Wednesday, July 18, 2018

Menu 14 Julai 2018


Ikan Gerut-gerut Masak Asam Jawa

Sumber: IG @wanakamal

Olahan: mrskojiwami

Bahan-bahan:

3 keping ikan gerut-gerut
Serbuk kunyit dan garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng
1 batang serai – diketuk
3 biji bawang merah – dihiris nipis
2 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia – dihiris seperti mancis
1/4 sudu kecil pes asam jawa
1/2 biji tomato – dibelah 3
1/2 biji timun Jepun – dibelah 4 dan dibuang biji
1/2 biji bawang Holland – dibelah 3
5 biji cili padi merah – dipotong 2
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ikan dengan serbuk kunyit dan garam. Kemudian, goreng hingga garing. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  2. Dalam periuk berasingan, panaskan sedikit minyak gorengan ikan dan tumis bawang merah, bawang putih, halia dan serai hingga wangi dan perang.
  3. Masukkan air, pes asam jawa, timun, bawang Holland, tomato dan cili padi.
  4. Setelah mendidih, masukkan ikan goreng dan perasakan secukupnya.





Talam Gula Melaka


Sepatutnya talam gula merah, tapi sebab tak ada stok, gantikan dengan gula Melaka, so warna tak menyerlah sangat. Tapi rasa sedap je.

Sumber: http://ianyskitchen.blogspot.com/2017/10/tepung-talam-gula-merah.html

Olahan: mrskojiwami

Bahan-bahan lapisan bawah:

1 cawan gula melaka (sepatutnya gula merah)
1/2 cawan gula
4 1/4 cawan air
2 cawan tepung gandum – diayak
2 sudu besar (rata) tepung ubi – diayak
2 helai daun pandan – disimpul
1/2 sudu teh garam

Bahan-bahan lapisan atas:

3/4 cawan santan kotak + 3/4 cawan air
1 cawan tepung beras
1 sudu teh garam

Cara-cara:

  1. Lapisan bawah: Masukkan gula Melaka, gula, air dan daun pandan ke dalam periuk dan didihkan. Kacau hingga larut dan tutup api. Kemudian, tapis ke dalam bekas yang sesuai dan biarkan sejuk.
  2. Panaskan periuk kukus dan sapukan sedikit minyak sekeliling bahagian dalam loyang.
  3. Setelah air gula sejuk, campurkan bahan-bahan lapisan bawah yang lain dan gunakan whisk supaya rata.
  4. Tuangkan ke dalam periuk non-stick dan panaskan hingga sedikit pekat tetapi perlu dikacau selalu supaya tidak berketul. Alihkan dari api.
  5. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan kukus selama 20 minit. Tambah air panas jika air dalam kukusan tinggal sedikit.
  6. Selepas 20 minit, pastikan permukaan kuih tidak berair. Jika berair, sejukkan sebentar hingga air menyejat atau tekap perlahan-lahan dengan tisu dapur. Kemudian, cakarkan sedikit permukaannya dengan garpu. Ketepikan.
  7. Tambah air dalam kukusan dan biarkan mendidih.
  8. Untuk membuat lapisan atas, campurkan kesemua bahan dan tapis. Kemudian, masukkan ke dalam periuk non-stick dan panaskan di atas api kecil hingga naik wap sahaja. Alihkan dari api.
  9. Tuangkan ke atas lapisan gula Melaka tadi kemudian kukus selama 20 minit atau sehingga masak.
  10. Setelah masak, keluarkan dari pengukus dan biarkan betul-betul sejuk barulah dipotong.

Menu 13 Julai 2018

Udang Tumis Tempoyak dengan Petai


Bahan-bahan:

20 ekor udang sederhana – dikupas kulitnya dan dibuang urat hitam
1 cawan petai yang dikupas – dibasuh bersih
1 batang serai – diketuk
1 helai daun kunyit – dihiris nipis
1 keping asam gelugur
1 sudu kecil serbuk kunyit
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
1/4 cawan minyak masak

Bahan-bahan dikisar halus:

2 sudu besar tempoyak
1 biji cili merah – dipotong kecil
5 biji cili padi hijau – dipotong kecil
3 biji bawang merah – dipotong kecil
4 ulas bawang putih – dipotong kecil
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan serai hingga pecah minyak.
  2. Masukkan petai dan asam gelugur dan masak hingga lembut.
  3. Masukkan udang dan daun kunyit. Gaul rata dan masukkan garam dan MCR, kemudian kacau sehingga udang masak.



