Monday, July 10, 2017

9 Julai 2017

Assalammualaikum,

Hari ni plan nak keluar ke MV. Temankan En. K yang on duty. Tapi sebelum keluar masak la dulu sebab of coz malam sat gi tak masak. Pulut ni dah rendam dari semalam lagi. Terasa nak makan pulut pulak. Lauknya buat 2 jenis, sebab diorang ni suka makan pulut dengan sambal atau rendang. So saya buat dua-dua sekali. Tapi rendang tu slack sikit sebab kerisik dah habis pulak.

Jom tengok resipi.



Pulut Kuning

Bahan-bahan:

1/2 kg pulut susu – dibasuh bersih
1 keping asam keping
1 sudu kecil serbuk kunyit
1/2 kotak santan KARA
1 1/2 sudu kecil garam

Cara-cara:

  1. Rendam pulut bersama serbuk kunyit dan asam keping semalaman. Esoknya, toskan dan bilas sedikit.
  2. Sediakan pengukus yang diisi air secukupnya. Letakkan pulut dan kukus 20 minit.
  3. Sementara itu, bancuh santan, garam dan 1/2 cawan air di dalam besen.
  4. Keluarkan pulut, masukkan ke dalam besen dan kacau rata
  5. Masukkan semula pulut ke dalam pengukus dan kukus 15 minit.
  6. Setelah masak, keluarkan dan letakkan di dalam mangkuk hidangan.

Rendang Ayam

Bahan-bahan:

8 ketul ayam
1 helai daun kunyit – dihiris halus
1 keping asam keping
3/4 cawan minyak
1/2 peket santan segar
1 cm gula Melaka
2 sudu besar kerisik
Air secukupnya
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukup rasa

Bahan-bahan dikisar halus:

1 cawan cili kering yang direbus
2 biji bawang besar – dipotong
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
4 inci halia
2 inci lengkuas
3 batang serai – dipotong
5 biji cili padi merah
Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Masukkan pula gula Melaka dan kerisik.
  2. Masukkan ayam dan kacau rata. Setelah ayam kecut, masukkan santan, air dan asam keping. Kacau rata, perlahankan api. Tutup dan kacau sekali-sekala.
  3. Masukkan garam dan MCR. Kacau rata, masak sehingga kuah pekat. Jika suka kering, masak lebih lama lagi.
  4. Akhir sekali, masukkan daun kunyit. Gaul rata dan tutup api.


Sambal Ikan Bilis

Bahan-bahan:

1 cawan ikan bilis – dibasuh bersih
1 biji bawang besar – dihiris kasar
1 keping asam keping
2 sudu besar sos tiram
2 ketul kecil gula Melaka
Garam secukup rasa
3/4 cawan minyak
Air secukupnya, jika perlu

Bahan-bahan dikisar halus:

1 cawan cili kering yang direbus
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis separuh bawang besar. Setelah layu, masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga mendidih.
  3. Masukkan gula Melaka dan sos tiram. Tumis lagi hingga pecah minyak.
  4. Masukkan air, asam keping dan sedikit garam. Setelah mendidih dan sedikit pekat, masukkan ikan bilis dan kacau rata. Rasa, jika kurang masin, tambah garam. Kacau rata dan tutup api.

Friday, July 7, 2017

3.7.2017

Assalammualaikum,

Hari ni hari first selepas 9 hari bercuti raya. Huhu, malas betul.... saya pun decide nak puasa hari ni, tapi sebab dah lama tak jenguk dapur tu, gigih masakkan nasi lemak untuk family members yang lain. Pastu sendiri terliur, tapi tetap teruskan puasa huhu. Tapi puasa hari ni agak mencabar, selalu saya ok je kalau tak sahur. I mean setakat minum 1 sudu besar pati Gulsan + air kosong, pastu minum Nescafe (tak boleh tak minum, migraine satgi), selalunya ok je sampai buka. Tapi hari ni banyak betul angin, maybe sebab semalam pun saya tak dinner, pastu pagi ni pun tak makan apa untuk sahur, tu yang banyak angin. Balik kerja, pergi laundry, masa tu lebih kurang sejam lagi nak berbuka, tak tahan betul, rasa angin dah naik ke tekak, rasa nak muntah pon ada. Tapi alhamdulillah berjaya juga bertahan.

Ok la, jom tengok resipi nasi lemak style saya ni.

