan gula kastor
3 biji telur – dipukul sedikit
2 cawan tepung naik sendiri – diayak
2/3 cawan buttermilk (buat sendiri 2/3 cawan susu + 1 sudu teh cuka putih)

Cara-cara:
  1. Panaskan oven pada suhu 180°C. Gris acuan yang sesuai, saya guna 8 inci aluminium foil. Ketepikan.
  2. Dengan menggunakan mixer, pukul butter, vanila dan gula hingga ringan dan gebu. Masukkan telur secara berperingkat, setiap kali pukul rata.
  3. Masukkan tepung dan buttermilk berselang-seli (mulakan dengan tepung dan akhiri dengan tepung) dan pukul rata.
  4. Tuangkan adunan ke dalam acuan dan hentakkan sedikit supaya rata bahagian atasnya.
  5. Bakar selama 1 jam 10 minit atau sehingga masak. Uji dengan lidi yang dicucuk ke bahagian tengah kek, sekiranya tiada adunan yang lekat maknanya kek sudah masak.
  6. Biarkan seketika di dalam acuan (5 minit), kemudian keluarkan kek.
  7. Letakkan di atas redai untuk sejuk. Kemudian, potong dan simpan di dalam bekas kedap udara.




Fudgy Brownies

Sumber: http://www.laurainthekitchen.com/recipes/fudgy-brownies/

Bahan-bahan:
5 auns unsalted butter – suhu bilik
7 auns dark chocolate – dicairkan secara double-boiling
1 cawan gula
2 sudu teh esen vanila
1/4 sudu teh garam halus
1 sudu besar serbuk koko
2 biji telur gred A
2 sudu besar air suam
1 sudu teh serbuk Nescafe
2/3 cawan tepung gandum

Cara-cara:

  1. Panaskan oven pada suhu 350°C. Gris acuan 8 x 8 inci segi empat dengan sedikit butter dan lapikkan dengan baking paper. Ketepikan.
  2. Di dalam cawan, campurkan air suam dan serbuk Nescafe. Ketepikan.
  3. Di dalam mangkuk yang besar, pukul menggunakan whisk gula dan mentega hingga gebu. Masukkan telur, esen vanila dan campuran Nescafe. Pukul hingga sebati.
  4. Masukkan coklat yang dicairkan dan pukul lagi. Kemudian, masukkan bahan kering dan campurkan kesemua bahan hingga rata tetapi jangan over mix.
  5. Tuangkan adunan ke dalam acuan dan ratakan. Bakar selama 40 – 45 minit, uji dengan lidi untuk memastikan kek lembab tapi tidak basah.
  6. Biarkan sejuk di dalam acuan selama 5 minit sebelum dialihkan ke redai untuk sejuk sepenuhnya.
  7. Potong ikut suka dan hidangkan.



Pulut Kuning Tanak

Bahan-bahan:

1 kg beras pulut susu – dibasuh bersih
1 sudu besar serbuk kunyit
2 keping asam keping
Air secukupnya
1 kotak santan
Garam secukup rasa
2 helai daun pandan – disimpul

Cara-cara:

  1. Masukkan beras pulut, serbuk kunyit, asam keping dan air ke dalam besen dan rendam semalaman atau paling kurang 4 – 5 jam. Toskan airnya dan bilas sekali lagi.
  2. Masukkan ke dalam periuk nasi. Tuangkan air hingga ngam-ngam paras pulut dan masukkan santan, garam dan daun pandan. Kacau rata dan masak seperti biasa.

Kari Ayam dengan Kentang

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - dipotong 20
2 biji kentang – dipotong 6
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
5 biji bawang merah – dihiris
4 ulas bawang putih – dihiris
2 inci halia – dihiris mancis
1 sudu besar kerisik
1 peket kecil serbuk kari daging Baba's
2 tangkai daun kari – daun sahaja
1 cawan air
1/2 kotak santan
Garam secukup rasa
1 sudu besar Maggi Cukup Rasa
1 sudu teh pes asam jawa
1/2 cawan minyak masak

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga harum.
  2. Kemudian, masukkan bawang merah, bawang putih dan halia, tumis. Sementara itu, bancuh serbuk kari dan sedikit air supaya menjadi pes.
  3. Masukkan pes ke dalam bahan tumisan yang sudah sedikit garing. Kacau rata, masukkan kerisik dan daun kari. Perlahankan api dan tumis hingga garing dan pecah minyak.
  4. Masukkan ayam dan kentang, kacau rata supaya ayam kecut.
  5. Masukkan air dan kacau sekali-sekala hingga mendidih. Masukkan santan dan kacau lagi. Tutup periuk supaya kentang empuk tetapi kacau sekali-sekala untuk elakkan hangit di bahagian bawah.
  6. Setelah kentang empuk, masukkan garam, Cukup Rasa dan pes asam jawa. Kacau, rasa dan setelah mendidih dan kuah sedikit pekat, tutup api.