Kari Ikan Merah


Bahan-bahan:

4 ketul potongan ikan merah
7 biji bendi
1 biji tomato – dibelah 4
1 biji terung panjang sederhana – dibelah 4
4 biji bawang merah – dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
2 sudu kecil halba campur
Segenggam daun kari
3 sudu besar bawang besar kisar
1 sudu besar bawang putih kisar
1/2 sudu besar halia kisar
1 1/2 peket serbuk kari ikan Baba’s
1/2 sudu kecil pes asam jawa Adabi
Air secukupnya
1/4 kotak santan
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
6 sudu besar minyak masak

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis halba campur, bawang merah dan bawang putih yang dihiris hingga harum dan keperangan.
  2. Masukkan bawang besar, bawang putih dan halia yang dikisar. Tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan serbuk kari dan separuh daun kari. Tumis lagi hingga mendidih.
  4. Masukkan air, pes asam jawa, tomato dan terung. Masak hingga mendidih.
  5. Masukkan ikan, bendi, santan, garam dan MCR. Perlahankan api, kacau perlahan supaya ikan tidak hancur. Masak sehingga ikan masak dan bendi lembut, kemudian taburkan baki daun kari. Tutup api.


Kway Teow Goreng




Untuk sambutan hari raya di sekolah.

Bahan-bahan:

1 1/2 peket (1 kg) kway teow halus Cap Kunci – dibilas dan ditoskan
1 pokok daun kucai – dipotong 4 cm panjang
1 peket fish cake – dihiris nipis
1 peket fish ball – dibelah 2
5 sudu besar cili kisar
3 sudu besar bawang besar kisar
1 sudu besar bawang putih kisar
Sos cili, sos tiram, kicap masin dan kicap manis secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya
1/4 cawan minyak masak

Bahan-bahan hiasan:

3 biji telur
Secubit garam
1 biji cili merah – dihiris nipis
1 pokok daun bawang – dihiris nipis
Sedikit minyak

Cara-cara:
  1. Mulakan dengan membuat telur dadar. Panaskan non-stick pan (kecil) dengan sedikit minyak. Sementara itu, pukul telur dengan garam hingga berbuih.
  2. Tuangkan 1/3 telur dan dadarkan nipis. Balikkan dan angkat. Ulang 2 kali lagi. Ketepikan.
  3. Untuk menggoreng kway teow, panaskan minyak dan goreng fish cake dan fish ball hingga perang. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  4. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis cili kisar, bawang besar dan bawang putih kisar hingga pecah minyak.
  5. Masukkan sos tiram, sos cili, kicap masin dan kicap manis. Kacau rata, masukkan sedikit air jika terlalu pekat.
  6. Masukkan kway teow dan kucai. Kacau rata, jika perlu tambahkan kicap manis dan masin.
  7. Sesuaikan rasa, jika kurang masin boleh tambahkan garam dan MCR.
  8. Masukkan fish ball dan fish cake. Kacau rata, kuatkan api dan kacau hingga agak kering. Tutup api.
  9. Gulung telur dadar dan hiris nipis. Semasa menghidang, taburkan hirisan telur dadar, cili merah dan daun bawang.

Friday, July 13, 2018

Menu 11 Julai 2018


Cekodok Ikan Bilis

Bahan-bahan:

1 biji bawang Holland – dipotong dadu
1 biji cili merah – dicincang kasar
2 pokok kucai – dipotong 3 cm panjang
Segenggam ikan bilis – dibilas
1 biji telur
1/4 sudu kecil serbuk kunyit
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya
Tepung gandum secukupnya
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng
Sos cili sebagai pencicah

Cara-cara:

  1.  Satukan bawang Holland, cili merah, kucai, ikan bilis, telur, serbuk kunyit dan tepung. Tuangkan air sedikit demi sedikit supaya mendapat adunan yang tidak terlalu pekat atau terlalu cair. Kemudian, perasakan secukupnya. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak agak banyak. Jemput adunan menggunakan hujung jari ke dalam minyak. Goreng di atas api sederhana hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan minyaknya.
  3. Hidangkan dengan sos cili.




Sup Kepala Ikan Merah

Bahan-bahan:

Sebelah kepala ikan merah sederhana
1 sudu besar bawang putih yang dicincang
1/2 biji bawang Holland – dihiris nipis
1/2 inci halia – dihiris mancis
1/4 biji lobak merah – dipotong kiub
1/2 biji tomato – dipotong 3
1 ketul akar ketumbar – dibersihkan
1 pokok daun ketumbar – dihiris kasar
1 sudu besar minyak masak
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang Holland dan halia hingga harum.
  2. Masukkan air, lobak merah, tomato dan akar ketumbar. Kacau dan biarkan mendidih dan lobak merah agak lembut.
  3. Masukkan kepala ikan, garam dan MCR. Kacau perlahan dan biarkan mendidih. Sesuaikan rasa.
  4. Semasa menghidang, taburkan hirisan daun ketumbar.