Nasi Lemak


Bahan-bahan:

3 cawan beras basmathi + beras biasa – dibasuh bersih
3 biji bawang merah – dihiris
2 inci halia – dihiris
1 helai daun pandan – disimpul
3 cawan air + 1/2 kotak santan
Garam secukup rasa

Bahan-bahan sampingan

Telur goreng mata kerbau
Hirisan timun Jepun
Ikan bilis goreng

Cara-cara:

  1. Masukkan kesemua bahan ke dalam rice cooker dan masak seperti biasa.
  2. Gemburkan dan tutup semula rice cooker beberapa minit sebelum dihidangkan.

Sambal Tumis Sotong Kering

Bahan-bahan:

5 keping sotong kering – direndam semalaman dan dipotong ikut suka
1 biji bawang besar – dihiris kasar
1 keping asam keping
2 sudu besar sos tiram
2 inci gula Melaka
Air secukupnya
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan dikisar halus:

1 mangkuk kecil cili kering – dipotong dan direbus, buang bijinya
2 biji bawang besar – dipotong
4 ulas bawang putih – dipotong
Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis separuh hirisan bawang besar hingga layu.
  2. Masukkan bahan kisar dan tumis di atas api perlahan hingga pecah minyak.
  3. Masukkan sos tiram dan gula Melaka. Tumis lagi hingga berkilat. Buang minyak berlebihan jika perlu.
  4. Masukkan asam keping, sotong dan baki bawang besar. Kacau rata. Masukkan air secukupnya (ikut nak banyak mana kuahnya) dan masukkan garam secukup rasa. Kacau hingga mendidih dan tutup api.

Lunch 4.7.2017

Assalammualaikum,

Cuti hari raya baru-baru ni, MIL ada masakkan nasi goreng kerabu yang awesome. So saya pun belajar la dari dia. Hari raya kedua, MIL mintakkan saya masak nasi goreng kerabu untuk hidangan tetamu. Alhamdulillah menjadi.

Before balik ke SB, MIL bekalkan beberapa jenis dedaun yang digunakan untuk masak nasi goreng kerabu ni. Semua main petik je kat keliling rumah dia dan rumah jiran haha. Ikan masin kurau memang dah pegi beli time bawak MIL ke Kuala Sepetang, cari belacan hari tu.

Jom tengok resipi, simple je. Sedap nasi ni, bau pun wangi.

Nasi Goreng Kerabu


Bahan-bahan:

2 cawan nasi sejuk – digemburkan
1/2 genggam ikan kurau masin yang sudah dihiris – dibasuh
6 helai daun kaduk*
1 batang serai*
1 kuntum bunga kantan*
1 helai daun kunyit*
5 helai daun limau purut*
1 cekak daun selom*
Garam dan MCR secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan ditumbuk halus:

3 ulas bawang putih
5 biji cili padi hijau

Cara-cara:

  1. Bahan bertanda * dihiris halus. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak, goreng ikan masin hingga garing. Angkat dan tumbuk sedikit tetapi tidak terlalu hancur. Ketepikan.
  3. Gunakan minyak yang sama, tumis bahan tumbuk hingga naik bau.
  4. Masukkan nasi, bahan hiris, ikan masin, garam dan MCR. Kacau rata beberapa minit dan tutup api.






19 Ramadan ~ 14.6.2017

Assalammualaikum,

Jom tengok resipi!


Sambal Belacan


Bahan-bahan:

1 biji cili merah – dipotong
5 biji cili padi hijau – dipotong
1 inci belacan – dibakar
1 sudu kecil gula merah
3/4 sudu kecil garam
1 biji limau nipis – diambil jusnya

Cara-cara:

  1. Tumbuk cili merah, cili padi, belacan, gula merah dan garam, tak perlu terlalu halus.
  2. Perahkan limau nipis dan kacau rata.




Ayam Goreng Daun Selasih



Bahan-bahan:

3 ketul isi ayam – dipotong kiub
1 sudu besar tepung beras
Sedikit garam dan serbuk kunyit
Minyak untuk menggoreng
1 cawan daun selasih
3 biji cili padi merah – dihiris kasar
2 ulas bawang putih – dicincang
1 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos tiram
Garam dan MCR secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ayam dengan garam, tepung beras dan serbuk kunyit. Goreng hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan.
  2. Keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 2 sudu besar sahaja. Tumis bawang putih hingga harum, kemudian masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan sos tiram dan tumis lagi hingga mendidih.
  4. Masukkan ayam goreng, cili padi dan daun selasih. Gaul rata dan tutup api.



