Sunday, May 6, 2018

Menu 5 Mei 2018



Kerabu Perut dan Pucuk Paku

Bahan-bahan:

300 gm perut lembu – direbus hingga lembut dan dihiris
1/2 ikat pucuk paku – ambil daunnya sahaja dan dibasuh bersih
1/2 biji bawang besar – dihiris nipis
1/2 kuntum bunga kantan – dihiris nipis
Sedikit daun ketumbar – dihiris halus (jika suka)
2 sudu besar kerisik
1/2 sudu besar gula nisan kuning / gula biasa secukup rasa
Garam secukup rasa
Jus limau nipis secukup rasa

Bahan-bahan dikisar kering:

3 biji bawang merah – dipotong
1 biji cili merah – dipotong
3 biji cili padi hijau – dipotong
1/2 inci halia – dipotong
1 batang serai – dipotong
1 inci belacan – dibakar

Cara-cara:

  1. Panaskan periuk berisi air (3/4 penuh). Setelah mendidih, masukkan pucuk paku dan celur lebih kurang 3 – 4 minit atau sehingga lembut. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  2. Dalam mangkuk besar, satukan kerisik, gula, garam, jus limau nipis dan bahan kisar. Kacau rata hingga sebati.
  3. Masukkan perut dan kacau rata diikuti dengan pucuk paku. Kacau rata.
  4. Masukkan bawang besar, daun ketumbar dan bunga kantan. Kacau rata.
  5. Hidangkan segera.


Ikan Cencaru Goreng Sambal Cili Padi

Bahan-bahan:

3 ekor ikan cencaru jenis kecil – disiang dan dibersihkan
Sedikit serbuk kunyit dan garam
Minyak untuk menggoreng
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar kering:

15 biji cili padi hijau
5 biji cili padi merah
1 biji bawang Holland – dipotong
5 ulas bawang putih – dipotong

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan goreng ikan hingga garing. Angkat dan letakkan di dalam pinggan hidangan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 5 sudu besar sahaja.
  3. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Masukkan garam dan MCR secukup rasa. Setelah agak garing, tutup api.
  4. Tuangkan (skim minyak) ke atas ikan.


Gulai Lemak Cili Padi Perut dan Pucuk Paku

Bahan-bahan:

200 gm perut lembu yang sudah direbus - dihiris sedikit nipis
1/2 ikat pucuk paku – ambil daunnya sahaja dan dibasuh bersih
1/2 biji hirisan bawang besar
1 batang serai – diketuk
1/2 helai daun kunyit – diracik
1/2 kotak santan
1/4 cawan air
1 keping asam gelugur
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

10 biji cili padi hijau dan merah – dipotong
3 biji bawang merah – dipotong
2 inci kunyit – dipotong
Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan air, bahan kisar, serai, daun kunyit, asam gelugur dan perut hingga mendidih.
  2. Masukkan santan, bawang besar, pucuk paku, garam dan MCR. Masak hingga mendidih sambil dikacau selalu untuk elakkan santan pecah minyak.
  3. Sesuaikan rasa dan tutup api.

Tempe dan Ikan Bilis Goreng Cili Padi

Bahan-bahan:

1 bungkus tempe daun pisang – dihiris nipis
Segenggam ikan bilis mata biru – dibasuh dan ditoskan
Minyak untuk menggoreng

Bahan-bahan kisar sama seperti resipi ikan di atas.

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak dan goreng tempe hingga garing, angkat dan ketepikan.
  2. Goreng ikan bilis pula hingga garing. Angkat dan ketepikan.
  3. Keluarkan minyak dan tinggalkan sedikit sahaja. Tumis bahan kisar hingga garing, dan masukkan tempe dan ikan bilis.
  4. Sesuaikan rasa dengan garam dan MCR.