Ayam Masak Lada Hitam

Bahan-bahan:

3 keping dada ayam – dipotong kiub
1/4 biji lada benggala hijau – dipotong kiub
1/4 biji lobak merah – dipotong kiub
1/4 pokok brokoli – dipotong kecil
1/4 biji bawang Holland – dihiris kasar
1 sudu besar bawang putih yang dicincang
1 sudu besar bawang besar yang dikisar
3 sudu besar sos lada hitam
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
3 biji cili padi merah – dipotong 2
3 sudu besar minyak masak
Sedikit air
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang besar hingga harum dan pecah minyak.
  2. Masukkan ayam dan lobak merah. Kacau rata hingga ayam berubah warna.
  3. Masukkan sos lada hitam, sos cili dan sos tiram. Kacau rata beberapa minit.
  4. Masukkan sedikit air, lada benggala hijau, brokoli, bawang Holland, cili padi, garam dan MCR. Kacau rata beberapa minit, agak-agak sayuran sudah lembut, tutup api.




Spaghetti Carbonara My Style of The Day

Bahan-bahan:

1 1/2 bungkus spaghetti – direbus mengikut arahan pada peket
3 sudu besar bawang putih yang dicincang halus
2 sudu besar bawang Holland yang dipotong dadu
6 batang sosej jumbo – dihiris nipis dan digoreng hingga garing
1 tin cendawan butang – dihiris nipis
1/2 biji lada benggala hijau – dipotong dadu
1/2 biji lada benggala kuning – dipotong dadu
3 biji cili padi merah – dihiris nipis
1/2 batang lobak merah – dipotong dadu
1 pokok daun ketumbar – dicincang kasar
2 tin sos carbonara Prego
1 tin sup cendawan Campbell’s
4 tin air
2 sudu tepung jagung – dibancuh dengan sedikit air
50 gm mentega (salted) + 5 sudu besar minyak masak
Garam, serbuk lada hitam kasar dan Maggi Cukup Rasa secukupnya

Cara-cara:

  1. Untuk membuat kuah, panaskan mentega dan minyak.
  2. Tumis bawang putih sebentar, kemudian masukkan bawang Holland. Tumis hingga perang dan layu.
  3. Masukkan cendawan, cili padi, lada benggala kuning dan hijau, serbuk lada hitam dan lobak merah. Tumis hingga layu dan lembut.
  4. Masukkan sos dan sup cendawan, kacau rata dan masukkan air. Kacau lagi sambil mendidih.
  5. Kemudian, masukkan sosej dan masak hingga mendidih. Kemudian, masukkan garam dan MCR, sesuaikan rasa dan tutup api.
  6. Taburkan daun ketumbar semasa menghidang. Hidangkan bersama spaghetti yang sudah direbus.





Ayam Panggang/Bakar

Bahan-bahan:

2 ekor ayam – dipotong ikut suka
2 batang serai – diketuk
Mentega

Bahan-bahan perapan:

1 biji limau kasturi – diambil jusnya
5 sudu besar bawang besar yang dikisar
Serbuk lada hitam kasar HEXA
Serbuk cajun HEXA
Serbuk BBQ HEXA
Serbuk bawang putih HEXA
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:

  1. Perap ayam bersama bahan perapan sekurang-kurangnya 3 jam atau lebih lama lebih sedap di dalam zipper bag. Simpan di bahagian bawah peti sejuk hingga tiba masa untuk membakar.
  2. Semasa membakar, oleskan mentega dengan serai yang diketuk ke atas ayam. Balik-balikkan hingga masak.
  3. Hidangkan bersama sos kegemaran.

Thursday, July 12, 2018

Menu 10 Julai 2018

Gulai Taucu Ikan Kembung


Bahan-bahan:

3 ekor ikan kembung – dikelar
Sedikit serbuk kunyit dan garam
Minyak untuk menggoreng
2 biji bawang merah – dihiris nipis
2 ulas bawang putih – dihiris nipis
1 inci halia – dihiris mancis
1 sudu besar taucu (biji)
1/2 sudu besar kicap Tamin
1/2 inci belacan bakar
1/2 sudu kecil pes asam jawa Adabi
Air secukupnya
1/2 biji bawang besar – dihiris bulat
2 biji cili hijau – dibelah 2 tanpa putus
Garam secukup rasa (jika perlu)

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ikan dengan serbuk kunyit dan garam hingga rata kemudian goreng hingga garing. Angkat, toskan minyak dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 1 sudu besar sahaja. Kemudian, tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga harum.
  3. Masukkan taucu dan kicap. Kacau rata. Sementara itu, bancuh belacan dan asam jawa bersama sedikit air. Ketepikan.
  4. Masukkan air secukupnya (lebih kurang 2 cawan atau lebih). Masukkan juga bancuhan asam jawa. Kacau dan biarkan mendidih.
  5. Masukkan ikan goreng, bawang besar dan cili hijau. Setelah mendidih, masukkan garam jika perlu. Masak hingga mendidih dan tutup api.