Taugeh Goreng dengan Kucai



Bahan-bahan:

2 ulas bawang putih – dicincang kasar
1 biji bawang merah – dihiris
2 cawan taugeh
1/2 ikat kucai – dipotong 4 cm panjang
1 biji cili merah – dihiris serong
1 tiub tauhu Jepun – dihiris tebal
1 sudu besar kicap manis
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar minyak

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Goreng tauhu hingga garing. Hati-hati semasa membalikkannya, sebab mudah pecah. Ketepikan.
  2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bawang putih dan bawang merah hingga harum.
  3. Masukkan taugeh, kucai, kicap manis dan sos tiram. Kacau rata dan masukkan tauhu. Kacau perlahan-lahan hingga sayur nampak lembut tetapi tidak lembik. Akhir sekali, masukkan cili merah dan kacau. Tutup api.



Spaghetti ala Olio Aglio



Bahan-bahan:

1/2 peket spaghetti – direbus mengikut arahan pada peket, toskan
5 biji cendawan butang dalam tin – dihiris nipis
1/2 biji capsicum hijau – dipotong dadu
1/2 cawan udang kecil yang dikupas
1 ketul isi ayam – dipotong dadu
1 sudu kecil mixed herbs (dalam peket)
3 sudu besar chilli flakes (dalam peket)
1 sudu besar minyak masak
1 sudu besar butter
5 ulas bawang putih – dicincang halus
Maggi Cukup Rasa secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan butter. Tumis bawang putih hingga perang, masukkan ayam dan kacau rata.
  2. Masukkan cendawan, capsicum, mixed herbs dan separuh chilli flakes. Kacau rata.
  3. Masukkan spaghetti, udang dan MCR. Kacau rata beberapa minit.
  4. Akhir sekali, masukkan baki chilli flakes dan kacau rata. Tutup api.

Thursday, July 6, 2017

15 Ramadan ~ 10.6.2017

Assalammualaikum,

Jom tengok resipi hari ni.


Ayam Masak Merah


Bahan-bahan:

10 ketul ayam
Garam dan serbuk kunyit
Minyak untuk menggoreng
1/4 tin kacang peas
2 tangkai daun bawang – dipotong 3 cm panjang
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
1 helai daun pandan – disimpul
1 biji bawang besar – dihiris bulat
Garam dan Maggi Cukup Rasa secukupnya

Bahan-bahan dikisar halus:

Segenggam cili kering – dipotong dan direbus
1 biji bawang besar – dipotong
3 ulas bawang putih – dipotong
1 inci halia – dipotong
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Sementara itu, gaul ayam dengan kunyit dan garam. Goreng 3/4 masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Keluarkan minyak, tinggal dalam 1 senduk kecil sahaja. Tumis daun pandan hingga wangi. Masukkan bahan kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
  3. Masukkan sos tiram, sos cili dan sos tomato. Kacau rata hingga mendidih.
  4. Masukkan garam dan MCR serta sedikit air (jika suka berkuah).
  5. Setelah mendidih, masukkan ayam, bawang besar, kacang peas dan daun bawang. Kacau rata beberapa minit dan tutup api.


Ikan Kerisi Sambal Hijau


Bahan-bahan:

2 ekor ikan kerisi – dikelar
Garam dan serbuk kunyit
Minyak untuk menggoreng
Maggi Cukup Rasa secukupnya
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar kering:

20 biji cili padi merah + hijau
5 ulas bawang putih
1 biji bawang besar

Cara-cara:

  1. Panaska minyak. Sementara itu, gaul ikan dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng hingga garing. Angkat dan letakkan di dalam pinggan hidangan.
  2. Keluarkan minyak, tinggalkan 1 senduk kecil sahaja. Tumis bahan kisar hingga mendidih, masukkan MCR dan garam jika perlu dan tumis hingga terbit minyak.
  3. Tuangkan ke atas ikan.


Sayur Campur


Bahan-bahan:

1/4 biji bunga kubis – dipotong kecil
10 batang kacang peas – dipotong 2
1/2 biji capsicum hijau – dihiris memanjang
1/2 biji carrot – dipotong separuh bulat
1 biji cili merah – dihiris serong
Segenggam udang kecil – dibuang kulit
1 sudu besar minyak jagung
1 sudu besar MCR
Sedikit air
3 ulas bawang putih – dicincang kasar

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga wangi.
  2. Kuatkan api, masukkan sayuran dan kacau rata.
  3. Masukkan air dan kacau lagi. Kemudian, masukkan udang dan MCR.
  4. Kacau rata hingga sayur nampak lembut tapi bukan lembik. Tutup api.