Friday, May 4, 2018

Menu 4 Mei 2018

Rendang Kacang Panjang dan Perut Versi Tak Pedas


Bahan-bahan:

1/2 kg perut lembu (warna putih seperti towel) - direbus hingga mendidih dan ditoskan
4 urat kacang panjang - dipotong serong 4 cm panjang
2 tangkai cili hijau - dihiris serong
2 inci halia - dihiris batang mancis
1/2 helai daun kunyit - diracik
1 batang serai - diketuk
3/4 kotak santan KARA
2 sudu teh serbuk kunyit
Air secukupnya
1 keping asam gelugur
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa

*Kalau suka versi pedas, boleh tambah 10 biji cili padi hijau yang ditumbuk halus

Cara-cara:

  1. Hiris perut sedikit tebal lebih kurang 3 inci panjang.
  2. Masukkan kesemua bahan kecuali garam dan MCR ke dalam kuali dan panaskan, kuantiti air agak-agak hingga menutupi kesemua bahan.
  3. Renihkan sambil dikacau sekali-sekala. Setelah mendidih, masukkan garam dan MCR secukup rasa.
  4. Masak sehingga kuahnya pekat (bukan kering) dan tutup api.




Sambal Belacan Versi mrskojiwami


Bahan-bahan:

3 biji cili merah - dipotong kecil
15 biji cili padi hijau
5 biji cili padi merah
3 inci belacan - dibakar
1/2 sudu besar gula nisan kuning / gula perang
1 sudu besar sos ikan
Air suam mencukupi
1 sudu besar pes asam jawa Adabi
Garam jika kurang masin

Cara-cara:

  1. Masukkan kesemua bahan ke dalam blender dan tekan button pulse, supaya hasil kisaran tidak terlalu hancur/halus, biar kasar-kasar sedikit. Simpan di dalam balang kaca yang bersih dan kering.
  2. Simpan di dalam fridge sehingga digunakan. Guna sudu kering untuk mencedok.


Ikan Senangin Masak Ala Kengsom @ Asam Pedas Thai



Bahan-bahan:

1 ekor (1 kg) ikan senangin - dipotong 4
1/2 biji nanas madu - disiang, dipotong setebal 3 inci
5 biji bendi*
Segenggam daun kesum
1 sudu besar pes asam jawa Adabi
1/2 sudu besar gula nisan kuning
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa
Air secukupnya

Bahan-bahan dikisar halus:

2 biji cili merah - dipotong kecil
5 biji cili padi merah
5 biji cili padi hijau
1 inci halia
1 biji bawang besar - dipotong
1 inci kunyit
1 batang serai - dipotong kecil
3 biji tomato ceri - dibelah 2 (saya tambah)
1 inci belacan
Air secukupnya

*Resipi asal menggunakan kangkung

Cara-cara:

  1. Masukkan air dan bahan kisar ke dalam periuk dan panaskan.
  2. Setelah mendidih, masukkan asam jawa, gula nisan, daun kesum, nanas madu, garam dan MCR. Renihkan.
  3. Kemudian, masukkan ikan dan bendi. Masak hingga bendi lembut dan ikan masak.
  4. Tutup api dan sedia dihidangkan.

Thursday, May 3, 2018

Menu 3 May 2018


Hot Dog ala A&W

Bahan-bahan:

6 buku roti hot dog - dibelah bahagian tengah tanpa putus
Marjerin disapu pada kedua-dua bahagian dalam roti
2 batang hot dog jumbo - dipotong 2 dan dikelar sedikit
4 batang hot dog biasa - dikelar sedikit

Bahan-bahan sos daging kisar:

1 blok daging kisar Ramly - dinyahbeku (thawed)
1 helai daun bay (salam)
1 sudu teh mixed herbs
1 tin Sos Spagheti Prego Selasih dan Bawang Putih
1 tin air
3 sudu besar sos lada hitam Swiss Bear
Garam dan Maggi Cukup Rasa
1 biji bawang Holland - dipotong dadu kecil (dibahagi 2)
5 ulas bawang putih - dicincang
3 sudu besar minyak masak/zaitun

Cara-cara:

  1. Panaskan non-stick pan dan telangkupkan bahagian roti yang disapu marjerin dan gril hingga perang sedikit. Angkat dan ketepikan.
  2. Gril hot dog dan tambahkan sedikit marjerin hingga sedikit garing. Angkat dan sumbatkan ke dalam roti. Untuk hot dog saiz biasa, letakkan 2 batang.
  3. Untuk membuat sos, panaskan periuk sederhana dan masukkan minyak.
  4. Setelah panas, tumis bawang putih hingga sedikit perang dan masukkan 1 bahagian bawang Holland. Tumis hingga layu dan masukkan daging. Kacau rata hingga daging berubah warna.
  5. Masukkan sos spaghetti, air, mixed herbs dan daun bay. Masak hingga mendidih dan masukkan garam dan MCR secukup rasa.
  6. Perlahankan api dan masak hingga pekat. Tuangkan sos ke atas hot dog dan taburkan dengan bawang Holland yang didadu.






Gulai Lemak Cili Padi Ikan Masin, Pucuk Paku dan Labu

Bahan-bahan:

1/4 biji labu manis (kuning) - dipotong kiub 5 cm dan dikupas kulitnya
Secekak pucuk paku yang sudah disiang
1/2 keping ikan masin bertulang besar - direndam dan ditoskan
1 batang serai - diketuk
1/2 helai daun kunyit - diracik
2 biji bawang merah - dihiris nipis
1/2 cawan air
1/2 kotak santan KARA
1 keping asam gelugur
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

10 biji cili padi hijau - dipotong
5 biji cili padi merah - dipotong
1 biji bawang besar - dipotong
2 inci kunyit hidup - dipotong
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Masukkan air, 3 sudu besar bahan kisar (baki simpan di dalam bekas kedap udara di dalam peti sejuk), serai, daun kunyit dan labu. Renihkan di atas api kecil hingga labu 1/2 masak.
  2. Masukkan santan, asam gelugur, ikan masin dan bawang merah. Renihkan sambil dikacau sekali sekala untuk elakkan santan pecah. Setelah berwap, masukkan pucuk paku, garam dan MCR (agak-agak sebab ikan masin dah bergaram).
  3. Masak beberapa minit lagi sambil dikacau sekali-sekala dan tutup api.




Sambal Tumis Ikan Jenahak

Bahan-bahan:

2 keping ikan jenahak
Sedikit garam dan serbuk kunyit
Minyak untuk menggoreng

1 batang serai - diketuk
1 biji bawang besar - dihiris nipis
1 keping asam gelugur
1 sudu besar sos tiram
Gula Melaka dan garam secukup rasa
Air secukupnya jika suka berkuah

Bahan-bahan dikisar halus:

Segenggam cili kering - dipotong, dibuang biji, direbus, dibilas, ditoskan
1 biji bawang besar - dipotong
3 ulas bawang putih - dipotong
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan goreng ikan hingga garing. Angkat dan letakkan di dalam pinggan hidangan. Ketepikan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan lebih kurang 3 sudu besar. Tumis serai hingga naik bau dan masukkan hirisan bawang besar. Perlahankan api dan tumis hingga betul-betul layu.
  3. Masukkan bahan kisar dan tumis sebentar. Masukkan pula gula Melaka dan tumis lagi beberapa minit.
  4. Masukkan sos tiram dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  5. Masukkan air, asam gelugur dan garam. Seimbangkan rasa. Setelah agak pekat, tutup api.
  6. Tuangkan ke atas ikan goreng dan sedia dihidangkan. Hiaskan dengan hirisan daun ketumbar.

Menu 2 May 2018

Cekodok Pisang Vanila


Bahan-bahan:

1 sikat pisang awak yang ranum - dikupas dan dilecek halus
5 sudu besar gula (atau lebih jika suka manis)
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh serbuk vanila
Secubit garam
Tepung gandum secukupnya
Air secukupnya
Minyak yang banyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Satukan kesemua bahan kecuali minyak dan rehatkan 5 minit.
  2. Panaskan minyak. Jemputkan adunan ke dalam kuali hingga memenuhi ruang. Adunan akan mengembang sedikit.
  3. Goreng hingga perang di seluruh bahagian (balik-balikkan). Angkat dan toskan minyaknya.
  4. Hidangkan.