Ikan Bawal Masak 3 Rasa

Bahan-bahan:

2 ekor ikan bawal
Sedikit serbuk kunyit dan garam
3 sudu besar tepung jagung + sedikit air
Minyak untuk menggoreng
3 ulas bawang putih – dicincang halus
1/2 biji bawang Holland – dicincang halus
1 sudu besar pes halia
3 sudu besar pes bawang besar
6 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos cili Life
1 sudu besar sos cili Thai Maggi
1 sudu besar sos tiram Kimball
Air secukupnya
1 batang serai (bahagian putih sahaja) – dihiris nipis
1 ketul akar ketumbar – dibasuh bersih
1/4 biji lobak merah – dipotong dadu
1/4 biji lada benggala kuning – dipotong dadu
1/2 biji epal hijau – dipotong dadu
5 biji cili padi hijau – dihiris nipis
1 kuntum bunga kantan – dihiris nipis
1 pokok daun ketumbar – dicincang kasar
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ikan dengan serbuk kunyit, garam dan campuran tepung jagung. Kemudian, goreng hingga garing. Angkat, toskan dan letakkan di dalam pinggan hidangan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 5 sudu besar sahaja.
  3. Tumis serai, bawang putih dan bawang Holland hingga wangi dan layu.
  4. Masukkan pes halia, pes bawang besar dan cili kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  5. Masukkan sos tiram, sos cili dan sos cili Thai. Tumis lagi hingga mendidih.
  6. Masukkan lobak merah, lada benggala, epal hijau, cili padi, bunga kantan dan akar ketumbar. Kacau rata beberapa minit.
  7. Masukkan air, garam dan MCR. Masak hingga agak pekat kemudian tutup api.
  8. Curahkan ke atas ikan dan taburkan daun ketumbar.




Sup Lobak Putih

Bahan-bahan:

1/4 biji lobak putih – dihiris ikut suka
3 ulas bawang putih – diketuk
1 biji bawang merah – dihiris nipis
1 ketul akar ketumbar – dibasuh bersih
1 pokok daun ketumbar – dihiris nipis
Sedikit minyak masak
Air secukupnya
Garam dan MCR

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah dan akar ketumbar hingga harum.
  2. Masukkan air dan lobak putih. Masak hingga mendidih dan empuk.
  3. Masukkan garam dan MCR. Setelah mendidih, tutup api.
  4. Taburkan daun ketumbar ketika menghidang.

Menu 9 Julai 2018

Dalca Sayuran Tumis Darat




Bahan-bahan:

Beberapa ketul kaki dan leher ayam – dipotong kecil
1 biji kentang – dipotong kiub
1 biji terung panjang – dipotong jejari
1/2 biji lobak merah – dipotong jejari
4 urat kacang panjang – dipotong 5 cm panjang
1 biji tomato – dipotong 6 berbaji
1 tangkai cili hijau – dibelah 2 tanpa putus
3 sudu besar kacang dal – direndam semalaman
5 cawan air
1 1/2 peket serbuk kari ikan Baba’s
3/4 kotak santan Ayam’s Brand
1/2 sudu teh pes asam jawa Adabi
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
1 pokok daun ketumbar – dicincang kasar, akar dibasuh bersih

Bahan-bahan tumis:

1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
4 tangkai daun kari – dilurutkan
4 tangkai cili kering – dipotong 4 cm panjang
3 biji bawang merah – dihiris nipis
3 ulas bawang putih – dihiris nipis
1 inci halia – dihiris mancis
2 sudu besar marjerin Planta
3 sudu besar minyak masak

Cara-cara:

  1. Rebus kacang dal bersama air hingga kembang dan empuk. Tambah air jika perlu (agak-agak). Setelah empuk, masukkan ketulan ayam dan kentang dan rebus lagi hingga empuk.
  2. Setelah kentang lembut, masukkan lobak merah, akar ketumbar dan serbuk kari. Kacau rata dan biarkan hingga lobak merah lembut.
  3. Masukkan kacang panjang, terung, tomato, santan, pes asam jawa, cili hijau, garam dan MCR. Kacau rata.
  4. Sementara itu, di dalam kuali berasingan, panaskan marjerin dan minyak. Kemudian, tumis bahan-bahan tumis hingga agak garing.
  5. Setelah sayur-sayuran lembut, tuangkan bahan tumis ke dalam periuk. Kacau rata dan sesuaikan rasa.
  6. Tutup api dan taburkan hirisan daun ketumbar. Kacau sedikit dan hidangkan.