Menu tak ingat tarikh

Terung Goreng Berlada


Bahan-bahan:

1 biji terung panjang jenis besar / apa-apa jenis terung - dipotong ikut suka
1 keping tempe - dihiris setebal 1 cm
1/2 cawan minyak masak
1 sudu besar sos tiram
Garam dan Maggi Cukup Rasa
Hirisan daun bawang - hiasan

Bahan-bahan dikisar kering (kasar):

Segenggam ikan bilis - dibilas dan ditoskan
1 biji bawang besar - dipotong
3 ulas bawang putih - dipotong
10 biji cili padi hijau - dipotong

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Goreng terung hingga 3/4 masak. Angkat dan toskan minyaknya.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan lebih kurang 1 sudu besar sahaja.
  3. Tumis bahan kisar hingga wangi dan sedikit garing di atas api sederhana.
  4. Masukkan sos tiram dan tumis lagi beberapa minit.
  5. Masukkan garam dan MCR, kacau rata dan masukkan terung goreng.
  6. Masak hingga terung lembut dan tutup api.
  7. Taburkan daun bawang semasa menghidang.





Sotong Percik


Bahan-bahan:

8 ekor sotong sederhana
Garam dan Maggi Cukup Rasa
Gula kabung/Melaka/biasa secukup rasa
1 kotak santan KARA
1 keping asam gelugur
Air secukupnya
2 sudu besar minyak masak
Hirisan daun bawang - hiasan

Bahan-bahan dikisar halus:

1 biji cili merah - dipotong
5 biji cili padi - dipotong
10 tangkai cili kering - dipotong dan direndam dalam air panas, ditoskan
1 biji bawang besar - dipotong
3 ulas bawang putih - dipotong
1 inci halia - dipotong
1 inci lengkuas - dipotong
2 batang serai - dipotong
2 inci kunyit - dipotong
Sedikit belacan bakar

Cara-cara:

  1. Sediakan pengukus dan didihkan. Susun sotong di atas lapik kukusan dan kukus selama 7 - 9 minit (hingga bertukar warna). Keluarkan dan kelarkan sedikit.
  2. Panaskan minyak di dalam periuk kecil. Tumis bahan kisar hingga wangi dan pecah minyak di atas api sederhana.
  3. Masukkan santan, asam gelugur, garam, MCR dan gula secukup rasa.
  4. Tambah air jika terlalu pekat. Masak sehingga pekat dan berubah warna kepada oren pekat. Tutup api.
  5. Celupkan sotong ke dalam kuah percik dan gril seketika di atas non-stick pan hingga sedikit garing. Angkat dan susun di dalam pinggan hidangan dan tuangkan lebihan kuah percik di atasnya.
  6. Tabur daun bawang sebelum dihidang.



Bayam Tumis Bawang Putih


Bahan-bahan:

1/2 ikat bayam hijau - disiang
1 biji cili merah - dihiris serong
1/2 biji bawang Holland - dihiris kasar
3 ulas bawang putih - dicincang kasar
Sedikit air
1 sudu besar minyak masak/kelapa
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa

Cara-cara:

  1. Rendam bayam yang sudah disiang di dalam besen dan tuangkan 1 sudu besar cuka makan. Rendam lebih kurang 10 minit untuk membersihkan kotoran pada sayur. Toskan dan basuh beberapa kali lagi kerana bayam selalunya berpasir.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih hingga wangi kemudian masukkan bawang Holland. Tumis hingga layu.
  3. Masukkan bayam, cili merah dan sedikit air. Besarkan api dan goreng (stir-fry) segera sambil masukkan garam dan MCR secukup rasa.
  4. Sebaik sahaja layu, tutup api dan hidangkan.